Banyak dalam kalangan masyarakat yang terbantut untuk mendirikan rumah tangga kerana tidak mampu menyediakan mahar dan barangan hantaran yang agak besar, belum lagi membuat majlis resepsi.
Melihat kesukaran masyarakat untuk berkahwin, sebuah badan amal yang dikenali sebagai Forum Ta`aruf Indonesia (Fortais) cawangan di Bantul, Yogyakarta membuat majlis akad secara unik dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bantul.
Mungkin ia cara yang pertama dilakukan di Indonesia.
Para pengantin tidak perlu mengeluarkan belanja bagi majlis akad dan kenduri. Pengantin lelaki hanya perlu menyediakan senaskah al-Quran. Sementara maharnya hanya satu kepala kambing setiap pasangan.
Kepala kambing itu sudah siap disembelih dan dimasak untuk menjadi makanan untuk para tetamu.
Majlis akad nikah diadakan di sebuah ladang penternakan Asia Goat Farm, Bantul. Pasangan pengantin diarak kira-kira 200 meter dengan iringan sejumlah kambing dan penjaga kambing.
Bupati (Pegawai Daerah) Bantul diundang sebagai tetamu kehormat dan sebagai saksi nikah. Majlis akad diringi suara kambing-kambing di kandang.
Para pengantin mengucap syukur kerana dapat melakukan akad nikah dengan cara yang dipermudahkan. Ia akan menjadi peristiwa yang tidak dilupa oleh para pasangan pengantin tersebut.
Majlis akad yang berlangsung pada Selasa 4 Jun 2024 lalu menjadi tular setelah dimuat naik sejumlah media sosial dan media cetak dan elektronik.
Menurut Ketua Fortais, Ryan Budi Nuryanto, majlis sedemikian diadakan kerana daerah Bantul terkenal dengan sate klatak yang dibuat daripada daging kambing dan segala ususnya. - KitaReporters
Tags: