IBU dan ayah Cikgu Fadli, Mohamed Salleh dan Khatijah. - Kredit foto: gpsbestari.com
REZEKI, ajal dan maut semuanya itu rahsia sang Pencipta, kadang-kadang ada yang sakit terlantar bertahun belum tentu ajalnya menghampiri malah yang segar bugar pula dijemput dahulu.
Itulah kehidupan sampai masa, kita semua akan pergi
dan tak akan kembali lagi.
Walaupun kita tidak tahu bila ‘tarikh’ itu namun ada yang membuat persediaan hari kematian.
Lagi cerita-cerita sedih berkaitan kematian
BAPANYA turut meminta keluarga tunaikan wasiat berkenaan dengan penuh ikhlas.
Terbaharu seorang guru muda berkongsi kisah meruntun hati mengenai bapanya sendiri yang secara terperinci membuat persediaan hari kematian dengan menyediakan wasiat dan menyediakan sejumlah wang yang akan digunakan serta diuruskan pada hari peninggalannya.
Menurut Cikgu Mohd Fadli Salleh semua itu dilakukan ayahnya kerana tidak mahu menyusahkan duit anak-anak pada hari kematiannya.
Bapanya menyediakan sejumlah wang dan nota kecil yang diletakkan di dalam sampul yang bertulis ‘Wasiat Pengurusan Jenazah Abah’.
Cikgu Fadli yang lebih dikenali dengan cikgu Korea itu memberitahu bapanya, Mohd Salleh Hussain, mantan Pengarah IPG Kota Bharu itu sering berpesan kepada semua anaknya mengenai persediaan dirinya kembali ke kampung abadi.
WASIAT yang ditulis tangan oleh bapa Cikgu Mohd Fadli Salleh sendiri yang dimasukkan di dalam sampul dan disimpan di dalam laci di rumah mereka, kira-kira tiga tahun lalu. - Kredit foto: Facebook Mohd Fadli Salleh
“Ah, details
sungguh abah merancang kematiannya. Selepas mati masih lagi boleh berbuat
kebaikan. Masya-Allah, ini pedoman untuk aku ikuti di akhir hayatku nanti,”
kongsi cikgu Fadli dalam Facebook miliknya pada 1 Julai 2021 lalu.
Katanya cikgu kelahiran Kelantan itu, wasiat yang ditulis oleh bapanya itu ditemukan di dalam laci di rumah mereka selepas selesai upacara pengkebumian bapanya yang meninggal dunia pada 30 Jun 2021 lalu.
PERBUALAN Cikgu Fadli menerusi panggilan video bersama abahnya yang ketika itu ditahan di hospital.
Malah bapanya sempat membuat wasiat supaya menggunakan
wang disediakan itu untuk memberi sedekah kepada kanak-kanak dan orang tua.
Kata Cikgu Fadli, abahnya memang kasih dan sayang pada
kanak-kanak dan orang tua.
“Teringat pesan abah, balik sahaja rumah, Kak Ma terus masuk bilik dan buka laci abah. Terkejut Kak Ma. Ada satu sampul tertulis 'Wasiat Pengurusan Jenazah Abah'.
“Sampul itu dibawa keluar. Ada 3 muka surat semuanya.
Details abah tulis bagaimana pengurusan jenazah yang abah mahukan.
“Berapa orang perlu turun ke liang lahad, siapa perlu mandikan abah, perlu beri apa dan berapa untuk orang solat jenazah, berapa orang yang solat jenazah, dan sebagainya. Lengkap."
Kongsinya lagi, wasiat berkenaan ditulis sendiri oleh abahnya pada 30 Mei 2018, kira-kira tiga tahun lalu.
Masya-Allah… Rupanya sudah lama perancangan itu dan dia bersedia untuk kembali ke
kampung abadi!
Malah, bapanya yang memiliki sembilan cahaya mata itu sempat
berpesan supaya menunaikan wasiat yang dibuat itu dengan ikhlas.
Kata Cikgu Fadli yang pernah dinobatkan Guru Inspirasi
McDonald 2019, wasiat abahnya akan dilaksanakan di dua tempat. Di Kelantan dan di bumi
Mekah.
“Kat Bukit Ajyad, Mekah abah ada satu rumah. Abah
waqafkan untuk orang duduk dan guna sejak 2010.
“Cucu saudara abah, Sheikh Aiman yang duduk dan jaga
rumah tu. Wasiat abah kami sampaikan juga pada Sheikh Aiman ni dan terus semua
persiapan dibuat. Bacaan Kulhu dan jamuan makan disediakan,” kongsinya lagi.
Malah katanya dia sangat beruntung apabila sempat ‘berkhidmat’
buat kali terakhir kepada abahnya.
Katanya, dia bertuah kerana diberikan kebenaran untuk bersama-sama kebumikan jenazah abahnya.
KHIDMAD terakhir untuk bapanya... Cikgu Fadli bertuah diberi peluang terlibat dalam pengurusan jenazah bapanya di Pasir Puteh Kelantan.
“Mayat dibawa ke Pasir Puteh, Kelantan. Aku sampai kat
tanah perkuburan 5 minit awal sebelum van jenazah tiba.
“Aku diberi kebenaran untuk bersama-sama kebumikan
jenazah abah. Set PPE aku pakai, siap je pakai van jenazah tiba,” kongsinya
yang menganggap itu peluang istimewa kepadanya.
Malah, dia sempat mengusung abahnya dan bantu turunkan
ke liang lahad.
“Sebak, sayu, sedih, hiba semua aku telan dah.
Cukuplah pagi tadi bila abah dijemput pergi sahaja air mata mengalir laju.
“Aku dah persiapkan emosi untuk kuat dan urus
pengkebumian abah sebaiknya.
Malah selepas semuanya selesai, dari jauh dia terpandang wajah ibunya dengan penuh rasa sebak.
CIKGU Fadli bersama ibu bapa dan dan sebahagian adik beradik di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. - Kredit foto: gpsbestari.com
“Ma lambai tangan dan tersenyum manis, namun wajahnya
hiba.
“Ma sungguh kuat. Melihat kuatnya ma, bila aku renung
dalam mata ma, air mata aku terus meluncur laju. Langsung tak boleh
ditahan-tahan,” kongsinya lagi.
Benarlah katanya, dunia ini hanya pinjaman semua yang
dipinjam pasti dipulangkan semula yang kekal hanya amalan!
Semoga ayahanda Cikgu Fadli tenang di rumah baharu,
dan sebagai anak sentiasalah berbakti kepadanya walaupun kita terpisah alam.
Salam takziah daripada kami team KitaReporters. - KitaReporters
Persiapan untuk buat majlis Qulhu dan jamuan makan di Bukit Ajyad, Mekah. - Kredit foto: Facebook Mohd Fadli Salleh