Insan & Komuniti 22 Jul, 2024

Infak Gerakan Kongsi Rezeki! Agih 1 tan beras setiap negeri! Ahli laksana infak serendah RM1 sehari!

@amran mulup
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang kini bermastautin di Melaka. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Mohd. Noor Helmi Abdul Halem (dua dari kiri) menyerahkan sekampit beras kepada seorang asnaf pada program Agihan Beras dan Wang Tunai kepada anak yatim serta golongan asnaf di Masjid Fat'hur Rahman, Pengkalan Rama, Melaka. 


Sebanyak 29 tan beras diinfakkan kepada lebih 10,000 penerima terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim, fakir miskin dan ibu tunggal di seluruh negara menerusi Gerakan Kongsi Rezeki (GKR).

Naib Presiden GKR, Norhayati Medon berkata, setakat ini program agihan beras telah menjelajah ke Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Menurutnya, bermula Julai 2024 ini, GKR memulakan infak pusingan kedua dengan agihan secara konsisten 1 tan beras bagi setiap negeri.

Beliau berkata, sumbangan beras itu bukan setakat di seluruh Malaysia tetapi juga di Singapura, Indonesia, Brunei dan terbaharu di Filipina.

Menurutnya, GKR mempunyai keahlian di empat buah negara tersebut yang turut melaksanakan program infak serendah RM1 sehari juga membabitkan sumbangan beras kepada golongan yang kurang bernasib baik di negara terbabit.


Norhayati Medon (tengah)


"Tujuan utama sumbangan ini adalah untuk meringankan beban golongan yang memerlukan untuk kita berkongsi rezeki.

"Kita pilih beras kerana ini adalah makanan ruji selain harganya sangat mahal ketika ini sehingga menyukarkan golongan yang memerlukan untuk membelinya.

"Sebenarnya bila kita sumbang beras kepada penerima mereka sangat gembira kalau nak dibandingkan dengan barangan lain," ujarnya pada program Agihan Beras dan Wang Tunai kepada anak yatim serta golongan asnaf di Masjid Fat'hur Rahman, Pengkalan Rama di Melaka pada 21 Julai 2024.

Majlis tersebut telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmi Abdul Halem.

Norhayati berkata, menyedari pelbagai cabaran termasuk kenaikan kos sara hidup ketika ini GKR terpanggil untuk bekerjasama dengan beberapa organisasi lain untuk membantu mereka yang memerlukan.

Menurutnya, selain beras, pihaknya turut menyumbang wang tunai, baju Melayu dan baju kurta kepada anak-anak yatim.


Mohd. Noor Helmi (tengah) bergambar kenangan bersama ahli GKR, anakyatim dan asnaf pada program Agihan Beras dan Wang Tunai kepada anak yatim serta golongan asnaf.


Sementara itu Kapten GKR Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Hamzah berkata, pihaknya begitu konsisten menyumbang 1 tan beras pada setiap program yang dianjurkan.

"Kita mendapat dana daripada Presiden GKR yang tidak henti-henti menyokong usaha infak dan juga daripada seluruh famili GKR yang dijalankan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Singapura, Brunei, Indonesia dan Filipina," ujarnya. - KitaReporters

29
13
0
15
0
You will be interested