Video| Adiwira Prihatin Musibah (APM) Keluarga Malaysia! Kes bot karam tak tenggelamkan semangat!
@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]
Share this
Banjir di mana-mana. Tidak kira di bandar, kampung dan kawasan pedalaman. Sungai yang cetek bertukar menjadi dalam. Arus perlahan bertukar deras dan ganas. Penduduk berdepan bahaya. Nyawa terancam dan terputus hubungan.
Lebih daripada itu, mereka yang tinggal jauh di pedalaman mula terputus bekalan makanan. Usaha perlu diambil untuk menyelamatkan nyawa mereka.
Banjir di negara ini belum pulih sepenuhnya. Masih ada kawasan yang ditenggelami air. Masih ada kawasan yang terputus hubungan dan bekalan makanan. Tidak terkecuali penduduk di perkampungan Orang Asli Kuala Tahan, Jerantut, Pahang yang perlukan bantuan bekalan makanan ketika banjir.
Misi bantuan banjir ke perkampungan Orang Asli Kuala Tahan sebelum bot karam. - Kredit foto: APM
Misi bantuan penghantaran bekalan makanan perlu disegerakan dan ditangani sebaik mungkin. Agensi Pertahanan Awam (APM) antara barisan hadapan yang sentiasa bersedia membantu di kawasan terbabit banjir.
Anggota petugas tidak pernah culas dan sanggup menggadaikan nyawa demi memastikan penduduk di setiap daerah dibantu sesegera mungkin.
Dengan slogan Adiwira Prihatin Musibah (APM) mereka sedia berkhidmat tanpa menghiraukan nyawa sendiri. Melalui pengalaman sedia ada, mereka sentiasa siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan di luar jangkaan. Anda hebat!
Tidak terkecuali tiga anggota APM Jerantut yang berdepan detik cemas apabila bot yang mereka naiki
karam ketika melalui kawasan berarus deras di Jeram Panjang, Sungai Tembeling pada kira-kira jam 11.00 pagi, 5 Januari 2022 lalu.
Kisah anggota APM terpaksa menggunakan telefon bimbit untuk mendayung ekoran kemalangan bot karam di Sungai Tembeling, Pahang tular dalam media sosial.
Dalam kejadian itu, Roslan Abu Kassim, 58; Ahmad Turmizi Abu Kassim, 52, (pemandu bot penambang); dan Belandak a/l Bajak, 28, merupakan Orang Asli etnik Bateq Kampung Kuala Atok, Kuala Tahan terselamat.
Mereka yang juga anggota Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam Komuniti (CDERT-C) Kuala Tahan dalam perjalanan menghantar bekalan makanan kepada Orang Asli Kampung Aur sumbangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah Jerantut.
Roslan Abu Kassim. - Kredit foto-foto: SAHIH/Amir Hamzah Nordin
Roslan berkata sebelum kejadian itu, mereka terlebih dahulu menghantar makanan ke kampung Orang Asli Teresik dan Orang Asli Tabing.
Bercerita mengenai kejadian yang hampir meragut nyawa mereka, Roslan berkata, bot dinaiki mereka dimasuki air dan tenggelam menyebabkan semua barangan bantuan makanan yang dibawa hanyut dan tidak dapat diselamatkan.
Dalam usaha menyelamatkan diri, Roslan berkata, dia terpaksa menggunakan telefon bimbit di tangan untuk menguak air untuk ke tebing tetapi gagal.
"Selepas bot tenggelam, saya sempat mencapai dua kusyen yang ada dalam bot untuk dijadikan tempat berpaut sebelum membiarkan diri hanyut sambil cuba menguak air menggunakan telefon bimbit," katanya.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan arus sungai yang deras dan beralun, dia gagal berenang ke tepi, sebaliknya terus hanyut kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian, sebelum dapat berenang ke tepi sehingga sampai di kawasan Pulau Dedari.
"Saya juga terpaksa menahan kesakitan kerana dilanggar kayu hanyut dan dahan pokok yang terjatuh di sepanjang sungai," katanya yang berpengalaman sebagai pemandu pelancong selama 30 tahun.
