Insan & Komuniti 02 Mar, 2021

Gerai roti kukus peniaga wanita dipukul angin kuat, hujan lebat! Tetap cekal, terus berniaga!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

Beginilah keadaan gerai Roti Kukus Asli Kuala Kangsar milik Eyra Sya Eyra di hadapan Pasar Raya BIG di Taman Seri Serdang, Selangor selepas berlakunya angin kuat dan hujan lebat pada petang 1 Mac 2021. - Kredit foto-foto: FB 


PENIAGA di jalanan biasanya menghadapi risiko bila berlaku fenomena alam termasuklah ribut, hujan lebat, banjir, petir, jerebu dan panas melampau, sekalipun kejadiannya tidak sehebat seperti yang berlaku di luar negeri.

Namun demikian sedikit sebanyak mampu menjejaskan sumber pendapatan yang diperolehi pada hari kejadian. Itupun jika tidak melibatkan kerosakan peralatan niaga seperti kanopi, kerusi meja dan sebagainya yang sudah tentu mengalami kerugian yang lebih.

Malahan semasa berlakunya kejadian berkenaan orang ramai yang datang membeli barangan jualan terlalu berkurangan.

Sekarang ini sejak keadaan ekonomi tidak menentu ramai orang berniaga di jalanan dalam usaha mereka mencari sumber pendapatan.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan peniaga:

https://kitareporters.com/search?search=peniaga


Gerai Roti Kukus Asli Kuala Kangsar kepunyaan Eyra Sya Eyra di Taman Seri Serdang, kelihatan tidak tersusun selepas angin kuat dan hujan lebat. - Kredit foto-foto: Eyra Sya Eyra


Salah seorang daripada peniaga itu yang menamakan diri sebagai Eyra Sya Eyra menjalankan perniagaan Roti Kukus Asli Kuala Kangsar di dua tempat berasingan iaitu di hadapan Pasaraya BIG, Taman Seri Serdang dan berhampiran Pasar Raya Hero di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor.

Dalam keseronokan berniaga untuk mencari rezeki beliau menghadapi sisi dukanya sendiri bila pada Isnin 1 Mac 2021, penjaja itu menghadapi kejadian angin kencang dan hujan lebat semasa berniaga yang belum pernah dilalui sebelum ini.

Pada petang tersebut, dengan tiba-tiba angin kencang bertiup disertai hujan melanda kawasan di mana dia berniaga hingga kanopi yang menjadi tempat berteduh hampir terbalik dan barangan niaga basah ditimpa tempias hujan.

Bagaimanapun dengan semangat cekal dan tabah dia masih sanggup menunggu di gerai jualan menanti pelanggan selepas fenomena alam berkenaan.



Melalui laman sosial FB miliknya dia menuliskan coretan ringkas dengan pengalaman menghadapi angin kuat membuatkan dirinya lebih bersemangat dan tabah untuk meneruskan perniagaan.

"Inilah ujian pada kami sebagai peniaga jalanan. Alhamdulillah,semoga dipermudahkan segalanya. Ujian tandanya Allah sayang," ujarnya.

Sebelum ini, seorang yang menamakan dirinya Wddy Ed pada laman sosial FB beliau, menukilkan coretan rasa teringin nak makan Roti Kukus Kaya Asli Kuala Kangsar yang menjadi kesukaannya.

Katanya, sedap makan panas-panas masa hujan ni. Cicah pula dengan kopi-O.



Alangkah terperanjat dia bila sampai berhampiran kawasan di mana gerai jualan roti kukus itu, keadaan kanopi biru senget dan hampir terbalik. Perkakasan dan bekalan roti terkena tempias hujan. 

Luluh rasa hati ini bila melihatnya.

"Kuat ujian Allah menduga para perniaga kecil di jalanan. Apa yang buat diriku respek, sempat juga tauke gerai minta tunggu sementara dia menyiapkan pesanan," katanya. 

Menurutnya, memang benar hujan membawa rezeki dan rahmat. Rezeki dirinya dapat juga makan roti kukus masa hujan! Alhamdulillah. Bagi tauke gerai dia tak putus-putus terima pesanan sedangkan baharu tadi (petang 1 Mac 2021) ditimpa musibah.

Wddy Ed meminta orang ramai bantu peniaga kecil jalanan dengan membeli barangan jualan mereka. Mana tahu melalui belian tersebut ada terselit rezeki yang tidak disangka-sangka. 


Masih bernasib baik bekalan roti untuk dijadikan Roti Kukus Asli Kuala Kangsar diletakkan dalam bekas plastik besar, walaupun tempias kena hujan ia tidak terjejas.


Sekalipun dalam keadaan kanopi yang senget gerai Roti Kukus Asli Kuala Kangsar Eyra Sya Eyra akibat angin kencang dan hujan lebat tetap meneruskan jualan selepas fenomena alam berkenaan berhenti.


Dan dalam posting atau hantaran Eyra Sya Eyra yang terkini, dia melaporkan gerainya kini sudah dibaik pulih dan dalam keadaan elok, manakala bisnes jual Roti Kukus Asli Kuala Kangsar berjalan dengan laris. Alhamdulillah!! - KitaReporters


0
3
1
0
0
You will be interested