Pegawai Daerah Segamat, Hasrin Kamal Hashim (dua dari kiri) dan Haslinda Salleh mendengar penjelasan pegawai operasi Bomba dan Penyelamat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir kilat Kampung Lembah Bakti, Tenang Stesen, Labis, Johor.
Hasrat lebih 170 penduduk daripada 37 keluarga di Kampung Lembah Bakti, Tenang Stesen, Labis, Johor untuk menikmati juadah berbuka puasa bersama keluarga terbantut selepas rumah mereka dinaiki air kira-kira satu meter ekoran banjir kilat yang berlaku di kampung mereka pada Isnin, 11 April 2022.
Seorang mangsa, Abdul Rashid Rasol, 32, berkata, dia tidak menduga hujan lebat yang turun selama lebih kurang tiga jam sebelum itu boleh menyebabkan banjir kilat dengan kadar kenaikan paras air begitu cepat.
Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan bencana banjir kilat
Abdul Rashid Rasol menunjukkan paras air yang memasuki rumahnya dalam kejadian banjir kilat di Kampung Lembah Bakti, Tenang Stesen, Labis Johor.
"Sememangnya kawasan ini sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh, namun kejadian seperti ini boleh dikatakan tidak pernah berlaku di luar musim tengkujuh sebelum ini kecuali pada Januari (2022) lalu. Tapi tidaklah seteruk ini.
"Sebelum ini pernah juga hujan lebih lebat dan turun dalam tempoh yang lebih lama, namun tidak berlaku banjir kilat seperti hari ini," katanya ketika ditemui ketika membersihkan di rumahnya di Kampung Lembah Bakti, Tenang Stesen, Labis, Johor.
Dia juga turut mengesa pihak berkaitan untuk meneliti punca kejadian termasuk kemungkinan keadaan anak sungai berhampiran kawasan itu semakin tohor berikutan projek pembinaan landasan kereta api berkembar Gemas-Johor Bahru yang terletak bersebelahan kampung tersebut.
Mohd. Zain
Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd. Zain, 42, mengakui paras air naik begitu cepat sehingga setinggi satu meter dalam tempoh setengah jam sahaja menyebabkan ramai penduduk panik dan tidak sempat menikmati juadah berbuka puasa, sebaliknya bertindak keluar rumah untuk menyelamatkan diri di surau kampung tersebut sebelum berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJKC Ai Chun, Tenang Stesen.
Katanya, ketika itu dia tidak memikirkan soal makanan dan berbuka puasa, apa yang terlintas pada fikirannya hanyalah membawa ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang serta ahli keluarga lain termasuk dua orang anak yang masih kecil ke tempat yang lebih selamat dengan bantuan pihak berkuasa.
Dia juga melahirkan rasa hairan bagaimana paras air boleh naik dengan begitu pantas dan berpendapat kemungkinan terdapat halangan yang menganggu kelancaran air di anak sungai di belakang kampung tersebut menyebabkan longkang besar di kampungnya tidak dapat menampung jumlah air hujan.
ADUN Tenang, Haslinda Salleh ( dua dari kiri) turut turun padang meninjau proses pemindahan mangsa dalam kejadian banjir kilat di Kampung Lembah Bakti, Tenang Stesen, Labis, Johor.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh yang turun padang meninjau keadaan kawasan kejadian mengucapkan terima kasih kepada semua pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba dan Penyelamat dan Pejabat Daerah Segamat yang bertindak pantas membantu kerja-kerja pemindahan mangsa dan menyalurkan bantuan.
Dalam masa sama beliau turut meminta kerjasama pihak berwajib seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengenal pasti punca kejadian bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.
Keadaan PPS di SJKC Ai Chun yang menempatkan mangsa banjir kilat yang selesa.
"Saya juga sudah melawat rumah mangsa terlibat selepas air surut hari ini dan saya dapati banyak peralatan rumah mereka termasuk perabut rosak kerana tidak sempat diselamatkan berikutan paras air yang naik begitu pantas.
"Tinjauan di PPS hari ini saya dapati Pejabat Daerah Segamat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyalurkan bantuan barangan keperluan yang sepatut kepada semua mangsa sejak PPS mula dibuka malam tadi (11 April 2022)," katanya yang turut membekalkan barang keperluan asas makanan kepada semua mangsa sebelum pulang ke rumah masing-masing.
Menurutnya, semua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas pusat pemindahan sementara ditutup pada pukul 5 petang Selasa, 12 April 2022. - KitaReporters
Pegawai Daerah Segamat, Hasrin Kamal Hashim (kiri) berbincang sesuatu dengan ADUN Tenang, Haslinda Salleh ketika meninjau rumah mangsa selepas air surut.
Mangsa banjir kilat di Kampung Lembah Bakti dibekalkan barangan keperluan makanan kering sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.