“Beginilah takdir hidupku. Hidup sendirian pada usia warga emas. Aku reda dan pasrah. Mungkin masih ada yang sudi.”

Itulah luahan yang cukup menyentuh hati dikongsikan seorang pesara wanita berusia 61 tahun, Zalina Yusoff, melalui akaun TikTok miliknya @zalina.yusoff.yus.
Menerusi gambar yang diiringi lagu “Ketika Cinta Bertasbih”, dia meluahkan rasa syukur kerana masih diberi kesihatan yang baik walaupun menjalani kehidupan seorang diri pada usia senja.
Dalam perkongsian ringkas tetapi penuh makna itu, Zalina menulis: “Saya seorang pesara berusia 61 tahun ingin mencari peneman hidup untuk bersama mengisi sisa-sisa hidup yang masih ada.”

Perkongsian tersebut pantas meraih perhatian ramai
pengguna TikTok. Dalam tempoh kurang sehari, video berkenaan telah mencatat
lebih 582.7k tontonan, 3,000 lebih komen dan 12.2k tanda suka. Ramai yang
tersentuh dengan keikhlasan dan keberanian wanita itu menyuarakan keinginan
untuk mencari teman hidup selepas bergelar warga emas.
Benar, usia bukanlah penghalang untuk terus berharap dan mencintai.
Kehadiran seseorang yang boleh berkongsi cerita, meneman ke surau, atau sekadar berbual di petang hari sudah cukup bermakna selepas sekian lama hidup berdikari.

“Kadang-kadang apabila usia makin meningkat, kita tak minta banyak. Cukuplah ada teman yang memahami, boleh temankan ke klinik bila sakit, teman makan atau tengok televisyen.
"Bukan soal kesunyian semata-mata, tapi lebih kepada rasa ingin dihargai dan tidak dilupakan,” kata netizen dalam satu komen balas.
Dalam ruangan komen, ribuan pengguna tampil memberikan pelbagai reaksi. Ada yang menasihati supaya beliau terus menikmati hidup dengan tenang, dan ada juga yang menyokong penuh niatnya untuk membuka hati kepada cinta baharu.

“Kalau boleh tak payahlah puan. Tahap umur macam ni
dah masanya untuk hidup tenang je,” ujar netizen tersebut.
Namun komen itu dibalas dengan pandangan balas oleh
beberapa pengguna lain yang bersetuju dengan hasrat Zalina.
“Nak ada teman untuk sembang, pergi surau, masjid, pergi klinik apabila sakit demam. Anak-anak dah ada kehidupan masing-masing.”

Ada juga netizen yang memahami perasaan Zalina kerana mempunyai ayah yang nasib hampir sama.
“Abah saya umur 65, seorang pesara dan duda juga. Kadang-kadang nampak dia sunyi. Jadi saya faham perasaan puan.”
Walau bagaimanapun, tidak semua komen bersifat positif. Ada juga yang berpendapat bahawa kehidupan solo lebih aman.
“Sendiri lebih baik puan, jangan cari masalah.”
Seorang lagi menulis secara berseloroh: “Hahaha, pergi duduk di pondok jer.”

Namun di sebalik gurauan, ramai netizen memahami bahawa kehidupan warga emas bukan sekadar soal usia, tetapi juga tentang kesepian dan rasa ingin ditemani.
“Apabila kau dah masuk 40-an, kau akan mengerti perasaan puan ni.”

Luahan-luahan seperti ini menunjukkan realiti yang sering tidak disebut bahawa ramai dalam kalangan warga emas sebenarnya masih mempunyai keinginan untuk dicintai, dihargai dan berkongsi kasih, bukan semata-mata kerana kesunyian tetapi kerana fitrah manusia yang tidak pernah berubah walau usia meningkat.
Fenomena ini bukanlah sesuatu yang asing di
Malaysia. Dengan peningkatan jangka hayat rakyat negara ini, semakin ramai
warga emas yang memilih untuk hidup aktif dan berdikari, termasuk membuka hati
untuk mencari teman hidup baharu selepas kehilangan pasangan.
Kisah seperti yang dikongsi oleh Zalina ini memberi inspirasi kepada ramai, bahawa tidak pernah ada istilah terlambat untuk bahagia.
Selagi hayat dikandung badan, setiap insan berhak untuk mencuba mencari kebahagiaan dan cinta sejati, walau dalam bentuk yang paling sederhana sekalipun. - KitaReporters
