Insan & Komuniti 26 Oct, 2023

Terbaiklah projek ECRL! Lancar program Sungai Kita, Bersama Kita Pelihara! CSR MRL dan CCC-ECRL!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Seramai 200 sukarelawan dari Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersama-sama dengan pemimpin masyarakat telah menyertai aktiviti gotong-royong di taman rekreasi Hutan Lipur Sungai Tua (Hutlista) 2 pada 23 Oktober 2023 sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara (21 Oktober 2023). 

Dilengkapi dengan sarung tangan, pemungut sampah, pencakar dan beg sampah, para sukarelawan telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk mengutip sampah sarap di sekitar kawasan Sungai Batu semasa aktiviti pembersihan yang dijalankan selama 2 jam. 

Lebih 25 beg sampah besar berjaya dikumpulkan semasa aktiviti gotong-royong di taman rekreasi popular di Hutan Lipur Sungai Tua ini, yang juga merupakan sebahagian daripada Taman Warisan Negeri Selangor. 

Aktiviti gotong-royong di Hutlista 2 telah dianjurkan selaras dengan pelancaran program ‘#Sungai Kita, Bersama Kita Pelihara’ pada 23 Oktober 2023. 

Program ini merupakan inisiatif CSR bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), sebagai pemilik projek ECRL, dan syarikat China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), sebagai kontraktor utama ECRL. 

Program ‘#Sungai Kita, Bersama Kita Pelihara’ oleh Projek ECRL dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bagi menambahkan lagi aktiviti yang dapat menyokong usaha pemeliharaan sungai. 

Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar. 


Timbalan Pengarah MPS (Jabatan Landskap) Syamsul Arif Mahmud, Nor Aziah Jaafar, Pengurus Besar CCC-ECRL Seksyen 8 Xu Honghua, Liu Jianming, dan Darwis Abdul Razak pada majlis pelancaran program ‘#Sungai Kita, Bersama Kita Pelihara’.


Ketua Pegawai Eksekutif MRL Dato’ Seri Darwis Abdul Razak berkata inisiatif CSR ‘#Sungai Kita, Bersama Kita Pelihara’ akan memupuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar terutama dalam kalangan pengunjung taman rekreasi serta meningkatkan amalan hijau dalam kalangan penduduk setempat dalam usaha mencapai masa hadapan yang lebih lestari. 

Beliau berkata kolaborasi Projek ECRL dengan JAS Selangor bertepatan dengan usaha memulihara sungai dan mengekalkan landskap hutan di negeri ini, di mana pembinaan jajaran ECRL juga menitikberatkan aspek perlindungan terhadap alam sekitar, hutan dan hidupan liar. 

“Projek ECRL akan meneruskan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkuasa, masyarakat sivil, dan komuniti setempat di sepanjang 665km rangkaian relnya, bagi meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar serta amalan hijau yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat dan alam semula jadi,” tambah Darwis. 

Timbalan Pengarah Projek CCC-ECRL Liu Jianming berkata, “Kami di CCC-ECRL, bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd, sememangnya komited untuk bukan sahaja menyediakan infrastruktur rel bertaraf dunia, tetapi juga memastikan bahawa perjalanan kami memberi impak positif kepada komuniti dan alam sekitar yang terlibat. 

"Aktiviti gotong-royong ini adalah bukti tanggungjawab kolektif kami ke arah memelihara keindahan alam semula jadi Malaysia. 

"Setiap hari, dan lebih-lebih lagi sempena Hari Alam Sekitar Malaysia ini, kami giat berusaha untuk menyelaraskan kerja pembinaan kami dengan kemampanan alam sekitar, memastikan keseimbangan harmoni antara kemajuan infrastruktur dan pemuliharaan alam semula jadi.” 



MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), adalah pemilik projek dan aset ECRL, manakala CCC-ECRL merupakan kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek. 

ECRL akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
9
0
9
0
You will be interested