Comelnya... Semoga kamu menjadi warganegara yang hebat.
SEORANG suri rumah sedang mencari ibu kandung kepada anak angkatnya, Anggun Felisha sebagai saksi untuk melengkapkan dokumen angkat sumpah mendapatkan penjagaan kekal bagi membolehkan anak kecil berusia 2 tahun 2 bulan itu menjalani kehidupan baru sebagai warga negara ini.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan anak angkat:
https://kitareporters.com/search?search=anak+angkat
Bertuah... Anggun dibesarkan dengan penuh kasih sayang.
Nabila Shahira Sulaiman atau Bella, 26, yang menghubungi KitaReporters memberitahu dia sangat memerlukan bantuan orang ramai untuk mengesan wanita berkenaan yang menghilangkan diri, sebaik saja menyerahkan bayi itu pada 14 Mac 2019 ketika usia tiga bulan.
Ibu kandung bayi itu hanya mahu dikenali sebagai Yuliani, 29, bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru dikatakan bernikah dengan seorang rakan sekerjanya dari Bangladesh.
Sebaik saja bersalin anak itu, ibunya dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru kerana mengalami masalah tembuni yang tersekat pada rahim.
Alamat terakhir wanita itu ialah Rumah Kongsi Kawasan Perindustrian Larkin atau di Kampung Serom 8, Tangkak, Johor.
Dan Bella boleh dihubungi melalui nombor talian 014-3627491.
Tolong saya Yuliani ya... Harapan Bella.
Sehari selepas diberikan anak itu, Bella terus mendaftarkan anak angkat itu di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Kini dia dan suaminya, Fadlishah Osman, 34, sudah pun mendapat hak penjagaan yang sah.
Bayi itu dilahirkan di sebuah rumah kongsi di Larkin Tangkak, Johor Bahru dan selepas ibu bapanya mengalami kesulitan kewangan dan kedua-duanya tiada dokumen, wanita berkenaan terus menyerahkan anak tersebut kepadanya.
Bella yang sudah tujuh tahun berkahwin dan tidak mendapat anak, memberitahu dia mendapat khabar gembira daripada saudara maranya di Tangkak kira-kira dua jam setengah perjalanan dari kampungnya untuk mengambil anak perempuan berkenaan yang ketika itu sudah pun berusia 3 bulan.
Bella segera ke rumah wanita berkenaan dan sebaik saja menjalani lafaz `angkat sumpah` serahan anak, dengan sedikit wang yang digunakan sebagai tambang oleh ibunya untuk pulang ke Indonesia.
Bersaksikan empat saudara, ibu anak itu turut berjanji tidak akan menuntut sebarang penjagaan pada masa depan.
"Bagaimanapun, tahun lalu, saya mendapat panggilan daripada ibu anak saya ni yang bertanyakan khabar. kemudian hubungan kami terus terputus kerana wanita ini menyekat talian telefon saya.
"Sehingga sekarang saya tidak tahu dia di mana. Sama ada masih di dalam negara atau pulang ke daerah asalnya," kata Bella.
Cuma sebaik saja Anggun berusia 2 tahun, 3 bulan, ada beberapa dokumen lain yang perlu dilengkapkan untuk menjadikan anak kecil itu sebagai waris sepenuhnya milik Bella dan suaminya.
Bella berkata, wanita itu memberikan anaknya sambil memintanya mendidik dengan penuh kasih sayang dan memberi bimbingan agama.
"Anak ini sudahpun diperakukan sebagai warga negara, cuma itulah ada beberapa dokumen angkat sumpah yang perlu diisikan oleh Yuliani untuk mengesahkan saya mendapat hak penjagaan sepenuhnya," katanya.
Daripada keadaan anak itu yang dijangkiti kudis buta, tidak mendapat rawatan perubatan secukupnya sejak bayi, kini Anggun sudah meningkat usia sebagai kanak-kanak yang ceria.
Bella berharap Yuliani dapat menghubunginya segera kerana selain itu, dokumen perlu dilengkapkan sepenuhnya bagi memastikan proses kad pengenalan dan maklumat untuk persekolahan anaknya lancar. - KitaReporters