
Mendapat pembantu rumah yang baik, jujur, rajin dan sangat ihklas bekerja adalah satu rahmat daripada Allah. Sebaliknya jika mendapat pembantu rumah atau dipanggil "bibik" yang banyak karenah, keras kepala dan sukar dengar nasihat, ia satu ujian yang besar kepada majikan.
Situasi ini akan membuatkan majikan hilang sabar dan susah nak mempercayai pembantu rumah seperti itu.
Zaman sekarang untuk mendapat seorang pembantu rumah warga asing memerlukan kos yang sangat tinggi. Antara 17 ke 20 ribu Ringgit. Tempoh nak dapat pembantu rumah pula antara tiga hingga enam bulan.
Sebenarnya pembantu rumah sangat diperlukan oleh mereka yang bekerja dan oleh keluarga yang tidak ada sesiapa menjaga anak-anak yang ramai, atau anak istimewa.
Juga untuk menjaga ibu bapa atau pasangan hidup yang uzur, selain menjaga majikan yang sakit dan menguruskan rumah tangga serta membantu dan menjadi peneman majikan yang sudah tua dan tinggal seorang diri.
Malangnya dalam kalangan warga tempatan tak ramai berminat menjadi pembantu rumah untuk menjaga orang tua atau peneman kepada ibu bapa yang tua dan uzur.

Disebabkan itu, harga mendapatkan pembantu rumah asing sangat mahal, ramai juga yang terdesak mendapatkan khidmat pembantu rumah warga asing yang "kosong" -- yang tiada dokumen peribadi dan tiada dokumen perjalanan yang sah.
Namun ada juga pihak yang menangguk di air keruh dengan membuat perniagaan "pembantu rumah asing yang tiada dokumen" dengan meletakkan harga yang tinggi.
Penulis pernah bertanya pada seseorang mengenai pembantu rumah dan harga mendapatkan pembantu rumah.
Katanya pembantu rumah yang sah iaitu mempunyai dokumen seperti pasport dan permit sebagai pekerja asing berharga antara 17 hingga 20 ribu ringgit. Manakala yang kosong (hanya ada pasport) mereka minta saya RM3,000 kerana khidmat sebagai orang tengah mendapatkan pembantu rumah berkenaan.
Begitulah perniagaan atas angin oleh orang orang tertentu yang "cekik darah" di atas kesengsaraan dan kesusahan orang lain.

Cerita seterusnya apabila sudah mendapat pembantu rumah tak semuanya bersesuaian. Ada yang baik ada yang sebaliknya. Ada juga pembantu rumah yang memberitahu, mereka djual oleh ejen mereka daripada seorang majikan kepada seorang majikan yang lain.
Ia umpama sindikit menipu majikan. Mereka disuruh kerja dalam tempoh 3 bulan kemudian disuruh lari dan dihantar kepada majikan lain.
Ini kerana ada terma dalam pengambilan pembantu rumah jika pembantu rumah lari dalam tempoh 3 bulan majikan tidak boleh minta pembantu yang lain. Malah ada syarat-syarat lain.
Ada pembantu yang baik berterus terang pada majikan mereka kerana mereka tidak mahu bersubahat dan terus dijual daripada satu majikan ke majikan yang lain.

Seperkara lagi, perangai dan karenah pembantu rumah juga macam-macam cerita. Ada pembantu yang baik dan sangat ikhlas bekerja. Mereka umpama bibik kiriman Tuhan. Bukan sahaja rajin kerja, baik budi bahasa, rajin solat dan baca al-Quran serta sentiasa prihatin pada keluarga dan majikan yang mereka kerja.
Sebab itu jika sudah habis kontrak dan bibik itu mahu balik ke negara asal memang banyak drama air mata berlaku. Kejujuran mereka membuatkan majikan dan anak-anak majikan sayang pada bibik berkenaan.
Masa nak balik tu, majikan akan bekalkan macam-macam barang, ada yang belikan barang kemas untuk bibik kesayangan mereka.
Keikhlasan pembantu rumah bekerja terbukti dengan kepercayaan majikan dan mereka turut dianggap sebagai sebahagian daripada ahli keluarga.
Sebaliknya, bibik dari neraka ni adakalanya bersekongkol dengan ejen yang sangat zalim dan tidak berhati perut. Mereka boleh lari bila-bila masa sebab ejen mereka sudah menjanjikan macam macam.
Perangai bibik dari neraka ni biasanya memang sangat berani dan suka melawan. Kerja dibuat ala kadar dan kadangkala pandai putar belit bagi tahu sudah buat semua kerja, walhal bila diperiksa banyak kerja yang tidak dibuat.
Mereka memegang telefon 24 jam, bermain TikTok, banyak teman lelaki pelbagai bangsa dan ada yang antarabangsa.
Majikan boleh kenal pasti sifat bibik dari neraka ni. Tapi biasanya kerana terdesak tidak ada sesiapa membantu urusan rumah tangga mahupun menjaga ibu bapa yang uzur, majikan " tutup sebelah mata " terhadap kekurangan pembantu rumah seumpama ini.
Majikan banyak berlebih kurang dengan bibik jenis ni, walaupun hakikatnya majikan memang makan hati dan terpaksa menyimpan bibik macam ni kerana keadaan yang sukar dan terpaksa.

Justru, kehidupan masyarakat kita yang terdesak dan terpaksa menggunakan khidmat bibik untuk menjaga ibu bapa yang uzur, anak-anak kecil dan anak-anak istimewa adakalanya menjadikan majikan terpaksa mengalah dengan bibik yang tidak pernah bersyukur diberi pekerjaan.
Dilema mendapatkan pembantu rumah bukan isu baharu, namun apabila bayaran yang dikenakan terlalu tinggi dan kesukaran mendapatkan pembantu rumah tempatan menjadikan ada pihak yang mengambil kesempatan menipu mereka yang trdesak untuk mendapatkan pembantu rumah.
Diharap proses untuk mengambil pembantu rumah warga asing tidak dirumitkan kerana keperluan ini sangat penting untuk masyarakat kita bekerja dengan lebih tenang.
Kerajaan perlu membantu masyarakat mendapatkan pembantu rumah asing dengan mudah dan tidak menyerahkan kepada ejen yang adakalanya mengambil kesempatan dengan menekan majikan dan mengenakan bayaran yang sangat tinggi dan tidak munasabah.
Apa pun perlu diingat ada warga asing yang hidup sangat sukar dan keluar dari kampung mereka datang ke Malaysia untuk mencari rezeki yang halal. Tapi mereka ditipu oleh ejen dan orang tengah yang memperdagang warga asing ini.
Nasib mereka ini adakalanya sangat malang. Terpaksa mengikut kehendak ejen dan orang tengah yang sangat zalim dan mata duitan.
Semoga ada satu cara yang mudah untuk mendapatkan pembantu rumah yang benar-benar ikhlas untuk bekerja dan selamatkan mereka dari ejen dan orang tengah yang zalim ni. - KitaReporters
