Insan & Komuniti 14 Jan, 2022

Shebby yang ku kenali! Ceroboh penginapan pemain! Disergah Tauke! Shebby tampil jadi penyelamat!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Penulis (kanan) bersama Shebby pada majlis memilih pemenang peraduan anjuran majalah Arena Bolasepak pada tahun 1980an. - Kredit foto: Majalah Arena Bolasepak.


Beberapa bulan lalu, rakan penulis, Norrisyam Ramli atau Sham mengirim sekeping gambar penulis bersama bekas pemain bola sepak, mendiang Serbegeth Singh. Gambar itu diambil dari keratan majalah Arena Bolasepak terbitan tahun 1980-an yang mana ketika itu penulis adalah editor majalah berkenaan. 

Ia dirakam ketika penulis dan Serbegeth memilih pemenang satu peraduan anjuran Arena Bolasepak yang mana syarikat tempat mendiang bertugas adalah penaja hadiahnya. 

Gambar itu sebenarnya tidak membawa banyak cerita tapi kini menjadi sangat berharga kepada penulis kerana ia satu-satunya foto bersama mendiang yang ada dalam simpanan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Serbegeth Singh

Shebby seorang yang mesra, berhemah dan sangat menghormati orang.


Berita kematian Shebby pada Rabu, 12 Januari, 2022, menyebabkan penulis menatap gambar itu berulang kali sambil mengenang kembali hubungan kami yang begitu akrab pada tahun 1980-an dan awal 1990-an dahulu. 

Persahabatan kami mula terjalin pada 1983 ketika sama-sama menjejakkan kaki ke kota raya Kuala Lumpur. Ketika itu saya baru bergelar wartawan, manakala Serbegeth atau Shebby pula yang sedang membina nama sebagai pemain bola sepak, baru berhijrah dari Johor ke pasukan Wilayah Persekutuan (sekarang Kuala Lumpur City FC). 

Mungkin atas faktor umur yang sebaya, penulis dan Shebby cepat ‘ngam’ apatah lagi kami sama-sama sedang mencari tapak dan membina nama dalam kerjaya masing-masing. Ramai lagi pemain muda ketika itu yang rapat dengan penulis, antaranya Azizol Abu Haniffah, Abdul Karim Pin, Abd Nasir Yusof, Ahmad Yusof, Subadron Aziz, Azhar Sharif, Kamarulzaman Yusof dan lain-lain.


 


Shebby seorang yang peramah, berhemah dan sangat menghormati orang. Tidak hairan jika ramai yang senang bergaul dengannya. Sebagai wartawan, penulis sangat menyenangi sikap Shebby yang sentiasa memberi kerjasama, sedia berkongsi apa sahaja cerita termasuk kisah peribadi.

Penulis kerap melepak di Kelab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Brickfield, tempat pasukan Wilayah Persekutuan menjalani latihan. Shebby biasanya akan menyapa “Hey! Rodly, apa khabar?” setiap kali bertemu.

Kadang-kadang selepas latihan, kami melepak bersama. Shebby rajin berborak terutama topik bola sepak. Ketika itu, penulis nampak beliau seorang pemain yang ada ‘otak' dan bakatnya sebagai pengkritik serta pengulas sudah dapat dilihat. Satu hal yang penulis dapat kesan, di sebalik sifat ‘soft spokennya’ terselit keberanian dan ketegasannya dalam bercakap sesuatu isu.


Shebby (barisan belakang, tiga dari kiri) sempat berganding dengan Chin Aun dalam skuad Malaysia.


Generasi Shebby ketika itu dilihat sebagai pelapis kepada pemain-pemain senior dalam skuad kebangsaan seperti Datuk Soh Chin Aun, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir, mendiang Datuk R Arumugam dan lain-lain.

Penulis sendiri menganggap Shebby sebagai pengganti Santokh. Bila hal itu penulis nyatakan kepadanya, Shebby hanya tersenyum dan dengan merendah diri berkata: “Janganlah bandingkan saya dengan Santokh, tinggi sangat tu. Dia (Santokh) dah legend.”

Tapi penulis tetap katakan kepadanya bahawa dialah pemain yang paling layak untuk menggantikan Santokh malah boleh menjadi legenda sebagaimana pemain itu dan Shebby membalasnya: “Terima kasih Rodly.”

Ternyata apa yang penulis jangkakan itu benar. Generasi Shebby mula diserap ke dalam skuad negara walaupun Chin Aun dan rakan-rakan masih menjadi tonggak. Ia secara tidak langsung turut memberi ‘lesen’ kepada penulis untuk ‘menyelit’ masuk dalam kem skuad kebangsaan.

