Insan & Komuniti 15 Nov, 2025

Video| Rumah flat tapi macam kondo! Macam hotel! Usaha ubah suai penduduk tingkat 12 curi perhatian!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Biasanya kalau setakat rumah flat, hiasan dan reka bentuk luarnya tidaklah seindah mana. Sekadar cat lama, lantai kusam, malah ada yang menjadi sasaran vandalisme. 



Namun, lain pula ceritanya dengan sebuah flat (pangsapuri) di ibu negara ini apabila penghuni di tingkat 12 mengambil inisiatif mencantikkan sendiri kawasan mereka sehingga tular dalam media sosial. 

Video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok @af_zie22 (Lia Damia362) memaparkan suasana ceria penghuni bersama-sama bergotong-royong melakukan kerja ubah suai dan menghias ruang laluan tingkat berkenaan. 

Dengan kapsyen ringkas, “Renovate (pengubahsuaian) hasil gotong royong penghuni level 12". 

Alhamdulillah muafakat membawa berkat,” video itu meraih ribuan komen positif daripada warganet.



Menurut Lia Damia ketika ditanya oleh seorang netizen, projek itu dijalankan sepenuhnya atas dasar semangat kejiranan tanpa mengharapkan sepenuhnya bantuan luar. 

“DBKL hanya beri RM300 untuk cat. Selebihnya kami buat kutipan sesama tetangga,” jelasnya dalam ruangan komen.

Katanya lagi, usaha ini bermula dengan niat kecil untuk menjadikan kawasan kediaman lebih selesa, namun akhirnya menjadi simbol perpaduan dan kerjasama antara jiran tetangga.



Suasana di tingkat 12 kini berbeza. Lantai bersih, dinding bercat baharu dan sudut hiasan yang tersusun kemas seolah-olah bukan di flat, tetapi di kondominium moden. 

Keindahan hasil kerja tangan penduduk sendiri menarik perhatian ramai pengguna TikTok.



“Cantiknya, kalau hari raya berkumpul kat sini pun ok!” tulis salah seorang netizen.

Seorang lagi netizen turut kagum dengan suasana tingkat 12 flat tersebut yang menganggapnya sebagai luar biasa.



“Berapa tingkat flat ni bang? Kalau semua tingkat macam ni, mesti lawa. Luar setinggan, dalam macam kondo!”

Di sebalik pujian, ada juga yang memberi pandangan membina. Netizen tersebut mengingatkan agar kawasan itu dilengkapi sistem pemantauan.  

“Kena pasang CCTV di dua sudut. Dah buat cantik-cantik tu, kena ada CCTV lah. Kalau tidak, sayang kalau dirosakkan oleh orang atau kanak-kanak,” sarannya. 



Menjawab persoalan mengenai penyelenggaraan, Lia menjelaskan bahawa mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga.

“Tingkat 12, kucing ada tuannya, jadi apa-apa kita cari tuannya. Hujan kami ada pasang oni (awning). Tempias sikit-sikit je kami,” ujarnya.



Inisiatif penghuni tingkat 12 ini menjadi bukti bahawa keindahan dan keharmonian komuniti tidak semestinya bergantung pada nilai hartanah, tetapi pada semangat muafakat dan kesediaan untuk bekerjasama. 

Di tengah-tengah kesibukan hidup bandar, mereka memilih untuk mencipta persekitaran yang lebih baik, bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi untuk semua.



Projek kecil ini akhirnya mencetuskan inspirasi kepada banyak komuniti flat lain untuk melakukan perkara sama. 

Dengan sedikit usaha, komunikasi yang baik dan sumbangan ikhlas, kawasan perumahan biasa juga boleh berubah menjadi ruang yang mendamaikan dan membanggakan.

“Alhamdulillah, macam hotel kan,” tulis Lia Damia dalam respons terakhirnya. 

Ungkapan ringkas itu cukup menggambarkan kepuasan hati sebuah komuniti kecil yang berjaya membuktikan apabila hati bersatu, flat pun boleh jadi syurga kecil. - KitaReporters



12
10
0
8
0
You will be interested