.
Seorang kaki pancing bangga dapat menaikkan seekor ikan bersaiz besar (gergasi) seberat 39.5kg dan setinggi lebih 0.5 meter dari Takungan Pingtianshan, Guigang, wilayah autonomi Guangxi Zhuang di barat daya China.
Kerana teruja mendapat ikan saiz gergasi, lelaki yang tidak didedahkan namanya cuba mempamerkan kejayaannya kepada orang ramai. Caranya ialah dengan mengikat kepala dan ekor ikan itu pada belakang keretanya sebelum memandu di sekitar bandar Guigang pada Khamis, 15 Mei 2025 lalu.

Ia menarik perhatian para pemandu dan penumpang di jalan raya yang dilaluinya. Malah ada yang merakamnya dalam bentuk foto dan video.
Pemancing itu berjaya membawa ikan gergasi itu ke rumah dan dijadikan makanan sekeluarga pada hari yang sama. Dan sebahagiannya dijadikan bebola ikan.
Namun keterujaannya tidak bertahan lama. Setelah video itu tular, polis trafik di Guigang bertindak.
Lelaki itu telah dipanggil ke sebuah balai polis untuk diambil keterangan. Pihak polis masih belum menetapkan bentuk hukuman.
"Tingkah laku buruknya pasti akan membawa kesan negatif kepada orang ramai. Kami masih membuat keputusan sama ada untuk memotong mata daripada lesen memandunya atau mendendanya," kata seorang pegawai polis trafik.

Peraturan Keselamatan Lalu Lintas Jalan Raya China menetapkan bahawa pemandu tidak boleh menggantung objek lebih panjang daripada 0.5 meter di bahagian luar kenderaan mereka demi kepentingan keselamatan.
Pemandu itu bukan satu-satunya orang di China yang mempamerkan paparan sedemikian.
Polis mengeluarkan denda 200 yuan (kira-kira USD$30) dan sembilan mata telah dipotong daripada lesen memandunya kerana ikan itu menutup plat pendaftarannya.
