Selepas berdepan pelbagai isu antara penduduk dan pemaju yang menguruskan pembangunan semula Kampung Sungai Baru, akhirnya berita gembira diberikan untuk mereka yang layak dan bakal menikmati pelbagai kemudahan seperti pengecualian caj penyelenggaraan bagi tahun pertama selepas siap pembangunan semula.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang hadir sendiri melihat majlis pecah tanah pembangunan semula Kampung Sungai Baru pada 30 November 2025, menaruh harapan tinggi agar segala kemelut dapat diselesaikan dengan baik antara semua pihak.
Bukan setakat pengecualian caj penyelenggaraan tetapi penduduk terus menerima berita gembira iaitu renovasi rumah bakal ditanggung oleh pihak pemaju sebanyak 70 peratus bagi tahun kedua hingga tahun ke-10.
"Komitmen ini bernilai sehingga RM4 juta. Selain itu, pemaju juga bersetuju untuk menyediakan kelengkapan tambahan rumah berbentuk pendingin udara, hud dan dapur masak bernilai keseluruhan sehingga RM2 juta.
"Pemaju turut bersetuju menanggung kos pembinaan berjumlah RM15 juta untuk menghubungkan Kampong Bharu amnya dan Kampung Sungai Baru khasnya dengan akses terus ke Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)," katanya.
Selain itu, Zaliha turut memaklumkan bahawa projek yang bermula pada 30 November 2025 itu akan mengambil masa selamat empat tahun dan berharap perkara ini mampu memberi kegembiraan kepada semua pihak terutama penduduk yang sudah menanti sekian lama.
"Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada penduduk dan pemaju (KL City Gateway Sdn Bhd), akhirnya kita berjaya menyelesaikan satu isu legasi yang begitu lama dinantikan penduduk tempatan," tambahnya.
Kawasan tersebut sememangnya sangat terkenal dengan identiti Melayu dan disebabkan itu, semua pihak mencapai kata sepakat untuk memelihara perkara berkenaan agar ia terus kekal dan menjadi simbolik bagi penduduk di kawasan berkenaan.
"Ada pihak yang cuba meniup sentimen bahawa Kampung Sungai Baru akan kehilangan identiti asalnya, tetapi saya tegaskan walaupun sudah banyak kali diulang di Parlimen, saya bersama pasukan akan pastikan identiti Kampung Sungai Baru itu kekal dan tidak akan lenyap.
"Dalam urusan ini, saya sudah minta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) untuk lihat dengan teliti kesemua aspek untuk memastikan identiti asal, bukan saja identiti Melayu, tetapi adat resam di Kampung Sungai Baru ini kekal terpelihara.
"Ini bukan pengakhiran kepada Kampung Sungai Baru, malah ini adalah permulaan baru kepada Kampung Sungai Baru," katanya. - KitaReporters