Insan & Komuniti 15 Sep, 2021

Tolong kami! Bantu Zafri Anoar! Sakit kencing manis, darah tinggi! Tiada kerja, pulih strok!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

ZAFRI Anoar Zaini


``KALAULAH ambo (saya) royat (bagi tahu) mungkin orang lain tidak percaya, ambo ini kadangkala makan nasi sekali sehari je (saja), itu pun nasi serta lauk yang diberi oleh adik perempuan ambo hok duduk dekat dengan rumah ambo. 

``Ambo tak dok (tiada) pitis (wang) untuk buat belanja. Ambo tak cekat (larat) nak buat kerja lening (sekarang) . Tubuh badan ambo tidak sihat sokmo (selalu). Nyakit (penyakit) ada, nyakit kencing manis dan darah tinggi,’’ kata Zafri Anoar Zaini, 49.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan


Zafri Anoar menunjukkan surat Laporan Perubatan tentang dirinya.


Dia yang tinggal di 48, Taman Seri Intan, Kampung Gertah 100, Kuala Besut, Besut, Terengganu meluahkan perasaan sedemikian ketika dihubungi pada Isnin, 13 September 2021 mengharapkan bantuan bulanan daripada pihak kerajaan bagi menampung perbelanjaannya yang selama ini bergantung simpati dari adik-beradiknya serta jiran tetangga

Zafri Anoar yang masih bujang menghidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak enam tahun lalu sehingga sekarang dan sepanjang tempoh tersebut dia tidak pernah merasa jemu berulang alik untuk mendapat perawatan perubatan di Klinik Kuala Besut.

Nasibnya agak malang, ketika dia hidup menderita akibat dua penyakit kronik itu tiba-tiba dia diserang pula angin ahmar menyebabkan hidupnya terlantar dan tidak dapat bergerak ke mana-mana, tetapi penyakit strok itu beransur pulih sejak tahun 2019 lalu.

Walau bagaimanapun penyakitnya itu tidak pulih sepenuhnya sehingga hari ini.



``Selama dua tahun saya hidup terbaring selepas terkena angin ahmar dan pergerakan saya lemah, tubuh saya tidak bermaya dan ketika itu saya tidak boleh bercakap tetapi sekarang ini saya bersyukur kerana penyakit saya alami itu hampir pulih biarpun keadaan tubuh badan saya tidak seperti dulu lagi,’’ katanya.

Lelaki itu berkata, sepanjang dia hidup terlantar itu, segala makan minum atau apa-apa sahaja diurus oleh seorang adik bongsunya, Zaily Sohaila Zaini, 45, yang tinggal berdekatan dengan rumahnya

Menurutnya, sehingga kini, Zaily Sohaila yang menghantar nasi atau apa-apa makanan untuk dimakannya setiap hari.

Zafri Anoar berkata, adiknya atau anak-anaknya menghantar nasi ke rumahnya hanya sekali sehari dan sekiranya nasi yang diberi itu habis dimakan pada waktu tengah hari bermakna waktu malam dia tidak makan nasi lagi dan sebagai alas perutnya dia terpaksa makan biskut ataupun roti kosong.


KETIKA badannya merasa penat dan tidak bermaya Zafri Anoar terpaksi berbaring di rumahnya di Taman Seri Intan, Gertah 100, Kuala Besut, Besut, Terengganu.


``Sarapan pagi saya pun tidak menentu, kadangkala saya makan biskut atau roti dan sebab itulah saya setiap masa berdoa semuga mendapat bantuan bulanan daripada pihak kerajaan.

``Jikalau saya mendapat bantuan, saya tidak akan menyusahkan kehidupan Zaily Sohaila termasuk anak-anaknya yang  setiap hari terpaksa menghantar makanan bagi saya kerana saya juga sedar dia pun keluarga susah mempunyai suami kerja kampung yang ada lima orang anak,’’ ujarnya.

Sebelum ini dia pernah memohon bantuan bulanan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Besut dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Daerah Besut, tetapi setakat ini tidak berhasil lagi. 

Sewaktu sihat, Zafri Anoar yang merupakan anak yang keempat daripada lima adik-beradik itu pernah bekerja memilih ikan yang dijual oleh bot nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Besut. 

Namun kerja-kerja yang dilakukan dengan menggunakan tenaga yang kuat terpaksa dihentikan selepas dia menghidapi penyakit kencing manis pada 2015.



``Jujur saya kata, selepas saya menghidapi penyakit kencing manis saya hilang punca pendapatan kerana saya tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan akibat tubuh badan saya sentiasa lemah dan tidak bertenaga.

``Bayangkan, sejak dari dulu lagi sampai hari ini, kehidupan saya, makan minum saya, susah senang saya betul-betul mengharapkan simpati serta ehsan dari adik-beradik saya,’’ ujar Zafri Anoar.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Zafri Anoar bolehlah menghubunginya menerusi talian 016-8165200 atau akaun BSN 11118-41-00014634-4. - KitaReporters

13
12
3
18
0
You will be interested