Insan & Komuniti 04 May, 2025

Sepanjang Jalan Kenangan| Kejar cita-cita! Budak kampung ‘bangsat’ ke KL! Gaji hanya RM350! Cukup ke?

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

PENULIS (berdiri tengah di belakang) ketika masih di kampung. Ayah penulis (duduk kanan) tidak galakkan penulis berhijrah ke Kuala Lumpur. 


“HANG nak ‘bangsat’ (merantau) dok KL (Kuala Lumpur), gaji RM350, boleh hidup ka?” tanya ayah apabila diberitahu penulis ditawarkan kerja sebagai wartawan oleh Syarikat Tinta Press yang menerbitkan akhbar tabloid popular ketika itu, Warta Perdana.

Kata-kata ayah itu membuatkan penulis sedikit kecewa kerana apa yang diharapkan adalah kata-kata semangat daripada beliau. Sepatutnya beliau berasa bangga kerana anaknya akan bergelar wartawan.

Tapi, ia tidak mematahkan semangat malah penulis sudah nekad untuk menerima tawaran itu kerana memang sejak di bangku sekolah penulis memasang cita-cita menjadi wartawan.

Kini, peluang itu sudah berada di depan mata yang ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, tak mungkin penulis sia-siakan. Apatah lagi akan bertugas dengan akhbar yang sangat popular ketika itu dengan edarannya adalah 400,000 setiap keluaran!


PENULIS (baju merah) bersama rakan-rakan sekerja di sebuah kilang.


Sebelum itu, penulis pernah beberapa kali dikecewakan apabila permohonan untuk menjadi wartawan bersama Utusan Melayu dan Berita Harian langsung tidak mendapat maklum balas, mungkin surat permohonan itu dibakulsampahkan.

Kekecewaan itu menyebabkan penulis pernah berputus asa dan mengambil keputusan untuk melupakan cita-cita menjadi wartawan sebaliknya menumpukan pekerjaan sebagai operator kilang di Prai, Pulau Pinang walaupun gajinya juga tidak seberapa.

Tapi atas nasihat Cikgu Aziz Hussien yang merupakan guru penulis semasa bersekolah rendah, penulis kembali aktif menulis yang akhirnya membuka peluang untuk memenuhi cita-cita.

Atas dorongan Cikgu Aziz, penulis kembali bersemangat dan tulisan pertama yang dihasilkan selepas keluar dari ‘persaraan’ ternyata adalah pembuka jalan yang membawa penulis menjadi wartawan.

Memang sudah direzekikan oleh Allah SWT, rencana sukan itu yang dihantar ke Mingguan Perdana, disiarkan. Memeranjatkan! Seminggu selepas itu penulis menerima surat tawaran bekerja tanpa penulis memohon!


BEKERJA kilang memberi pengalaman berharga.


Justeru, mana mungkin penulis menolaknya walaupun kata-kata ayah itu sedikit sebanyak mencetuskan rasa bimbang penulis. Ya, gaji RM350, bolehkah aku hidup di kota besar seperti Kuala Lumpur yang serba serbi memerlukan duit.

“KL bukan kampung. Sana, serba-serbi pakai duit,” kata ayah lagi. “Sini, kerja kilang, walaupun gaji RM250, cukup sebab rumah tak perlu sewa, makan minum pun kat rumah,” tambah ayah.

Tapi, kata-kata itu sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Penulis sudah bertekad, apapun cabaran yang bakal ditempuhi, penulis sudah bersedia untuk mengharunginya.

Kalau penulis menolak tawaran itu, mungkin ia tidak akan datang lagi. Sampai bila penulis hendak bergelar ‘Mat Kilang’?

Bukan niat memandang rendah kerjaya sebagai pekerja kilang. Selama hampir tiga tahun bekerja kilang, ia memberi pengalaman bernilai yang membuatkan penulis sangat menghargai hidup.

Sekurang-kurangnya, penulis tahu bagaimana kehidupan seorang pekerja kilang yang bekerja mencari rezeki halal tanpa mengira waktu. Bayangkan, ketika orang lain sedang tidur lena diulit mimpi, mereka yang bekerja kilang bersekang mata demi sesuap nasi.


PENULIS (kanan sekali) ketika bertugas sebagai wartawan sukan akhbar Mingguan Perdana.


Sebab itu, setiap kali mendengar lagu ‘Pulang Dari Kilang’ nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arhad, penulis akan terkenang kembali zaman penulis bergelar ‘Mat Kilang’. Wajah-wajah sahabat seperti Bakar, Din, Mahmud, Man, Fauzi, Sabri dan lain-lain akan kembali bermain di minda.

Tapi demi masa depan yang lebih cerah, penulis kena keluar dari ‘bawah tempurung’ dan perlu berani mencari cabaran baharu. Begitupun, kenangan bekerja kilang tidak akan penulis lupakan seumur hidup.

