Insan & Komuniti 11 Jun, 2025

Diari Mama Masscom| You're not alone! Kisah benar Cikgu Jasmine! Survivor skizofrenia lebih 20 Tahun!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


Kita biasa dengar orang cakap kalau sakit mental ni memang sukar untuk baik. Tapi ada kes-kes pesakit mental boleh baik dan kembali normal serta menjalani kehidupan seperti biasa. 

Apa rahsia mereka? Kisah inspirasi yang penulis nak cerita ini adalah kisah survivor (atau pemandiri) seorang pesakit mental di bawah kategori pesakit skizofrenia yang dapat pulih selepas menjadi pesakit berkenaan selama 20 tahun.

“Saya pernah tak nak hidup. Pernah minum syampu, overdose ubat, duduk termenung kat tingkat atas rumah, fikir nak lompat. Tapi hari ni, saya berdiri sebagai seorang guru.” Itu pengakuan Jasmine Teong, 43 tahun, seorang survivor sakit mental jenis skizofrenia.

Bayangkan, pada usia 17 tahun, ketika rakan sebaya sibuk merancang masa depan, Jasmine atau lebih mesri disebut, Jas, hanya mampu duduk dalam bilik – diam, tidak mampu ke sekolah, dunia seperti berhenti berputar. 

Pada tahun 2001, beliau mula menunjukkan simptom penyakit mental. Akhirnya, dia disahkan menghidap skizofrenia, sejenis gangguan mental kronik yang mengubah cara seseorang berfikir, berasa dan berinteraksi dengan dunia.

Jasmine cuba kembali ke sekolah pada tahun berikutnya (2002), tapi tulisan dalam buku dilihat "lari-lari", otak tidak dapat menerima maklumat. 

Namun, ayahnya tetap yakin pada potensi anak gadisnya. Dia daftarkan Jasmine untuk menduduki SPM. Hari peperiksaan, Jas pengsan dalam dewan. Dimasukkan ke hospital dan ditahan di wad selama sebulan.


Cikgu Jasmine bersama anak-anak muridnya.

 “Saya pernah jawab exam dalam hospital, tapi pengsan juga. Doktor nasihat supaya berhenti. Tapi ayah tetap sokong. Akhirnya, walaupun keputusan kurang memuaskan, papa mohon politeknik dan maktab untuk saya.”

Rezeki berpihak pada Jasmine. Dia ditawarkan ke Maktab Perguruan Perlis, walaupun hanya ada 4 kredit. Kemasukan ke maktab biasanya perlu 5 kredit, tapi itulah namanya takdir.

“Masa tu saya masih ambil ubat tiga kali sehari. Tapi saya selalu lupa nak makan ubat. Ayah  bagi saya buku kecil, suruh saya catat semua pesanan doktor.” katanya

Menurut Jasmine dia sentiasa menangis, rasa tak mampu belajar.  "Tapi ayah tak pernah mengalah. Setiap minggu ayah datang ambil dan bawa ke gereja, tempat saya dapat kekuatan melalui doa. 

"Di semester ketiga, Jas sekali lagi tumbang – pengsan di dalam hostel. Warden suruh berhenti belajar. Tapi pensyarahnya berdiri teguh membela, memberi harapan bahawa Jasmine masih boleh menamatkan pengajian 

"Saya lalui semua ni dengan banyak menangis, banyak berdoa dan dapat sokongan ayah yang tak pernah tinggalkan saya dan sentiasa ada untuk saya.”


Cikgu Jasmine (depan, tengah) suka bersukan


Tahun 2008, Jasmin alami relapse. Semasa berada di SS2, Petaling Jaya, beliau selepas kehilangan kereta. Keadaan jadi sukar dan jiwanya ketika itu sangat berkecamok. 

Beliau dihantar ke Muar, Johor di bawah program khas kesihatan mental. Namun hidup terus berjalan dan beliau tetap tabah melalui semua ini.

Tahun 2012 jadi titik penting buat dirinya Jasmine ditawarkan untuk sambung Ijazah Pendidikan BM di UPM. Sewaktu itu, dia akui baru mula stabil – secara fizikal dan mental. 

“Saya mula terima sakit ni. Saya cakap pada diri sendiri tak apa kalau kena makan ubat seumur hidup, asalkan saya hidup dan tak menyusahkan orang.”

Dengan penuh disiplin, Jasmine makan ubat ikut masa, jaga tidur danamalkan gaya hidup yang sihat. Jasmine berjaya tamatkan pengajian dengan kelas pertama. 

Dari hanya 4 kredit SPM, kini dia berjaya jadi guru sekolah rendah yang dihormati dan disayangi murid murid dan rakan rakan sekerjanya.


Cikgu Jasmine (berdiri, kanan) bersama rakan-rakan guru yang lain.


Dia akui semua yang dilalui itu tak mudah dan terlalu banyak cabarannya. 

“Sepanjang perjalanan sebagai pesakit skizo ni, saya selalu dipandang serong. Orang cakap saya pemalas, mengada-ngada. Masa tu saya pendam semua. Saya banyak bersendiri. Sejak umur 17 tahun saya tak berkawan sangat. Rakan rakan saya tak ramai."

Hari ini, Cikgu Jasmine hidup dengan rutin yang sihat. Beliau tahu, untuk kekal stabil, dia perlu terima penyakit yang dialami, ambil ubat, dan jaga disiplin diri. 

“Saya nak tunjuk pada masyarakat, pesakit skizofrenia boleh hidup macam orang lain. Kita boleh kerja, boleh belajar, boleh berjaya. Asalkan kita jaga diri dan jangan putus asa.” - KitaReporters


💚 Nak dengar kisah penuh Cikgu Jasmine secara langsung, jom dengar FB Live MarMA :

📆 24 Jun 2025 (Isnin)

🕣 8.30 – 10.00 malam

📍 FB Live & Google Meet (Link dibuka jam 8.00 malam di FB Page MaRMA)

👩‍🏫 Moderator: Datin Zan

📞 Info: Datin Rose (019-3810300) | Puan Ayu (010-3094249)

Acara ini dibawakan oleh NGO Kesihatan Mental MaRMA – Malaysia Relief Mind Association, sempena kempen kesedaran “YOU ARE NOT ALONE”.


Rakan -akan guru Cikgu Jasmine


17
14
0
11
0
You will be interested