Insan & Komuniti 24 Mar, 2020

TERBAIK! ORANG ASLI BUAT KAWALAN LEBIH AWAL

@rashid rahman
Memulakan kerjaya sebagai Wartawan Utusan Malaysia sejak Jun 2006 dan pernah bertugas di Ibu Pejabat (Kuala Lumpur), Sabah dan Pahang.

Share this
Masyarakat Orang Asli bukanlah lagi menjadi golongan yang ketinggalan dalam pelbagai bidang, malah adakala mereka memberi tindak balas lebih awal. Dalam berhadapan wabak COVID-19 kini, kesedaran Orang Asli dilihat terkehadapan apabila mereka melakukan pencegahan dengan membuat sekatan jalan ke kampung mereka bagi melarang orang luar masuk. : KitaReporters

Banner yang diletakkan di Pos Iskandar, Bera di Pahang yang melarang orang luar masuk ke kampung Orang Asli berkenaan. 


Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung, Norya Abas


Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 tetapi masyarakat Orang Asli khususnya di Pahang telah melakukan sekatan lebih awal lagi ketika wabak berkenaan mula dikesan di negara ini.

Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung, Norya Abas berkata, kebanyakan kampung Orang Asli khususnya yang berada dipinggir pekan yang mudah dimasuki orang luar bertindak membuat sekatan jalan.

Beliau yang juga Tok Batin Pos Iskandar di Bera berkata, di kampungnya sekatan jalan raya mula dibuat pada 11 Mac 2020 bagi mengelakkan orang luar memasuki kampung berkenaan.


"Tujuan sekatan jalan dan larangan orang luar masuk ke kampung adalah mencegah COVID-19. 

"Kita tidak mahu orang luar yang kita tidak kenal keluar masuk hingga membawa wabak ini yang boleh menjangkiti seluruh kampung. 

"Jadi kita membuat kawalan yang mana ada tempat sehingga 24 jam berganti-ganti selain memberikan laporan kepada pihak polis mengenai perkembangan semasa," katanya di Bera, Pahang pada Isnin, 23 Mac 2020.

Sekatan jalan di jalan masuk ke Pos Iskandar di Bera, Pahang


Dalam pada itu beliau berkata, selain mengadakan sekatan jalan raya, pihaknya turut melakukan pencegahan lain seperti membatalkan semua aktiviti yang melibatkan kumpulan ramai seperti karaoke.

Katanya, kepada anak-anak Orang Asli yang pulang ke kampung selepas tidak bekerja mereka akan diperiksa dan diambil maklumat dan sama ada terdapat kontak dengan mana-mana individu yang positif.

"Cabaran kita masa ini adalah ada yang balik kampung kerana tidak bekerja jadi kita akan pantau.

"Dan kalau ada simptom kita akan membuat laporan kepada pejabat kesihatan agar mereka mendapat rawatan segera," katanya.

Sekatan yang dibuat masyarakat Orang Asli di jalan ke Pos Buntu di Raub, Pahang.


Sementara itu, beliau berkata, pada masa ini terdapat 866 buah kampung Orang Asli di seluruh negara dengan penduduk kira-kira 215,000 orang.

Beliau memberitahu di Pahang sahaja terdapat lebih 212 kampung berdaftar dengan jumlah penduduk kira-kira 70,000 orang.

Sekatan jalan yang dilakukan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Tementong, Lipis.

18
5
3
2
0
You will be interested