UNTUK mencari lokasi di mana-mana tempat di seluruh dunia kini bukan menjadi masalah besar kerana terdapat beberapa aplikasi yang dapat membantu, antara yang popular ialah Waze dan Google Maps.
Namun dengan segala macam kemudahan itu, salah sangka serta salah faham menyebabkan ada juga yang tersesat dan tersalah destinasi.
Anda mungkin antara mangsa yang pernah tersalah rumah ekoran tersalah orang atau tersalah arah.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan melucukan
Anggota rombongan tersilap rumah pengantin wanita keluar semula bersama barang hantaran. - Kredit foto: Paparan video IG: Borobudurnews
Peristiwa lucu ini terjadi di Dusun Jengkol, Desa Losari, Pakis, Magelang, Jawa Tengah pada Ahad, 4 April 2021 kira-kira jam 12 tengah hari waktu tempatan.
Gara-gara tersalah sangka, rombongan pengantin lelaki telah tersalah bawa ke rumah pengantin perempuan. Sebaliknya rombongan itu singgah di rumah yang sedang menunggu rombongan pertunangan.
Di daerah itu, kebetulan dua acara yang berlangsung dalam waktu bersamaan, satu acara pertunangan dan satu acara pernikahan.
Kesilapan itu terungkap apabila gadis yang hendak bertunang bernama Ulfa hairan apabila acara yang sepatutnya diadakan pada jam 10 pagi, namun jam 11 pagi, rombongan petunangan masih belum sampai.
Ulfa lalu meminta beberapa anggota keluarga menunggu di persimpangan jalan kampung. Tidak lama menunggu, muncul sebuah bas membawa rombongan lalu ditahan oleh kumpulan saudara Ulfa.
Tanpa berfikir lanjut, pihak rombongan yakin bahawa sekumpulan lelaki itu adalah tukang penunjuk rumah lalu mengikut sahaja arah jalan yang diberitahu.
Tidak lama kemudian rombongan itu tiba di rumah Ulfa yang disangka sebagai pengantin perempuan. Anggota rombongan berbual mesra dengan keluarga Ulfa dan menyerahkan barangan hantaran.
Setelah beberapa ketika bersalaman dan berbual mesra, akhirnya Ulfa keluar dan dia hairan melihat kesemua anggota rombongan tidak ada seorang yang dikenalinya dan wajah bakal tunangnya tidak kelihatan. Dan barangan yang dihantar adalah barangan perkahwinan, bukan barangan pertunangan.
Akhirnya Ulfa memutuskan untuk menelefon calon tunangnya untuk memastikan di mana dia berada. Namun jawapan bakal tunangnya amat mengejutkan kerana dia mengatakan masih dalam perjalanan dan berhenti mencari tandas.
Ketika ditanya, rombongan yang datang itu dari Pemalang, sementara bakal tunang Ulfa dari Kendal, Jawa Tengah.
Terkejut tersalah rumah, rombongan dari Pemalang itu minta diri dan mengambil semula barang hantaran.
Anggota keluarga Ulfa membantu menghantar rombongan itu ke tempat pengantin wanita sebenarnya di kampung sebelah yang tidak jauh dari rumah Ulfa.
Ulfa yang dihubungi Tribun News pada Isnin, 5 April 2021, menyatakan tidak menyangka mengalami kejadian lucu pada hari pertunangannya.
Dia terkejut menyangka kejadian itu menjadi heboh lebih-lebih lagi apabila ia tular selepas dimuat naik dalam beberapa laman sosial dan media elektronik.
Antara laman sosial yang memuatkan naik video tertukar rumah pengantin ini ialah @borobudurnews dan @makassar_iinfo, pada Isnin, 5 April 2021. - KitaReporters