Insan & Komuniti 09 Feb, 2021

Tolong kami! Bantu Mahfuzah, Afiq! Ibu tunggal perlu jaga anak sulung koma kerana kemalangan

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Mahfuzah Idris membetulkan kedudukan tiub susu Muhammad Afiq Rahim.


BERAT mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Status sebagai ibu tunggal yang menanggung tiga anak sendirian termasuk anak sulungnya yang koma sudah semestinya menuntut pengorbanan yang sangat besar apatah lagi dalam keadaan hidup serba kekurangan. 

Namun, wanita cekal ini Mahfuzah Idris menempuh hari-hari yang dilaluinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran. 


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan ibu tunggal:

https://kitareporters.com/search?search=ibu+tunggal



Seorang ibu sanggup berbuat apa sahaja demi anak-anaknya walaupun diri sendiri terpaksa menempuh perjalanan hidup yang sukar. 

Dengan sumber kewangan yang sangat terhad, suri rumah berstatus ibu tunggal ini terus menyara kehidupannya bersama tiga anak dengan bekerja di kedai makan, sekalipun upahya cuma RM45 sehari. 

Cukup atau tidak itu soal kedua. Yang penting hidup perlu diteruskan.

Mahfuzah Idris, 45  yang menetap di Taman Balok Makmur, Kuantan berkata, dua anak perempuannya, Nur Adriana Rahim, 18, kini belajar di Kolej Universiti Maritim Netherlands, Johor Bahru, manakala anak bongsunya Nur Alia Dina, 15,  menuntut di SMA Al-Iftifaqiyyah, Guai, Temerloh. Pahang. 

Bagaimanapun, snak sulungnya, Muhammad Afiq, 22, terlantar di rumah selepas terbabit dalam kemalangan di Batu Pahat, Johor pada 19 Februari 2018.

"Afiq jadi begini selepas dia eksiden apabila motor yang ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang lampu. Berikutan kemalangan itu, Afiq koma dan ditempatkan selama lima hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Batu Pahat sebelum dipindahkan ke wad biasa," kata Mahfuzah.

Mahfuzah dan Muhammad Afiq turut menerima lawatan persendirian yang prihatin dengan nasibnya


Selepas sebulan dirawat, Muhammad Afiq dibenarkan pulang dan menumpang di rumah abang Mahfuzah, Razak, 55, yang juga menetap di Batu Pahat. Mahfuzah yang menetap di Kuantan ketika itu mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga anaknya di Batu Pahat.

"Selepas setahun, saya bawa Afiq pulang ke Kuantan kerana ada dua anak yang lain perlu dijaga. Ketika Afiq kemalangan, anak-anak tinggal di asrama sekolah dan pulang bercuti di rumah ibu bapa saya, Idris Hanafi, 81, dan Che Mahani Hamid, 78, di Guai.
"Sudah empat tahun keadaannya (terbaring) begitu. Tidak sedarkan diri (koma). Doktor kata berkemungkinan dia akan terlantar seperti itu buat selamanya.
"Tiada pergerakan langsung. Semuanya saya uruskan. Afiq pakai lampin pakai buang, makan dan minum menerusi tiub, lehernya ditebuk untuk sistem pernafasan. 

"Keadaannya meruntun hati saya. Saya perlu kuat dan tidak boleh tunjukkan kesedihan saya depan Afiq," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp pada 5 Februari 2021.



Menurut Mahfuzah lagi, setiap kali sebelum keluar bekerja, dia akan pastikan Afiq dalam keadaan selesa dan sudah diberikan susu (menerusi tiub).
"Setiap hari saya siapkan keperluan Afiq sebelum meningalkannya sendirian mulai jam 5.40 pagi hingga 11 pagi. Ketika bekerja itulah saya selalu berdoa semoga Allah jagakan Afiq dengan selamat.
"Pernah juga berlaku kejadian tiub susunya tercabut ketika dia ditinggalkan, namun terpaksa tunggu anak saudara yang bekerja untuk membawanya ke klinik di sebelah petang," katanya.
Mahfuzah berkata, perbelanjaan rawatan dan keperluan Afiq melebihi RM1,000 sebulan untuk membeli pelbagai keperluan dan kos rawatan termasuk lampin pakai buang, gauze, tisu basah. losyen kuning, pita pelekat dan tiub susu.
 
Barangan keperluan yang diterima Muhammad Afiq sumbangan individu perihatin dengan keadaannya


"Afiq menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan tetapi masih tidak mencukupi untuk biaya keperluannya. Namun, saya bersyukur kerana turut menerima sumbangan barangan dan bantuan kewangan daripada individu prihatin.

"Untuk menjimatkan kos perjalanan  rawatan Afiq di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) saya buat serentak temu janji di tiga klinik pakar sekali gus. Saya perlu belanjakan wang RM200 untuk perkhidmatan ambulans kerana kesukaran Afiq untuk bergerak selain tiada kenderaan.
"Saya juga peruntukkan RM500 sebulan untuk belanja anak kedua di kampus kerana perlu beli topup untuk kelas online, manakala adiknya pula RM300. Dalam situasi sekarang, saya perlu berjimat sehabis boleh," katanya.

Kredit foto: FB Bonda Arfa


Mahfuzah berkata sebelum kejadian kemalangan itu, Muhammad Afiq menetap bersama bekas suaminya sejak berusia 14 tahun.

"Saya mengambil keputusan membawanya pulang ke Kuantan untuk menjaganya sepenuh masa dan tidak mahu memutuskan hubungan silaturrahim antara mereka bertiga," katanya.
Bagi yang ingin membantu, Mahfuzah Idris boleh dihubungi menerusi talian 0 17-921 6369 dan sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun beliau 7036443614 (CIMB).
Rakyat Malaysia memang prihatin dan sentiasa membantu antara satu sama lain. Ayuh, hulurkan bantuan dan sumbangan anda kepada ibu tabah ini yang membesarkan anak-anak bersendirian dah menumpang teduh di tanah orang. 

Malaysia boleh! Jangan jadikan COVID-19 sebagai alasan untuk tidak membantu. Kita ada saluran yang betulkan! - KitaReporters


Kredit foto: Bonda Arfa

0
0
15
0
0
You will be interested