Insan & Komuniti 09 Nov, 2025

Video| Tanya je? Golongan muda Malaysia gagal kuasai bahasa Melayu asas? Kena guna Google Translate?

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Seorang doktor menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir rakyat Malaysia yang dilahirkan, dibesarkan dan menerima pendidikan sepenuhnya di negara ini, namun masih tidak mampu bertutur atau memahami bahasa Melayu asas.



Video yang dimuat naik dalam TikTok oleh pengguna, Kirrainya Nair, meraih lebih 92.6 ribu tontonan dan lebih 6,000 tanda suka dan ratusan komen daripada netizen. 

Dalam rakaman tersebut, beliau berkongsi pengalaman merawat seorang pesakit muda yang hanya mampu berkomunikasi menggunakan aplikasi terjemahan bagi memahami soalan asas dalam bahasa Melayu.

Menurutnya, keadaan itu bukan lagi satu perkara luar biasa kerana beliau sering berdepan pesakit muda dengan situasi sama.



“Tolong jelaskan bagaimana seseorang yang lahir dan bersekolah di Malaysia tidak boleh bercakap atau faham bahasa Melayu asas. Saya hanya bertanya soalan mudah seperti ‘Apa khabar?’ atau ‘Dah berapa hari demam?’, tetapi pesakit terus beri telefon dengan Google Translate,” katanya.

Kirrainya menegaskan bahawa penguasaan bahasa kebangsaan merupakan asas penghormatan kepada negara, selain tidak menafikan kepentingan memelihara bahasa ibunda masing-masing.

“Saya tidak mengecam sesiapa, cuma berharap semua orang belajar dan gunakan bahasa Melayu walaupun pada tahap asas,” ujar beliau.  

Dia turut menyeru agar ibu bapa menggalakkan penguasaan pelbagai bahasa demi perkembangan kognitif anak-anak.  



Video berkenaan turut menerima pelbagai reaksi netizen yang setuju dengan pandangan tersebut.

Seorang netizen berkata golongan yang langsung tidak mengetahui asas bahasa Melayu itu mungkin terdiri daripada mereka yang kurang bergaul dengan masyarakat tempatan.  

Manakala yang lain pula mendakwa mesej yang disampaikan itu berpotensi menerima kecaman sesetengah pihak, namun berpendapat doktor tersebut hanya menyatakan realiti. 



Terdapat juga komen berbentuk pengalaman peribadi, antaranya yang mendakwa turut berdepan situasi sama sebagai doktor di Pulau Pinang, terutama dalam kalangan pesakit muda.

Ada juga netizen menyatakan rasa pelik apabila mengenali individu yang tidak fasih bahasa Melayu tetapi memilih untuk mempelajari bahasa negara lain terlebih dahulu.


 

 


Sementara itu, seorang netizen lain pula memuji situasi di Indonesia, menyatakan masyarakat Cina di negara itu fasih berbahasa Indonesia, manakala seorang lagi menyuarakan pandangan bahawa sistem sekolah vernakular perlu dikaji semula untuk menyokong perpaduan nasional.


“Saya hairan bagaimana mereka boleh hidup tanpa berinteraksi dengan masyarakat sekeliling,” ujar netizen tersebut.

Ada juga netizen yang membandingkan kemampuan pelajar asing, terutama dari Bangladesh, Vietnam dan Myanmar, yang mampu mempelajari bahasa Melayu selepas setahun berada di negara ini. 

Dalam ruangan komen, Kirrainya turut tampil menasihati agar perbincangan kekal sopan dan berhemah.

“Tujuan saya hanya untuk menekankan kepentingan menguasai bahasa kebangsaan tanpa mengira latar belakang kaum. Bahasa bersama menyatukan kita,” katanya.



Isu penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda terus menjadi topik perbincangan masyarakat, khususnya pada era globalisasi yang menuntut penguasaan pelbagai bahasa. 

Walaupun keperluan menguasai bahasa asing semakin meningkat, masyarakat berharap bahasa kebangsaan tidak dipinggirkan dan terus dihormati sebagai simbol identiti serta perpaduan negara. - KitaReporters



9
10
0
13
0
You will be interested