Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT)
WARGA Terengganu yang berhasrat untuk berkahwin dengan pelarian Rohingya yang tinggal di negeri ini perlu berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan pelarian tersebut kerana mempunyai risiko yang tinggi.
Sebaliknya, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menasihatkan mereka yang ingin meneruskan perkahwinan agar tidak berkahwin dengan pelarian Rohingya kerana kesan dan akibat negatif yang akan diterima.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelarian Rohingya
Moktar Salleh
Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT, Moktar Salleh berkata, ketika ini terdapat lebih 6,000 orang pelarian Rohingya yang menetap di negeri ini.
Katanya, pelarian Rohingya terbabit merupakan mereka yang tidak mempunyai warganegara namun kerajaan Malaysia memberikan perlindungan sementara kepadanya.
“Pihak JHEAT juga sentiasa memberikan khidmat nasihat terhadap mana-mana permohonan kahwin rakyat Terengganu dengan pelarian Rohingya supaya mengubah haluan akibat risiko yang akan ditanggung,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya mereka berkahwin, maka perkahwinana tersebut tidak akan didaftarkan kerana pasangan tidak ada warganegara.
Menurut Moktar, apabila perkahwinan tidak boleh didaftarkan, maka surat nikah juga tidak boleh dikeluarkan.
"Jika ditangkap berdua-duaan, maka penguatkuasaan syariah boleh mengangkat kes mereka kepada pendakwaan syariah untuk dijawab di mahkamah," katanya.
Selain itu, katanya, anak bersama pasangan Rohingya juga terpaksa dibinkan dengan Abdullah atau mana-mana Asmaul Husna. Di samping itu, dari segi tuntutan nafkah juga tidak boleh dituntut.
Beliau berkata, selain itu, seandainya pasangan pelarian Rohingya itu ditempatkan di mana-mana negara, maka mereka akan dikeluarkan bersama keluarga (anak dan isteri). - KitaReporters