Insan & Komuniti 19 Nov, 2025

Sayangnya! Seni raut penyapu lidi makin menyepi pada zaman moden! Noranizah usaha pertahan warisan!

Share this

Apabila kita menyebut penyapu lidi, rata-rata generasi masa kini tidak pernah tahu atau melihat perkakas rumah berkenaan dek kerana permodenan penggunaan pembersihan hampagas atau lebih dikenali sebagai vakum. 



Bagi penulis yang lahir pada tahun 60-an, sejak zaman nenek moyang kita lagi, penyapu lidi ini menjadi kegunaan harian untuk membersihkan rumah, halaman serta tidak kurang juga dijadikan senjata menakut-nakutkan haiwan seperti kucing atau anjing.

Penggunaan penyapu lidi walaupun hampir menyepi disebabkan kemunculan aksesori menggunakan elektrik bagi membersihkan kediaman, namun ia langsung tidak pernah melunturkan semangat seorang penduduk kampung, Noranizah Mohammad Sareh, 38, dari Kampung Lubuk Batu, Segamat untuk terus menghasilkan penyapu lidi sejak 20 tahun lalu.

Walaupun nilai jualan penyapu lidi kurang memberangsangkan, namun nostalgia meraut lidi bersama keluarga ketika era 90-an sehingga kini cukup bermakna kerana dilakukan secara berkumpulan meskipun upah daripada kerja berkenaan begitu kecil.



"Sekitar 1990-an, penghasilan penyapu lidi dibuat secara besar-besaran dan saya mampu menyiapkan lebih 10 ikat penyapu sehari dengan harga RM2.30 hingga RM2.50 setiap satu ketika itu.

"Pada waktu tertentu, kerja-kerja meraut lidi ini dilakukan secara berkumpulan, sekali gus menimbulkan suasana keluarga yang meriah. 

"Dulu, kami buat kerja ini beramai-ramai adakalanya bersama jiran namun sekarang hanya tinggal saya, ibu dan dibantu oleh suami.

“Keadaannya sudah tidak sama seperti sekitar 90-an yang membuat kerja-kerja meraut lidi ini santai dilakukan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Lubok Batu, Segamat.



Menurut perkongsian Noranizah kepada penulis, kini dia dibantu oleh ibunya, Saimah Basar, 69, dan suaminya Syed Ali Syed Yusoff, 39, menjalankan kerja-kerja meraut lidi secara sambilan.

Kini, kerja menghasilkan penyapu lidi dibuat sekiranya ada permintaan dan juga bergantung pada kelapangan waktu dan jumlah tempahan.

"Perkembangan teknologi membuatkan masyarakat kita pada hari ini semakin melupakan penyapu lidi tetapi masih ada yang mahu menggunakan penyapu lidi atas faktor memudahkan kerja pembersihan secara segera, terutama sekali bagi warga emas yang sudah terbiasa menggunakan penyapu itu sejak dahulu.

“Pekerjaan menghasilkan penyapu lidi bagi sesetengah orang adalah mudah, namun sebenarnya ia menuntut kesabaran tinggi dan ketekunan.

"Saya dan ibu kerap mengalami luka tertusuk duri pelepah kelapa sawit hingga bengkak dan jari bernanah.

"Malah saya pernah disengat lebih 10 ekor lebah di bahagian tangan kanan ketika merayau mencari pelepah sawit di sekitar kebun pokok sawit," kongsi Noranizah kepada penulis.



Noranizah mengakui meraut lidi memerlukan masa agak lama untuk menyiapkan seberkas penyapu kerana tidak semua daun kelapa sawit sesuai dijadikan penyapu.

Ini kerana pokok muda mempunyai lidi halus pendek berbanding pokok berusia 20 tahun ke atas yang mempunyai lidi lebih kasar, panjang, lembut dan tahan lama.

Proses meraut lidi dilakukan secara tradisional serta adakalanya mengalami luka lagi di bahagian hujung jari terkena pisau peraut.

Bagi menyiapkan seikat penyapu, ia adalah proses rumit selain memakan masa untuk mahir bagi mengelakkan bahagian hujung lidi ketika meraut terputus dan tidak dapat mencapai kualiti dikhendaki.

"Saya yakin pasti ramai antara kita sukar untuk mendapatkan penyapu lidi ini di pasaran terutama sekali di bandar-bandar besar. 

"Bagi saya sendiri, apabila melihat panyapu lidi ini ia mengamit kenangan silam zaman saya kecil dahulu tinggal di rumah kayu dan melihat ibu saya menyapu menggunakan penyapu lidi di beranda rumah," ujarnya sebagai akhir bicara.

Semoga penyapu lidi ini tidak hilang ditelan zaman dan berharap generasi muda dapat belajar meraut lidi bagi memastikan budaya ini tidak terhapus dengan perkembangan teknologi yang pesat berkembang. - KitaReporters

14
15
0
11
0
You will be interested