LAZIMNYA aktiviti mendaki gunung memerlukan persiapan yang terperinci bukan sahaja mental dan fizikal tetapi juga dari sudut persediaan pakaian yang bersesuaian.
Namun berbeza dengan seorang deejay dan pengacara, Yohan Charles Jayasuriya yang mengenakan sut adiwira Iron Man ketika menakluk gunung tertinggi di Malaysia.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Gunung KInabalu
Deejay dari Sabah ini nekad menyarungkan kostum kegeramaran ramai itu bersama 13 pendaki lain yang mendaftar dalam penyertaan Ekspedisi Tahunan Coalition Duchenne ke-10 Gunung Kinabalu pada 24 Julai 2022 lalu.
Semuanya dilakukan bertujuan meningkatkan kesedaran dan pembiayaan bagi penyakit Duchenne Muscular Dystrophy (DMD), iaitu sejenis penyakit ganjil berkaitan otot.
Pertubuhan Coalition Duchenne yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat diasaskan oleh ibu saudara Jayasuriya, Catherine Jayasuriya yang juga seorang penerbit filem kelahiran Sabah.
Malah lelaki segak itu menjelas penyertaan tersebut bukan kali pertama yang disertai sebaliknya adalah kali kedua menakluk Gunung Kinabalu dengan mengenakan sut istimewa tersebut.
Kongsinya percubaan pertama adalah pada tahun 2020, semuanya dilakukan bagi mengumpul dana untuk golongan malim gunung Gunung Kinabalu yang kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19.
"Malangnya, saya tidak dapat sampai ke puncak kerana cuaca buruk," kata Jayasuriya.
"Saya sangat teruja kerana sekali lagi dapat mendaki Gunung Kinabalu dalam kostum Iron Man. Kali ini, ia lebih bermakna, kerana saya melakukannya bersama sepupu saya," kata Jayasuriya, yang memakai kostum itu sepanjang pendakian dan penurunannya.
Perjalanan untuk tiba di puncak mengambil masa empat jam untuk tiba ke Latan Rata dan tiga jam lagi untuk sampai ke puncak pada pagi berikutnya.
Bayangkan kostum yang berat tersebut menjadi sahabat baik sepanjang perjalanan berkenaan.
Namun lelaki tersebut mengakui tugas mendaki gunung dengan sut yang beratnya kira-kira tiga kilogram itu, bukan satu kerja mudah.
Pergerakannya agak terhad dan perlu lebih berhati-hati dalam sut berperisai penuh ini selain berdepan kesukaran untuk berjalan di atas permukaan licin.
"Bahagian paling sukar ialah menaiki denai ke Low's Peak dalam kegelapan dia terpaksa menggunakan lampu suluh bagi menambahkan pencahayaan. "
Saya juga bergantung pada bebola bercahaya pada sut Iron Man sebagai lampu," kata lelaki berusia 41 tahun itu.
Dia yang berpengalaman mendaki Gunung Kinabalu sebanyak 12 kali berkata, untuk mempersiapkan setiap pendakian, dia telah mendaki Bukit Padang di Kota Kinabalu, berjoging dan melakukan latihan otot.
Malah merancang untuk menjejakkan kaki di Kem Pangkalan Everest pada tahun depan (2023) sebagai usaha bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang DMD.
Sudah tentu rancangan itu mahu direalisasikan Jayasuriya dengan mengenakan sut Iron Man.
Bagaimanapun dia mengakui buat masa ini perlu berehat terlebih dahulu kerana masih belum pulih daripada pendakian Gunung Kinabalu baru-baru ini.
"Jadi selepas itu, saya akan meneruskan latihan untuk cabaran seterusnya," kata bapa kepada seorang anak lelaki berusia 10 tahun itu. - KitaReporters