Roslan yang juga Pengerusi Bird Group Taman Negara (BGTN) berkata, dia dan rakannya sudah menjalankan kerja menghantar makanan itu sejak 10 tahun lalu, pada setiap kali banjir berlaku di Kuala Tahan, termasuk banjir besar 2014.
Roslan berkata, dia tidak menduga kejadian itu boleh berlalu kerana sudah banyak kali bot penambang melalui kawasan Jeram Panjang ketika musim banjir untuk menghantar bantuan kepada penduduk Orang Asli etnik Bateq.
“Ketika sampai di tengah jeram, bot yang kami naiki sarat dengan muatan berhadapan dengan arus sungai serta dipukul ombak yang kuat lalu karam.
“Kami bersyukur kerana selamat dalam kejadian ini tanpa sebarang kecederaan dan tidak serik untuk meneruskan kerja sukarela berkhidmat membantu penduduk Orang Asli dan mangsa banjir pada masa akan datang,” katanya.
Ahmad Turmizi Abu Kassim (adik Roslan)
Pemandu bot, Ahmad Turmizipula berkata, dia cuba menyelamatkan enjin daripada tenggelam tetapi gagal ketika bot mulai tenggelam.
"Saya terpaksa melepaskan enjin apabila minyaknya mulai keluar malah turut tertelan banyak minyak menyebabkan saya tidak mampu bertahan lagi. Saya yang memakai jaket keselamatan terus mengapungkan diri mengikut arus deras itu hingga sampai ke kawasan yang tenang kira-kira 500 meter, barulah berenang ke tebing.
“Saya hanya dengar abang (Roslan) memanggil saya dan sempat menyahut sebagai isyarat saya selamat dan pada jarak 100 meter saya nampak kelibat abang terapung, baru saya berasa lega,” katanya.
Belandak a/l Bajak
Belandak pula berkata, selepas bot karam, dia terus berenang ke arah pulau kecil di tengah sungai itu sambil berpaut kepada dahan kayu di situ.
"Di situ saya tenangkan fikiran sebelum mengumpul tenaga selama hampir 20 minit sebelum mengambil keputusan berenang semula ke tebing sungai.
"Kemudian saya berjalan kaki ke kampung Orang Asli berhampiran untuk mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan dua lagi rakan yang hanyut," katanya.
Che Adam A Rahman.
Che Adam A Rahman (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama Roslan (dua dari kiri), Belandak dan Ahmad Turmizi (kanan)
Sementara itu, Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memuji kecekapan anggota itu yang berjaya menyelamatkan diri daripada bot karam dalam misi bantuan menghantar makanan.
“Itulah pengalaman dan kecekapan yang ada pada mereka yang menyebabkan mereka selamat selain takdir menyelamatkannya. Kecekapan dan pengalaman yang ada pada ketiga-tiga anggota ini menyuntik semangat anggota lain dan dianggap sebagai Adiwira Prihatin Musibah.
“Pihak kami cuba membantu mendapatkan sebuah bot baharu untuk mereka bagi misi menyelamat, penghantaran makanan dan juga mengangkut murid sekolah dalam kalangan murid Orang Asli,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Kuala Tahan bertemu anggota terbabit.
Che Adam A Rahman menyerahkan sumbangan tanda terima kasih kepada tiga anggota yang terlibat. - Kredit foto-foto: SAHIH/Amir Hamzah Nordin
Katanya, mereka mempunyai latihan pengetahuan asas dari aspek menghadapi bencana dan kecemasan.
“Pengalaman dan pengetahuan itu turut membantu mereka dalam penyelamatan diri ketika menghadapi detik sukar bot karam. Diharap tiga anggota ini tidak patah semangat termasuk anggota lain di Kuala Tahan di seluruh Malaysia, khususnya di Pahang,” katanya.
Syabas dan jutaan terima kasih diucapkan kepada tiga anggota APM ini dan juga seluruh anggota pasukan keselamatan dan sesiapa sahaja yang terbabit dalam usaha membantu mangsa banjir di negara ini. Berpantang maut sebelum ajal. - KitaReporters
Che Adam A Rahman (kanan) beramah mesra dengan tiga anggota APM yang terlibat dalam kejadian bot karam di Sungai Tembeling. - Kredit foto-foto: SAHIH/Amir Hamzah Nordin