ZALIM dan tidak waras mungkin itu perkataan yang paling sesuai digambarkan kepada seorang bapa muda di Abuja, Nigeria apabila tergamak melepaskan geram terhadap anak kandung sendiri, gara-gara si kecil itu meragam.
Memetik portal peoplegazette.com, keadaan berkenaan menyebabkan pasukan doktor di negara berkenaan terpaksa memotong lengan bayi yang berusia lapan minggu itu.
Lagi kisah-kisah berkaitan kes penderaan
Semuanya dikatakan berpunca selepas bayi malang itu ditinggalkan kepada bapa selepas ibunya keluar berhampiran rumah, pada 7 Oktober 2022, lalu.
Namun sepanjang peninggalan si kecil itu, bapanya yang tidur dikatakan bengang selepas si kecil itu menangis sehingga mengganggu tidurnya.
Bapa kejam itu yang dikenali sebagai Confidence Amatobi itu dikatakan terus mencapai penyangkut baju plastik dan meluru ke arah anaknya, Miracle sebelum melepaskan geram sekuat hatinya dengan memukul pada bahagian tangan si kecil berkenaan.
Kesan pukulan tersebut, si kecil mengalami patah lengan kanan dan tangannya terus membengkak sebelum bertukar menjadi kehitaman.
Naluri si ibu terlalu kuat merasakan sesuatu berlaku kepada anaknya, dia terus bergegas kembali ke rumah dan terkejut melihat keadaan anak kesayangannya.
“Apabila menyedari dia telah mematahkan tangan anak, dia cuba menggunakan kayu dan gelang getah untuk mengikat tulang yang patah itu.
“Saya memarahinya tetapi dia terus mengurung kami di dalam bilik untuk menghalang saya daripada memberitahu perbuatan jahatnya itu.
“Lebih dahsyat, dia juga merampas telefon bimbit saya supaya tidak boleh menghubungi jiran-jiran untuk meminta tolong,” kata ibu muda yang berusia 20 tahun.
Bagaimanapun nasib menyebelahi wanita berkenaan apabila berjaya mendapatkan pertolongan daripada jiran terdekatnya untuk menghantar anaknya ke hospital.
Ibu muda itu sempat membuat laporan polis terhadap perbuatan kejam suaminya ke atas anak mereka.
Apabila tiba di hospital pasukan doktor yang merawat membuat keputusan untuk memotong lengan Miracle bagi menyelamatkan nyawanya berikutan keadaan tangan si kecil itu sudah menjadi kehitaman selain mengeluarkan bau busuk.
Kini suaminya melarikan diri selepas menyedari perbuatan tersebut adalah salah dan pihak keselamatan negara itu sedang bertungkus lumus menahan lelaki durjana yang tidak layak dipanggil bapa itu.
Semoga lelaki durjana itu menerima padah kesan perbuatannya sendiri.
Pelik ada juga bapa yang durjana di dunia ini, sepatutnya dalam usia dua bulan bayi itu dibelai sepenuh jiwa kerana kehadiran bukan sahaja mengeratkan hubungan suami isteri tetapi dijadikan penyeri rumah tangga. - KitaReporters