HO VAN LANG gembira memikul pisang hasil tanamannya untuk dijual. - Kredit foto: Vietnam Net
‘TARZAN sudah mati!’ Selama 40 tahun Ho Van Lang dibesarkan di dalam hutan sehingga dikenali sebagai ‘Tarzan’ kerana terlalu lama hidup dalam belantara. Awal bulan ini pada usia 52 tahun tarzan itu meninggal dunia akibat kanser hati.
Memetik laporan Vietnam Net, Van Lang keluar dari hutan belantara pada 2013 untuk kembali ke kampung halaman bagi meneruskan kehidupan di tengah masyarakat setelah membesar di dalam hutan sejak tahun 1972.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan 'Tarzan'
HO VAN LANG... selama di dalam hutan pakaiannya dan bapanya adalah daripada kulit kayu. - Kredit Docastaway
Pada usia kecilnya, Van Long tinggal bersama bapanya, Ho Van Thanh, seorang veteran tentera di sebuah perkampungan kecil di Daerah Tra Bong, Vietnam.
Tragedi yang menimpa keluarganya menyebabkan Van Thanh mengambil keputusan meninggalkan kampung halaman dengan membawa bersamanya Van Lang yang ketika itu berumur dua tahun.
Dia membawa diri ke dalam hutan Quang Ngai dalam wilayah Tra Biong bersama anaknya dengan membawa hati sedih dan duka lara. Isteri dan dua anaknya menjadi korban bom tentera Amerika Syarikat yang mengebom rumah mereka ketika perang Vietnam Utara dan Selatan. Amerika memihak kepada Vietnam Selatan.
Selama 40 tahun di dalam hutan, Van Thanh dan anaknya terputus dari dunia luar. Selama tempoh itu juga mereka tidak berinteraksi dengan manusia atau dunia moden. Mereka tidak tahu apa perkembangan yang berlaku di sekeliling.
HO VAN THACH, bapa Van Lang meninggal pada 2017 pada usia 86 tahun. - Kredit foto: Vietnam Net.
Van Thanh memang tidak berharat keluar dari hutan kerana peristiwa yang meragut nyawa isteri dan anaknya meninggalkan kesan mendalam. Hutan adalah rumahnya.
Dia tidak percaya dan tidak tahu perang Vietnam telah berakhir dan Vietnam Utara dan Vietnam Selatan sudah bergabung menjadi Vietnam pada 1975 berikutan kejayaan Vietnam Utara menewaskan Vietnam Selatan dalam perang tersebut, sekalipun dibantu Amerika.
Mereka hanya keluar dari hutan apabila ditemui penduduk tempatan pada Ogos 2013. Ketika itu bapanya sakit teruk. Selepas bapanya mati pada 2017 dalam usia 86 tahun, Van Lang tinggal bersama keluarga adiknya di wilayah tengah Quang Ngai.
Selama di dalam hutan, Van Lang dan bapanya memakan apa sahaja makanan yang ada di sekeliling mereka. Ini termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan madu serta ikan.
Daging haiwan liar juga menjadi sajian makanan mereka, antaranya daging monyet, tikus, ular, cicak, katak, kelawar dan burung.
Namun ternyata kehidupan yang terlalu lama di dalam hutan menjadikan amat sukar bagi kedua-dua beranak itu menyesuaikan diri apabila kembali ke alam moden, terutama bagi Van Lang yang masuk ke hutan pada usia dia belum tahu apa-apa.
HO VAN LANG (kanan) memasak makanan bersama adiknya, Ho Van Tri di kediaman mereka. Van Lang tinggal bersama Van Tri sejak kematian bapanya, Van Thach, pada 2017. - Kredit Vietnam Net.
Kerana itu baginya hutan adalah dunianya, dan dunianya adalah hutan. Apabila kembali ke alam moden, dia bagai rusa masuk kampung. Sukar sekali menyesuaikan diri dalam kalangan orang ramai dan suasana sekeliling.
Kesukaran ini ditanggung sepanjang hayatnya. Walaupun dia
tidak kembali kepada kehidupan lama di hutan, adiknya, Ho Van Tri
memberitahu, Van Lang tetap merindui kehidupan hutan.
Dia akan masuk ke hutan setiap hari dari awal pagi hingga
tengah hari menanam pokok buah-buahan dan sayuran. Van Lang juga tidak terlalu
bercampur dengan orang ramai dan lebih pendiam setelah bapanya meninggal dunia.
Bagaimanapun dia tidak lagi memakan tumbuhan atau daging
haiwan liar tetapi makanan yang diproses serta minuman beralkohol.
Van Lang dianggap seorang yang baik. Namun kehidupan di
dunia moden adalah satu kejutan dan dirinya dikatakan tidak dapat menerima
perubahan drastik tersebut.
Kerana itu ada yang beranggapan kematiannya dianggap satu rahmat sebagai mengakhiri penderitaan yang ditanggung - penderitaan berubah menjadi manusia moden dan kanser hati yang dihidapinya. - KitaReporters
Ho Van Lang ketika dibawa keluar dari hutan yang di diaminya selama lebih empat dekad. - Kredit foto: Docastaway.
VAN Lang bersama bapanya berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan baharunya di sebuah perkampungan di Vietnam.- Kredit foto : Docastaway