Insan & Komuniti 12 Dec, 2025

Hati bikers runtun! Santuni warga emas! Santai Selebriti Media dan Bikers! Pupuk nilai kemanusiaan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Karakter seorang bikers sering digambarkan dengan penampilan berwatak kasar atau garang, menyarung badan dengan jaket kulit, denim, but dan sebagainya, lalu menyebabkan timbul tanggapan negatif kepada orang ramai apabila bertembung dengan mereka.


Bikers berganding bahu menyediakan sarapan pagi untuk warga emas di PJMM.


Walaupun sesetengah itu kelihatan mengancam namun begitu ia hanya sekadar penilaian daripada mata kasar atau terpengaruh apabila melihat watak bikers dalam filem, justeru keadaan berkenaan tidak benar malah seperti insan lain mereka memiliki jiwa nurani yang sensitif malah berhati mulia.

Situasi begini terserlah kepada 13 bikers yang kelihatan sugul bergenang air mata apabila berpeluang datang menjenguk warga emas yang disisihkan oleh ahli keluarga atau sebatang kara meneruskan kehidupan dalam keuzuran di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada 7 Disember 2025.


Warga emas PJMM berasa seronok dan gembira dilayani bikers.


Kehadiran bikers berkenaan adalah atas inisiatif Anita Entertainment & Production yang sentiasa menganjurkan program jelajah ‘kembara kemanusiaan' untuk menyanjung serta menziarah asnaf, anak yatim dan warga emas dengan pelbagai kempen kesedaran kemanusiaan di seluruh Malaysia serta Borneo sejak 2013.

Pengarah Urusannya, Anita Yusop, berkata di PJMM itu syarikatnya kembali bagi meneruskan misi program untuk siri ke-64 bersama-sama kumpulan artis, media dan konvoi bikers motosikal berkuasa tinggi bagi memeriahkan acara ‘Santai Selebriti Media dan Bikers’ bertemakan ‘Masih Ada Yang Sayang’.

Menurutnya, kumpulan bikers yang hadir dengan turut memberi sumbangan termasuklah Anita Bikers Group; Terjah Malaysia diketuai Tokki; SBK Kingdom Bikers bersama Penasihatnya, Dato’ Ir. Ts. Abdul Manaf Hanafi; Iron Heart MC diiringi Presidennya, Ary; Scorpion Bikers dan Wak Muji Bikers dari Johor.


Ir. Ts. Abdul Manaf menyerahkan sumbangan peribadi kepada Pengerusi PJMM, Azman Rasman (kanan) sambil diperhatikan oleh Anita Yusop dan Mohiadin Bahado.


Jelasnya, program secara santai yang dihadiri lebih 50 tetamu itu adalah untuk menyantuni serta menziarahi warga emas di pusat berkenaan kerana mereka amat merindui keramahan orang luar apabila seharian berkurung dan hanya berbual dengan rakan senasib.

“Kerancakan bikers melayani warga emas ini terhenti seketika apabila mereka berasa sayu dan sebak tatkala Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado mendeklamasi sajak nukilannya bertajuk ‘Harapan Seorang Ibu dan Ayah’ yang amat meruntun jiwa.

“Keadaan kembali ceria khusus warga emas apabila turut mengiringi artis Ajak dari kumpulan Melissa menyampaikan lagu popularnya ‘Cinta Untuk Nabila’ dan Juril Jumali vokalis Duta dengan lagu ‘Tak Mungkin’,” ujarnya. 


Azman (kiri) memberi penerangan mengenai nasib warga emas yang terlantar di atas katil kerana keuzuran kepada Anita bersama rakan bikers, Ajak Melissa dan Juril Duta. 


Program di PJMM itu turut mendapat kerjasama dan sokongan termasuk menyediakan jamuan makan untuk warga  emas serta tetamu dari Rangkaian Restoran Siti Zubaidah, Pasta7, Gadys Matchaa, Sambal Torpedo, Fokus Ikhsan Travel & Tours, AFC Malaysia @ AFC Food & Services Sdn Bhd, manakal tajaan pengangkutan rasmi acara oleh Adamsofia Transportation Service @ Great Firash Travel & Tour Sdn Bhd. 

Pasukan Seni Silat Gayung Fatani Malaysia turut membuat persembahan bagi menghiburkan warga emas.

Anita berkata, paling menarik program di PJMM itu menandakan satu suntikan misi kemanusiaan  berterusan syarikatnya untuk tahun 2026 bagi warga emas di samping menarik lebih ramai bikers untuk diketengahkan sebagai duta kerja amal kebajikan serta kemanusiaan.

Tambahnya, dalam keadaan seronok kita menjalani kehidupan bersama keluarga tanpa disedari masih ada segolongan insan Istimewa yang saban hari menagih perhatian serta kasih sayang selepas dipinggirkan di pusat jagaan.  

“Kami yang datang ke PJMM ini amat tersentuh hati dan berasa sebak melihat warga emas sudah lanjut usia dan terlantar di atas katil menjalani kehidupan penuh kepayahan kerana menghidap pelbagai penyakit yang sepatutnya disantuni anak atau waris terdekat,” katanya. 


Bikers merakamkan kenangan bersama Anita, Mohiadin dan Azman selepas menerima sijil penghargaan.


Sementara itu, ketika berkongsi keluhan rasa, Abdul Manaf melahirkan harapan supaya lebih ramai masyarakat termasuk bikers dapat meneruskan kerja amal kebajikan dengan memperbanyak amalan bersedekah kepada pusat jagaan yang membela warga emas.

“Saya berasa amat kagum dengan pengurusan PJMM bersama petugas dan sukarelawan sentiasa melayani serta menyantuni warga emas dengan baik seperti ahli keluarga sendiri supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup walaupun semakin uzur,” ujarnya yang turut menghulurkan sumbangan peribadi.

Ary pula ketika menyampaikan ucapan ringkas tidak dapat menahan sebak apabila membaca beberapa bait sajak nukilan Mohiadin membuatkan bikers dan hadirin mengesat air mata apabila mengesahkan seorang ayah dan ibu ditengking anak akibat kurang perdengaran selain kerana berbau hamis.

“Ini pengalaman baharu saya apabila mengenangkan nasib warga emas yang diabaikan anak sendiri kerana sanggup meninggalkan ibu bapa di pusat jagaan atau di hospital sebaik sahaja selesai mendapatkan rawatan kesihatan,” ujar Ajak Melissa. - KitaReporters


Anita, Mohiadin dan Azman (tengah) merakamkan kenangan bersama-sama bikers dan warga emas pada program ‘Santai Selebriti Media dan Bikers’ bertemakan ‘Masih Ada Yang Sayang’.

11
10
1
18
0
You will be interested