Ketika itu, sebagai wartawan mentah, penulis mempunyai rasa hormat yang terlalu tinggi kepada pemain-pemain senior sehingga tidak berani mendekati mereka. Justeru, apabila Shebby dan pemain seangkatannya mula diserap ke dalam skuad kebangsaan, barulah penulis mempunyai ‘akses’ untuk menulis mengenai pasukan negara.


 

Soh Chin Aun. - Kredit foto: NST


Satu peristiwa yang tidak dapat penulis lupa membabitkan Shebby adalah apabila beliau menjadi penyelamat penulis ketika ‘ditangkap’ oleh Chin Aun kerana ‘menceroboh’ masuk ke tempat penginapan pemain negara di Wisma FAM. 

Kisahnya, ketika penulis tertinjau-tinjau di kawasan penginapan pemain dalam Wisma FAM itu, tiba-tiba penulis disergah dari belakang oleh seseorang. Apabila penulis menoleh, Chin Aun berdiri sambil bercekak pinggang. 

“Apa you buat sini?” tanya Chin Aun dengan nada garang. Kecut perut juga penulis apatah lagi itulah pertama kali berdepan dengan pemain yang digelar ‘tauke’ itu.

Penulis memperkenalkan diri sebagai wartawan. Ketika itu tiba-tiba terlintas nama Shebby dalam kepala, lalu penulis beritahu Chin Aun mahu menemu bual Shebby walaupun ketika itu tujuan penulis mahu menemu bual pemain lain. 

“Awak mana boleh suka-suka masuk sini. Ini time pemain nak rehat, mana boleh ganggu. Petang nanti ada traning boleh jumpa kat padang,” kata Chin Aun. Mukanya nampak garang. Penulis tunduk dan mengangguk.


Aksi Shebby ketika Malaysia menentang England dalam perlawanan persahabatan.


Ketika penulis hendak berlalu pergi, secara kebetulan Shebby muncul dan sebagaimana biasa dia dengan ramah terus menegur.

You kenal sama dia?” tanya Chin Aun. “Kenal. Reporter,” jawab Shebby.

Mendengar jawapan Shebby, Chin Aun terus berlalu. Tapi sambil berjalan, beliau memberi ingatan: “Jangan lama-lama aaaa!!”

Shebby cepat-cepat menarik tangan penulis masuk ke biliknya. Fuhhh!! Lega walaupun keluar juga peluh jantan penulis disergah dek Chin Aun tadi.

Penulis mengadu kepada Shebby mengenai teguran Chin Aun dan sambil tersenyum, beliau menjelaskan: “Tauke memang macam tu, tambah-tambah dengan orang yang dia tak kenal. Saja dia gertak tu. Tapi, hati dia baik.” 

Hari itu, Shebby menjadi penyelamat. Kalau beliau tidak muncul, mungkin tauke terus ‘membasuh’ penulis dan silap haribulan menghalau penulis dari situ.


Shebby (depan, kanan sekali) bersama generasi baharu skuad negara pada 1990-an.


Hubungan baik kami berterusan selepas itu. Beberapa tahun kemudian Shebby sudah menjadi pemain senior bagi skuad kebangsaan sementara saya juga sudah bergelar editor majalah Arena Bolasepak

Namun, apabila penulis berpindah ke Berita Harian pada 1991, hubungan kami dengan sendirinya terputus kerana tuntutan tugas menyebabkan hanya bekerja di dalam pejabat. Ini menyebabkan penulis tidak berpeluang bertemu Shebby dan pemain lain.

Kali terakhir penulis berhubung dengan Shebby adalah kira-kira lima tahun lalu. Kami saling bertanya khabar dan ternyata dalam tempoh terputus hubungan itu, banyak perkembangan peribadi beliau yang penulis tidak tahu. Rupanya ada sesuatu sudah berlaku dalam hidupnya! 

Penulis turut terkesan mendengar ceritanya kerana terbabit secara langsung dalam episod awal kisah ini, cuma pengakhirannya memang luar jangkaan penulis. Begitulah kehidupan, tidak semua yang manis pada awalnya akan berkekalan dengan kemanisan. Biarlah kisah ini menjadi rahsia dan kenangan penulis secara peribadi. 

Serbegeth Singh aka Shebby Singh sudah meninggalkan kita. Namun, kenangan bersama beliau akan tetap kekal hingga hujung nyawa! - KitaReporters


13
9
0
15
0
You will be interested