Selepas kira-kira enam dekad Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) ditubuhkan, persatuan kebajikan itu tampil berwajah baharu melalui penjenamaan semula yang lebih segar dan dinamik.

"Rebranding" itu simbol kepada semangat kolektif supaya persatuan itu menjadi peneraju pembangunan keluarga besar anak-anak Pahang di ibu kota.
Ia akan memperkukuh identiti persatuan melalui program berimpak tinggi dan penambahbaikan sumbangan kebajikan kepada ahli.
Penjenamaan PEKAP adalah hala tuju baru supaya persatuan itu kian dikenali, terserlah dan menarik lebih ramai anak Pahang menjadi ahli.
Justeru, setiap aktiviti yang dilaksanakan akan dihebahkan supaya masyarakat tahu apa yang persatuan itu lakukan.

Azman Shah Abdullah.
Yang Dipertua PEKAP, Datuk Azman Shah Abdullah, berkata persatuan juga mewujudkan beberapa bidang tugas baharu seperti Pengerusi Agama, Setiausaha Kerja, dan Pengarah Komunikasi dan Multimedia bertujuan memantapkan pengurusan persatuan dan menyerlah kredibiliti.
Beliau berkata, melalui penjenamaan baharu itu, PEKAP mengatur strategi besar supaya setiap aktiviti lebih terserlah selain terus menjadi wadah membina, menyokong dan memartabatkan anak Pahang di Lembah Klang.
"Bagi tahun 2026, kami merancang beberapa program besar, antaranya Hari Keluarga PEKAP bagi menghimpunkan lebih 4,400 ahli di lokasi yang akan dikenal pasti nanti dan mengadakan pelbagai aktiviti yang diharap menjadi kenangan seumur hidup mereka.
"Kami juga bercadang mengadakan Majlis Makan Malam Gala bersama Penaung, Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail sempena 60 tahun penubuhan PEKAP," katanya.

Ahli PEKAP bergambar kenangan bersama Ustaz Syamsul Debat dan Azman Shah Abdullah selepas program ceramah motivasi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Ceramah Motivasi Ustaz Syamsul Debat bertajuk, "Memperkasa Kepimpinan Dinamik & Keterampilan" dan Sepetang Bersama Media di Kelab Darul Ehsan (KDE) Ampang, Selangor. Turut hadir, Timbalannya, Datuk Abdul Razak Idris.
Azman Shah mengakui, dalam mendepani peningkatan ahli, cabaran utama ialah mencari dana bagi membantu anak-anak Pahang yang memerlukan kerana jumlah yang disalurkan semakin meningkat, jika sebelumnya sumbangan sekitar RM60,000 setahun kini melebihi RM100,000 setahun.

Sebahagian ahli PEKAP yang hadir di program Ceramah Motivasi Ustaz Syamsul Debat bertajuk, "Memperkasa Kepimpinan Dinamik & Keterampilan" di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor.
"Justeru, AJK di bawah kepimpinan saya perlu bekerja keras mencari dana untuk kebajikan ahli. Alhamdulillah selain ibu pejabat PEKAP di Setiawangsa, kami mempunyai bangunan di Sri Petaling yang disewakan kepada KWSP sejak 2015.
"PEKAP membeli bangunan di Alam Impian dan Semenyih untuk tujuan pelaburan dan hasilnya akan dimanfaat untuk membantu ahli.
"Dan, sempena Mesyuarat Agung Khas nanti, kami akan meminda beberapa klausa dalam perlembagaan bagi membolehkan persatuan menjana ekonomi
"Bagi tujuan menjana ekonomi, PEKAP menubuhkan anak syarikat bagi membolehkan ia menjalankan perniagaan secara langsung dalam pelbagai bidang. Anak syarikat itu turut memohon tanah di Rompin untuk diusahakan bagi manfaat persatuan dan ahli," katanya.

Azman Shah (empat dari kanan) menyerahkan baju rasmi PEKAP kepada Syamsul Debat sebagai kenangan.
Dalam perkembangan yang sama, PEKAP telah mengadap Sultan Pahang untuk memaklumkan perkembangan terkini persatuan itu, alhamdulillah baginda gembira dan mahu usaha diteruskan membantu dan memberi kebajikan kepada anak Pahang di Lembah Klang.
"Dalam pertemuan itu, baginda mahu PEKAP terus menyantuni dan meraikan mereka sebagai sebuah keluarga besar kerana persatuan itu sentiasa dalam ingatannya dan rakyat dalam hati baginda.
"Baginda mahu setiap ahli PEKAP mendapat insurans secara berkelompok bagi memudahkan bantuan kewangan dan moral diberikan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini seperti kemalangan atau kematian.
"Dalam perjumpaan itu, PEKAP ada memaklumkan permohonan tanah di Pahang dan baginda bersetuju serta meminta ia diusahakan bersama anak syarikat kerajaan negeri untuk manfaat persatuan dan ahli," katanya.

Wakil media bergambar kenangan bersama Azman Shah dan AJK PEKAP sempena program Sepetang Bersama Media.
Tengku Abdullah juga bersetuju meneruskan sumbangan dalam bidang pendidikan seperti anugerah pelajar cemerlang dalam kalangan ahli PEKAP selain meraikan anak Pahang dalam Iftar Ramadan dan jamuan Aidilfitri.
"Alhamdulillah hubungan PEKAP dengan Sultan Abdullah dan Menteri Besar termasuk exco kerajaan negeri memang baik dan mesra. Ahli seronok dapat bersama baginda dan kepimpinan Pahang dalam setiap majlis diadakan.
"Dan, bagi meraikan hubungan itu, kami akan mengadakan majlis santapan diraja bagi memenuhi hasrat Tengku Abdullah menikmati keenakan ikan patin di Kuala Lumpur. Persatuan dalam proses mencari tarikh yang sesuai untuk program itu," katanya. - KitaReporters