Insan & Komuniti 03 Sep, 2025

Lain daripada lain! Buat emping bagi rai Hari Kemerdekaan! Program gotong royong rapatkan ukhuwah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Emping makanan tradisional yang wujud sejak sekian lama khususnya di beberapa kampung di Hulu Terengganu tetapi masih diminati masyarakat malah diibaratkan peribahasa ‘tak lapuk dek zaman’.

Makanan tradisional itu yang diperbuat daripada padi muda ditumbuk menggunakan lesung kayu hingga menjadi kepingan nipis dan rangup. Proses itu disebut mengemping dan selalu dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk lelaki serta wanita.


Padi muda yang direndam semalaman akan ditoskan kemudian digoreng sebelum ditumbuk dalam lesung kayu.


Emping boleh dimakan terus atau dicampur dengan kelapa parut yang digaul bersama garam dan gula atau dihidangkan dengan serawa iaitu kuah santan dicampur gula melaka, telur, gula serta garam yang amat digemari pelbagai peringkat umur di kampung. 

Makanan itu yang menjadi warisan budaya apabila dikaitkan dengan makanan orang zaman dahulu sering menjadi perhatian pengunjung apabila aktiviti mengemping dipersembahkan dalam pelbagai program komuniti masyarakat dan karnival.

Sebagai menggamit sejarah silam itu, penduduk di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu mengadakan aktiviti membuat emping bagi memeriahkan lagi program Sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-68 pada 31 Ogos 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Sekayu, Sudin Mamat, berkata selepas mengadakan perbincangan dengan penduduk dia mengesyorkan supaya diadakan aktiviti mengemping supaya kemeriahan program Sambutan Hari Kemerdekaan itu meninggalkan kesan mendalam.


Penduduk kampung bergotong-royong menumbuk padi muda yang masih panas selepas digoreng dalam lesung kayu.


Menurutnya, aktiviti yang mendapat sokongan komuniti itu secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara mereka kerana proses mengemping yang dijalankan secara bergotong-royong itu mengukuhkan semangat kekeluargaan dan ukhuwah penduduk kampung berkenaan.

Tambahnya, proses membuat emping itu perlu dilakukan secara berkumpulan dengan kerjasama semua penduduk bermula daripada merendam padi muda semalaman kemudian ditoskan dan digoreng sehingga menjadi bertih.

Jelasnya, selepas itu padi yang masih panas ditumbuk menggunakan lesung kayu sehingga lumat menjadi kepingan nipis yang bercampur dengan kulit serta debu akan ditampi menggunakan nyiru sebelum dicampur dengan bahan lain seperti kelapa parut, garam dan gula atau dibuat serawa.


Kaum ibu bekerjasama menyiapkan emping yang dicampur dengan kelapa parut, garam dan gula selain dijadikan serawa.


“Proses mengemping inilah akan mengabungkan semua tenaga penduduk dalam aktiviti gotong-royong seperti mana diamalkan masyarakat dahulu yang JPKKP cuba menghidup serta menyemaikan kembali keharmonian hidup di kampung dalam kemeriahan program itu.

“Apabila program ini turut disertai kanak-kanak dan remaja akan memberi gambaran serta contoh kepada mereka mengenai pentingnya memupuk budaya hidup bermasyarakat walaupun jauh di kampung pedalaman,” ujarnya.

Program itu dirasmikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Hulu Terengganu, Abidin A Ghani, di Dataran Masjid Kampung Sekayu, Hulu Terengganu. 

Turut hadir Penyelaras TVET Pantai Timur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat GIATMARA Hulu Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera; dan Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (Cawangan Media Siber), Nooraini Che Aziz.


Tengku Haphiz Tengku Putera (tengah) menyantuni johan pakaian beragam ibu, Nurhaizan Mahussin (kanan) dan rakan menumbuk padi muda untuk dijadikan emping.


Pada program berkenaan penduduk kampung mula berkumpul di dataran masjid untuk memulakan perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan Negara sejak jam 8.30 pagi dengan diiringi lagu-lagu patriotik kemerdekaan negara yang dimainkan menerusi kenderaan Jabatan Penerangan Hulu Terengganu.

Mendahului perarakan itu ialah barisan kanak-kanak tadika, murid dan pelajar sekolah, remaja serta penduduk kampung dengan memakai pakaian beragam bercorak Jalur Gemilang yang disusuli kumpulan basikal berhias, motorsikal dan lain-lain kenderaan menuju ke Pengkalan Buluh Aur, Tepi Sungai Berang iaitu lokasi Pesta Mengemping diadakan.

Setiba di pengkalan itu, kanak-kanak tadika dan murid sekolah tahun satu hingga tahun tiga menyertai pertandingan mewarna, manakala penduduk kampung dalam kalangan ibu bapa membuat persembahan menumbuk emping dan menyediakan makanan daripada emping iaitu, serawa emping dan emping digaul dengan kelapa parut untuk dimakan beramai-ramai.

Selain pertandingan mewarna turut diadakan acara pakaian beragam kanak-kanak lelaki dan perempuan di samping dalam kalangan ibu serta pelbagai kenderaan termasuk basikal, motosikal dan ATV yang digunakan untuk ke kebun.


Nooraini Che Aziz menyampaikan cenderamata kepada kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam pertandingan diadakan sambil diperhatikan oleh Tengku Haphiz (kiri), Sudin Mamat (dua dari kiri) dan Abidin A Ghani (kanan).


Seorang ibu yang muncul johan dalam pertandingan beragam, Norhaizan Mahussin, berkata program itu menyuntik semangat kekeluargaan dalam kalangan penduduk kampung apabila dapat berarak bersama-sama menyambut Hari Kemerdekaan Negara dan disulami pula dengan bergotong-royong membuat emping.

Tambahnya, pada program itu membukti kami penduduk kampung dapat bersatu dan bekerjasama untuk menjayakan aktiviti kemasyarakatan malah menyantuni antara satu sama lain dengan penuh mesra dalam suasana memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan Negara.

“Tetamu yang hadir pada majlis perasmian turut menzahirkan rasa terharu dengan semangat kerjasama semua penduduk dalam menjayakan gotong-royong membuat emping yang menyuburkan hubungan yang dipupuk sejak berzaman,” ujarnya yang merupakan bekas guru besar.

Seorang penduduk, Abdul Razab berkata, dia tidak pernah terlepas peluang untuk menyertai pelbagai program yang dianjurkan JPKKP kerana ingin membantu memupuk hubungan ukhuwah antara penduduk yang bakal diwarisi generasi muda.

“Mengemping merupakan antara kerja gotong-royong yang amat berkesan dalam merapatkan hubungan persaudaraan erat penduduk kampung kerana hampir semua kami membesar bersama-sama dan sudah melalui pelbagai perkara dalam hidup di kampung pedalaman ini,” katanya. - KitaReporters


Penduduk Kampung Sekayu merakamkan kenangan bersama tetamu jemputan selepas selesai aktiviti mengemping bersempena program Sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-68 di Pengkalan Buluh Aur, Tepi Sungai Berang.

21
14
0
16
0
You will be interested