Kesihatan lebih utama berbanding mempunyai banyak wang tetapi tubuh badan tidak sihat. Wang tidak dapat membeli kesihatan. Demikian pandangan Doktor Muhammad Syauqan Zaini pemilik Klinik Medico, Setapak, ketika memberi ceramah kesihatan di Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. - KitaReporters

Dr. Mohammad Syauqan Zaini menyampaikan ceramah kesihatan secara santai di Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak pada malam 24 Julai 2025.
Kesihatan lebih utama berbanding mempunyai banyak wang tetapi tubuh badan tidak sihat. Wang tidak dapat membeli kesihatan.
Demikian pandangan Dr Muhammad Syauqan Zaini, 35, pemilik Klinik Medico, Setapak, ketika memberi ceramah kesihatan di Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada Khamis malam Jumaat 24 Julai 2025 lalu.
Di samping ceramah, beliau juga mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma dan terbuka untuk penduduk kariah dan jemaah surau.
Rasanya ramai setuju dengan pandangan Dr Syauqan. Tidak dinafikan wang penting. Tetapi mesej yang ingin beliau tekankan ialah pentingnya menjaga kesihatan, terutama apabila usia sudah meningkat.
Jika tubuh tidak sihat, atau terlantar sakit, banyak perkara yang biasa dilkukan sebelumnya tidak dapat dilakukan lagi.
Walaupun ada banyak wang, masa lebih tertumpu kepada rawatan.
Untuk berjalan-jalan makan angin atau menikmati pelbagai jenis makanan digemari seperti biasa tidak boleh lagi. Makanan perlu dikawal, bukan bebas makan seperti dahulu. Ubat jadi teman setia.

Sebahagian jemaah Surau A-lFalah, Danau Kota, menunggu giliran menjalani pemeriksaan kesihatan percuma kendalian Dr Syauqan.
Kerana itu menurut Dr Syauqan, sementara sakit dan kesembuhan itu kuasa Allah, usaha dan ikhtiar wajar dilakukan agar tahap kesihatan terjaga. Pemeriksaan berkala perlu dilakukan agar gejala penyakit boleh dikesan awal, dan rawatan segera boleh diberi.
Menurut beliau, faktor usia memainkan peranan penting dalam melakukan pemeriksaan berkala.
Pada usia muda, pemeriksaan mungkin dilakukan setahun sekali. Tetapi apabila usia semakin meningkat, kekerapan pemeriksaan juga meningkat, terutama bagi golongan warga emas.
Perkara ini amat penting diambil ingatan kerana ada mereka yang sakit tidak mahu mendapatkan rawatan atas alasan 'sakit sedikit sahaja'. Apabila sudah serius baharu hendak ke klinik atau hospital.
Kedegilan ini boleh membawa akibat tidak diingini.

Warga asing jemaah Surau Al-Falah, Danau Kota tidak ketinggalan menjalani pemeriksaan kesihatan percuma.

Sebahagian lagi jemaah Surau Al-Falah yang menjalani pemeriksaan percuma kendalian Dr Syauqan.
Pada sesi pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan sendiri oleh Dr Syauqan, ramai jemaah Surau Al-Falah mengambil kesempatan melakukan pemeriksaan, termasuk warga asing yang menjadi jemaah surau.
Antara pemeriksaan dilakukan termasuk paras gula dan tekanan darah (BP). Sambil melakukan pemeriksaan, Dr Syauqan menjelaskan mengenai simptom penyakit yang dihidapi seperti paras gula atau tekanan darah yang tinggi, dengan nasihat untuk mengawal dan mendapat rawatan.

Dr Syauqan memberi penerangan mengenai kesan paras gula yang tinggi kepada salah seorang jemaah Surau Al-Falah dan menjelaskan perlunya ia dikawal.
Para jemaah berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan secara santai tetapi bermanfaat untuk pengetahuan jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan.
Dr
Syauqan mempunyai pengalaman 10 tahun sebagai doktor perubatan. Berkelulusan
daripada Trinity College of Dublin, Ireland, beliau pernah berkhidmat selama
empat tahun sebagai pegawai perubatan kerajaan.
Beliau kemudian meninggalkan perkhidmatan kerajaan untuk membuka klinik sendiri, Klinik Medico, di Diamond Square, Jalan Gombak, Setapak, Kuala Lumpur.

Senarai rawatan kesihatan yang ditawarkan oleh Klinik Medico, Diamond Square, Jalan Gombak, Setapak, Kuala Lumpur.
Klinik ini yang beroperasi 24 jam sedia memberi khidmat untuk penduduk sekitar seperti Setapak, Gombak, Danau Kota, Wangsa Maju, Air Panas serta kawasan lain. Jemput datang! - KitaReporters