Masih ramai insan yang prihatin dan penyayang di negara kita. Mereka pantang lihat orang susah, pasti mahu dibantu. Namun, cerita-cerita sebegini jarang mendapat perhatian ramai.
Orang ramai lebih suka cerita-cerita tidak bermanfaat yang membuka ruang fitnah dan kecaman. Cerita pasal rumah tangga selebriti dan pempengaruh lebih mendapat tempat dalam kalangan netizen.
Penulis tidak maksudkan semua netizen seperti itu. Masih ramai juga netizen yang prihatin dan penyayang. Cuma, cerita menjadi lebih rancak dan tular andai ia terjadi kepada orang popular.
Itu lumrah kerana yang popular lebih dikenali ramai. Tidak dapat dinafikan!

Sungguhpun begitu, masih ada cerita-cerita rakyat marhaen yang hidup susah dan memerlukan bantuan mendapat perhatian. Kisah-kisah sebeginilah yang sepatutnya diangkat dan diuar-uarkan dalam media sosial.
Justeru, atas kesempatan ini, penulis ingin berkongsi kisah sepasang suami isteri yang membantu seorang warga emas berbangsa Cina yang hidup sebatang kara!
Pasangan ini berkongsi kisah tersebut dalam TikTok (@Byss) milik mereka sehingga mendapat perhatian ramai.
Menurut si pencerita, ketika sedang menaiki kereta ke tempat tujuan, mereka ternampak seorang wanita tua sedang menahan beberapa buah kereta yang lalu-lalang. Malangnya, tiada siapa yang mahu berhenti.

“Kisahnya kami
nampak aunty ni tepi jalan tahan kereta, tapi sorangpun tak nak berhenti.
Sampai dia tahan kami, kami berhenti. Dia hulurkan duit sebab minta tolong bawakan
dia beli ubat. Tapi kami tak nak ambil duit dia, kami suruh je dia naik.
“Dalam kereta dia cerita dia tiada anak, suami pula dah meninggal dunia. Allah, kalaulah kami tak berhenti mesti dia terpaksa juga jalan kaki ke Kamunting beli ubat di farmasi. Lepas kami tolong dia banyak kali cakap terima kasih,” ceritanya.

Dalam video yang dikongsi, kelihatan si suami menemani wanita Cina itu di dalam sebuah farmasi sedang membeli ubat. Setelah selesai, mereka kembali ke kereta.
Kemudian ketika sampai di rumah wanita Cina itu, lelaki berkenaan mengiringinya masuk ke dalam rumah untuk memastikan semuanya selamat.
Dalam keterangan video, ada diberitahu bahawa wanita Cina berkenaan tinggal berdua bersama seorang lelaki (kemungkinan saudara) yang sedang sakit strok. Dialah yang menjaganya.
Pasangan suami isteri ini juga telah meninggalkan nombor telefon kepada wanita Cina tersebut untuk mudah dihubungi jika ada keperluan.

Perkongsian ini
mendapat perhatian netizen. Rata-rata berterima kasih dan terharu dengan sikap
prihatin pasangan suami isteri tersebut. Ramai mendoakan agar pasangan itu
mendapat balasan baik daripada Allah SWT.
“Kak, semoga ini asbab kau dimewahkan rezeki lepas ni. Terima kasih mudahkan urusan orang lain. Semoga Allah balas segalanya berlipat ganda,” doa netizen tersebut.

Manakala dalam video kedua, kelihatan pasangan suami isteri ini kembali ke rumah wanita Cina tersebut. Kali ini mereka datang membawa sup ayam untuk diberikan kepada wanita Cina itu. Kedatangan mereka membawa makanan membuatkan wanita Cina itu gembira.
Sikap prihatin pasangan ini sekali lagi mendapat pujian dan doa ramai. Selalunya buat baik akan dibalas baik. Tak rugipun kalau berbuat baik.
Semoga dengan terpaparnya kisah ini dalam media sosial, ada pihak berwajib atau badan bukan kerajaan (NGO) membantu wanita Cina ini. - KitaReporters