Dalam dunia perniagaan makanan, ramai peniaga memilih untuk menyimpan rahsia resipi masing-masing. Maklumlah, itulah ‘senjata’ mereka untuk kekal relevan dalam pasaran.
Malah, makcik-makcik nasi lemak tepi jalan pun kadangkala enggan berkongsi rahsia sambal istimewa mereka.
Namun berbeza dengan seorang peniaga cekodok dalam TikTok ini. Tanpa rasa takut atau berkira,dia tampil secara terbuka berkongsi resipi jualannya kepada netizen.
Lebih menarik, dia siap menghalalkan sesiapa saja yang mahu guna resipi itu sama ada untuk makan sendiri mahupun untuk berniaga.
“Resipi ni saya buat jualan dari rumah. Saya halalkan sesiapa yang nak cuba buat jualan, nak buat makan-makan kat rumah, silakan simpan,” katanya dalam video yang kini meraih jutaan tontonan.
Perkongsian tersebut bukan saja mencuri perhatian pengguna TikTok, malah membuka pintu rezeki kepada ramai orang.
Dalam ruangan komen, netizen rata-ratanya memuji kemurahan hati peniaga ini. Ada yang gembira kerana dapat belajar teknik baharu, ada pula yang terus gunakan resipi itu untuk berniaga kecil-kecilan dari rumah.
Bagi mereka, perkongsian ilmu seperti ini jarang berlaku kerana kebanyakan orang takut ‘hilang pelanggan’ jika resipi didedahkan.
Tetapi peniaga cekodok ini percaya rezeki datang daripada Allah SWT dan tidak akan pernah salah alamat.

Apabila diamati, resipi yang dikongsi sebenarnya tidak jauh berbeza daripada resipi cekodok biasa. Namun rahsia sebenar terletak pada bahan utama yang digunakan iaitu tepung naik sendiri atau tepung kek yang biasanya digunakan untuk membuat kek span.
Inilah kunci yang membuatkan cekodoknya gebu, rangup dan tidak berminyak walaupun selepas sejuk.
Netizen yang sudah mencuba turut mengesahkan hasilnya memang berbeza.

“Selang sehari saya buat cucur udang guna resipi Mama Sue ni. Suami puji, dah tak keras macam dulu. Sedap!” tulis seorang pengguna TikTok.
Seorang lagi netizen pula berkongsi pengalaman: “Sis, saya cuba jual hari ni, terus dua kotak tempahan orang buat. Pertama kali cuba, memang sedap sis. Terima kasih kongsi resipi. Sedap, lembut je sampai petang.”

Kalau kita perhatikan, resipi cekodok memang macam-macam cara orang buat. Ada yang letak telur, ada yang gunakan air panas, ada yang tak.
Tetapi isu paling biasa adalaht ekstur, ada yang terlalu keras, ada yang lembik, ada yang berminyak apabila sejuk.
Dengan rahsia tepung naik sendiri ini, ramai yang berjaya dapatkan tekstur gebu dan rangup seperti yang diidamkan. Malah, cekodok ini kekal sedap sehingga ke esok hari, satu pencapaian besar bagi penggemar cekodok.
Bukan itu sahaja, perkongsian ini juga mendorong ramai suri rumah dan peniaga kecil untuk memulakan langkah pertama dalam dunia perniagaan makanan.
Resipi percuma yang dikongsi membuka peluang kepada ramai orang untuk menjana pendapatan tambahan.
Terima kasih Mama_Sue91. Semoga kita semua mendapat berkat daripada usaha baik ini. - KitaReporters