Oleh itu, dengan keyakinan bahawa rezeki Allah itu luas, penulis menyahut tawaran menjadi wartawan. Ketika itu, apa yang penulis fikirkan, jika gaji RM350 itu tak cukup, penulis akan melakukan kerja sambilan demi kelangsungan hidup di Kuala Lumpur kelak.

Lagipun, pemilik syarikat itu, (Allahyarham Datuk) Khalid Jafri berjanji akan menaikkan gaji penulis selepas tiga bulan bekerja jika prestasi memuaskan.

Pada bulan Mei, 1983, penulis akhirnya bergelar wartawan. Penulis diletakkan di meja sukan walaupun sebenarnya penulis berminat nak jadi wartawan hiburan kerana mahu berdampingan dengan artis-artis popular yang menjadi pujaan penulis seperti Latif Ibrahim, Hail Amir, DJ Dave, Sharifah Aini dan ramai lagi.


BERSAMA Allahyarham Juwie.


Apatah lagi ketika itu, dua wartawan hiburan terkenal, Allahyarham Bahyah Mahmood (BAM) dan Allahyarham Juwie (Jalil Salleh) turut bertugas di bawah bumbung sama untuk akhbar Harian Nasional.

Malah, Juwie pernah memujuk penulis untuk menyertai unit hiburan tapi atas nasihat editor sukan, penulis akhirnya kekal sebagai wartawan sukan.

Begitupun, bertugas sebagai wartawan sukan tetap menggembirakan kerana penulis dapat pula bertemu ahli-ahli sukan terkenal terutama pemain bola sepak seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Hassan Sani, mendiang Datuk R Arumugam, Datuk Zainal Abidin Hassan dan ramai lagi.

Penulis mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan pemain-pemain muda sebaya penulis seperti Datuk Dollah Salleh, Datuk Subadron Aziz, Azizol Abu Haniffah dan Karim Pin. Sampai sekarang keakraban itu kekal.

Penulis juga berasa bangga dapat menemu bual pemain badminton terkenal ketika itu yang terdiri daripada keluarga Sidek iaitu Datuk Misbun, Datuk Razif dan Datuk Jalani.


ZAMAN muda penulis selepas berhijrah ke Kuala Lumpur.


Berbalik kepada kehidupan di Kuala Lumpur, dengan gaji RM350, penulis terpaksa mengikat perut. Penulis agak bernasib baik kerana abang sulung menetap di Kuala Lumpur, jadi penulis menumpang tinggal di rumahnya di Selayang.

Bagi menampung kehidupan, sesekali penulis membantu saudara penulis berniaga di Chow Kit, terutama selepas balik kerja atau hujung minggu dengan upahnya duit makan RM10 sehari.

Sebagaimana dijanjikan oleh majikan, genap tiga bulan bekerja, perkhidmatan penulis disahkan dan gaji dinaikkan kepada RM500. Barulah dapat bernafas sedikit.

Apabila beberapa bulan selepas itu penulis ditukarkan ke unit sukan akhbar Harian Nasional (terbitan syarikat sama), gaji penulis dinaikkan ke RM750, satu jumlah yang agak besar pada waktu itu.


PENULIS (belakang sekali) bersama pasukan editorial akhbar Watan.


Setahun selepas mencari pengalaman di Tinta Press, pada 1984, penulis ‘melompat’ ke Kumpulan Karangkraf sebagai wartawan sukan untuk akhbar Watan dan Bacaria dengan gaji RM1100.

Pada 1986, karier penulis semakin meningkat apabila dinaikkan pangkat sebagai editor majalah bulanan Arena Bolasepak. Ia memberi ruang kepada penulis untuk meneroka dunia penulisan sukan khususnya bola sepak seluas-luasnya.

Penulis dinobatkan sebagai ‘Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1987’ oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang memberi kepercayaan kepada syarikat untuk melantik penulis sebagai editor akhbar Mingguan Sukan.


PENULIS bertugas di Kumpulan Karangkraf selama tujuh tahun.


Ia juga membuka pintu tawaran daripada beberapa penerbitan terkemuka. Akhirnya pada 1991 penulis memilih untuk menyertai Berita Harian yang penulis anggap sebagai kemuncak kepada karier kewartawanan penulis.

Kini, pada usia 64 tahun, walaupun sudah tidak bertugas dengan mana-mana organisasi media, namun jiwa kewartawanan penulis tetap segar meskipun hanya sebagai wartawan bebas.

Dunia kewartawanan sudah menjadi darah daging dan selagi mampu penulis akan terus menulis!

Pada Khamis, 1 Mei, 2025, ketika para pekerja diraikan sempena Hari Pekerja, penulis terkenang kembali zaman awal penulis sebagai pekerja. 

Bagi penulis, bekerja bukan sekadar untuk mencari makan tapi merupakan satu ibadah. Penulis percaya, keikhasan dalam perkerjaan akan membawa keberkatan dalam hidup.

Selamat menyambut Hari Pekerja! - KitaReporters


BERSAMA Allahyarham Datuk Sudirman Arshad menemu bual Fandi Ahmad.

 

 

18
9
0
10
0
You will be interested