Bagi Jaafar Othman, 63, beliau mempunyai cara tersendiri untuk menterjemah rasa syukur, setia dan sayang terhadap tanah air sambil meraikan bulan kemerdekaan. Sejak 25 tahun lalu, setiap kali menjelang sambutan ulang tahun hari bersejarah itu, beliau tidak pernah gagal menghias rumahnya dengan pelbagai ‘gaya’ berkonsepkan kemerdekaan. - KitaReporters

HIASAN bahagian depan rumah Jaafar Othman.
PELBAGAI cara rakyat Malaysia menzahirkan kecintaan terhadap negara terutama setiap kali menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan pada setiap 31 haribulan Ogos.
Bagi Jaafar Othman, 63, beliau mempunyai cara tersendiri untuk menterjemah rasa syukur, setia dan sayang terhadap tanah air sambil meraikan bulan kemerdekaan.
Sejak 25 tahun lalu, setiap kali menjelang sambutan ulang tahun hari bersejarah itu, beliau tidak pernah gagal menghias rumahnya dengan pelbagai ‘gaya’ berkonsepkan kemerdekaan.
Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menetap di Taman Kerian, Parit Buntar, Perak itu memanfaat setiap inci rumah yang didiaminya dengan memasang kira-kira 1,000 bendera Malaysia pelbagai saiz.

SETIAP ruang dihiasi dengan Jalur Gemilang.
Di samping itu
beliau turut membina pintu gerbang serta
replika bangunan yang menonjolkan keunikan dan sejarah negara kita seperti Menara
Berkembar Petronas (KLCC), Bangunan Sultan Abdul Samad dan Menara Kuala Lumpur.
Menurut Jaafar, memang sejak masih bekerja, beliau sudah terbabit dalam kerja hiasan bagi meraikan Hari Kebangsaan di pejabatnya, yang kemudian diaplikasi pula ke rumahnya.
“Dulu, semasa bekerja, saya terbabit membuat hiasan di pejabat setiap kali menyambut kemerdekaan. Lama kelamaan, minat saya kepada bidang itu semakin mendalam sehingga saya bawa konsep itu ke rumah,” katanya.
Jaafar berkata, selain berasa puas kerana dapat menzahirkan kreativiti, ia juga secara tidak langsung meningkatkan jiwa patriotik dalam dirinya.

RUANG tamu turut dihias dengan tema kemerdekaan.
Selain menggunakan bendera sebagai asas hiasannya, Jaafar turut memanfaat barangan kitar semula seperti kayu, tin, botol plastik, barangan kaca dan lain-lain, disesuaikan dengan konsep yang mahu dibangunkannya.
“Pada peringkat awal dahulu, saya membelanjakan antara RM3,000 sehingga RM4,000 untuk membeli bendera dan barang-barang lain, tapi sekarang kos penyediaannya hanya sekitar RM300-RM400 kerana saya mengulang pakai barangan yang sama, cuma konsepnya saja berbeza,” ujar Jaafar.
Lazimnya, beliau hanya mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan hiasan itu dengan bantuan isterinya, Norlia Hashim.

JAAFAR muncul johan seluruh negeri Perak bagi kategori individu (rumah) pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2024.

JAAFAR (tengah) bersama pemenang tempat kedua dan ketiga.
Apa yang menarik, hasil kerja Jaafar itu diiktiraf apabila beliau dipilih sebagai johan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, kategori individu, peringkat negeri Perak pada 2022 dan 2024.
Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, sesuatu yang dianggapnya sebagai bonus.
“Ini adalah satu penghargaan buat saya kerana bukan mudah untuk memenanginya kerana kira-kira 200 orang mengambil bahagian dari seluruh negeri Perak.
“Begitupun, itu bukanlah matlamat utama. Bagi saya, sama ada pertandingan atau tidak, saya tetap akan menghias rumah setiap kali menyambut kemerdekaan kerana ia memberi makna dan kepuasan tersendiri,” katanya lagi.

Beliau juga berharap dengan usaha dilakukannya, ia secara tidak langsung dapat mendidik anak-anak, cucu-cucunya serta generasi sekarang untuk menghargai dan menghayati erti sebuah kemerdekaan.
Kebetulan, anak sulungnya, Fatin Farhana, juga lahir pada tarikh ulang tahun kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos, 1991.
Keunikan ditonjolkan oleh Jaafar dalam hiasan kemerdekaan turut menjadikan rumahnya sebagai tumpuan pelancongan apabila ramai yang mengunjungi serta merakamkan gambar kenangan.

Bagi menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan yang ke-68 pada 31 Ogos, 2025, Jaaafar memilih Jam Besar Parit Buntar sebagai subjek replika di samping mengekalkan bendera sebagai elemen utama.
“Bagi saya, bendera adalah lambang kedaulatan negara kita, atas sebab itu ia menjadi elemen utama dalam hiasan yang saya lakukan,” ujar Jaafar.
Justeru, menurut Jaafar, pelbagai kontroversi membabitkan Jalur Gemilang yang mencetuskan kekecohan kebelakangan ini tidak seharusnya berlaku jika rakyat benar-benar menghayatinya.
“Kita sudah merdeka selama 68 tahun, jadi pelbagai kesilapan yang berlaku berkait dengan bendera tidak boleh diterima. Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa perlu menghargai Jalur Gemilang kita kerana itulah lambang negara Malaysia.

PINTU gerbang masuk ke rumah Jaafar dihiasi bendera setiap negeri.
“Setiap tahun saya memasang kira-kira 1,000 bendera
dengan pelbagai saiz. Saya memang pastikan setiap bendera dipasang dengan
betul.
“Malah, cucu-cucu saya yang masih kanak-kanak juga sangat prihatin, kalau ada bendera yang jatuh atau berada pada kedudukan tidak betul, mungkin selepas ditiup angin, mereka akan segera memberitahu saya.
“Setakat ini, belum pernah lagi terjadi saya memasang bendera terbalik. Jadi, sukar untuk menerima pelbagai isu yang berbangkit mengenai bendera kebelakangan ini,” tegasnya.
Jaafar menegaskan, selagi ada kudrat, beliau akan merneruskan tradisi menghias rumah dengan tema kemerdekaan setiap kali kita meraikan ulang tahun kemerdekaan pada 31 haribulan Ogos, setiap tahun. - KitaReporters