Insan & Komuniti 21 Oct, 2025

Apa dah jadi? Fenomena kutip kerang jadi tragedi visual! Sampah sarap bertaburan di Pantai Klebang!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Fenomena luar biasa kehadiran ribuan kerang di pesisir Pantai Klebang sejak 18 Oktober 2025, mencetuskan keterujaan dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong apabila ramai berpusu-pusu ke lokasi berkenaan untuk mengutip hasil laut tersebut.



Fenomena semula jadi itu dipercayai berlaku akibat perubahan arus laut dan pasang surut yang membawa naik kumpulan kerang ke kawasan pantai cetek. 

Keadaan ini menarik minat ramai termasuk keluarga dan pengunjung luar yang datang seawal subuh dengan membawa baldi serta jaring bagi mengutip kerang segar untuk dimasak atau dijual.

Namun, di sebalik kegembiraan itu, timbul pula isu kebersihan apabila gambar dan video sampah sarap bertaburan di sepanjang pantai tular dalam media sosial, mencetuskan rasa kecewa ramai pihak terhadap sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung.



Antara yang lantang menegur perkara tersebut ialah OtamBlurr, seorang influencer (pempengaruh) tempatan yang sering berkongsi kandungan berkaitan gaya hidup dan isu komuniti di Melaka. 

Dalam hantaran yang dimuat naik pada 20 Oktober 2025, dia meluahkan rasa kesal apabila melihat keadaan pantai yang dipenuhi sampah plastik, botol minuman dan sisa makanan.

“Konon hari ni nak teman kawan kutip kerang, tapi sampai je situ mengucap panjang tengok sampah bergelimpangan. 

"Tak tahu nak salahkan siapa sebab mata tak nampak, tapi kalau dah tahu situ tak ada tong sampah, angkat baliklah sampah tu. Cari tempat yang sesuai nak buang. Bila nak berubah mentaliti orang Malaysia ni?” katanya.



Hantaran berkenaan segera menarik perhatian warganet yang rata-ratanya bersetuju dengan teguran tersebut. Ramai pengguna turut mengecam tindakan pengunjung yang meninggalkan sampah tanpa rasa tanggungjawab.

Antara komen berbunyi, “Inilah mentaliti orang kita yang susah sangat nak diubah. Kalau kat rumah sendiri, sanggup ke tengok sampah bertaburan macam ni?”

“Tahun 2025 pun masih ada perangai buang sampah macam ni. Memang menarik!”  

Ada juga yang mencadangkan agar pihak berkuasa memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan menambah tong sampah di sekitar kawasan pantai bagi mengekang tabiat buruk tersebut. 



Pantai Klebang yang terletak di Melaka Tengah sememangnya antara destinasi pelancongan utama negeri itu. 

Kawasan ini dikenali dengan keindahan ‘padang pasir Klebang’, hasil projek penambakan tanah yang tidak siap sepenuhnya, serta menjadi lokasi popular untuk berkelah, bergambar dan menikmati makanan laut.



Namun, limpahan pengunjung sempena fenomena kutip kerang luar biasa ini menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas dan peningkatan jumlah sisa yang tidak dikendalikan dengan baik.

Orang ramai dinasihatkan supaya menjaga kebersihan, tidak membuang sisa merata-rata dan membawa pulang sampah masing-masing selepas beraktiviti di kawasan tersebut. - KitaReporters



13
11
0
13
0
You will be interested