
Warga komuniti Ampang Jaya beratur di luar pagar Dewan MPAJ sebelum program bermula.
Program “Lebih Bersemangat Ke Sekolah” berjaya menarik perhatian ribuan penduduk dalam komuniti Ampang Jaya, Selangor yang mengetengahkan aktiviti didik dan keibubapaan dengan mendapat sokongan daripada 50 penyumbang pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kemeriahan program itu juga adalah hasil jalinan
kolaboratif terbaik antara Persatuan Psikologi Universiti Sultan Idris (PPUPSI),
Tanjong Malim, Perak dengan Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin (PKPP) serta kerjasama
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Objektif utama program berkenaan diadakan bertujuan memberikan sumbangan berkonsep Pasar Percuma (Free Market) kepada penduduk sekitar Ampang Jaya yang kurang berkemampuan di samping meningkatkan minat dan motivasi murid untuk menuntut ilmu di sekolah melalui aktiviti didik hibur dan keibubapaan yang dijalankan.

Murid sekolah beratur menaiki pentas untuk mendapatkan alat tulis percuma.
Menurut Exco Media PPUPSI, Sofiya
Nadiah Baharuddin, program itu juga mendapat suntikan sokongan moral daripada Pengerusi
Yayasan Felda, Datuk Zahida
Zarik Khan yang turut hadir untuk melihat sendiri aktiviti diadakan serta untuk
memahami manfaat yang diperoleh komuniti kawasan itu.
Terang beliau, program berkenaan bermula seawal jam
7.00 pagi dengan kehadiran urus setia dan sukarelawan di Dewan MPAJ, Pandan
Indah, diikuti ketibaan penyumbang pada jam 7.45 pagi yang berlangsung pada 15
Jun 2025.
“Acara rasmi dimulakan dengan taklimat kepada penyumbang dan disusuli kepada pengunjung serta penerima bantuan. Seterusnya, nyanyian lagu Negaraku diikuti bacaan doa berlangsung pada jam 9 pagi sebelum Pasar Percuma dan aktiviti lain bermula,” jelasnya.
Untuk menambahkan lagi kemeriahan program itu dengan membabitkan pelbagai lapisan komuniti, pertandingan melukis & mewarna bagi murid sekolah rendah turut diadakan, manakala pelajar sekolah menengah pula disajikan dengan pertandingan pop kuiz mengenai Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM).

Panel forum sembang santai kemahiran keibubapaan, Dr. Wan Nurul Izza memberi penerangan kepada ibu bapa dan pengunjung yang hadir.
Selain itu, sesi sembang santai kemahiran keibubapaan turut dikendalikan oleh Noor Azrain sebagai moderator dan Pensyarah di Jabatan Psikologi UPSI, Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin sebagai panel dalam forum bertajuk “Bila anak tidak mahu ke sekolah, maka mak…”.
Topik itu bertemakan isu yang kerap dihadapi ibu bapa zaman sekarang apabila anak mereka tidak ingin ke sekolah. Forum itu mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung yang turut mengajukan pelbagai soalan kepada panel.
Sebagai cenderamata dan galakan, setiap daripada mereka yang mengajukan soalan diberikan beras atau minyak masak sebagai penghargaan kerana memberi tumpuan serta menjadi penyertaan yang aktif.
Selain itu terdapat pelbagai gerai sumbangan yang dibuka kepada NGO dan orang awam seperti kelengkapan pakaian sekolah, pakaian kasual kanak-kanak, remaja, buku dan alat tulis.

Pasar Percuma memberi kepada kaum ibu memilih pakaian untuk anak mereka.
Sementara itu, Pengerusi PKPP, Mohd Rizal Othman, menyifatkan sambutan komuniti dan penduduk kawasan berdekatan amat tidak dijangkakan dan sangat luar biasa disamping kebanyakan pengunjung yang hadir adalah dalam kalangan golongan B40 serta miskin bandar.
Menurutnya, PKPP berharap program komuniti bersifat didik hibur seperti itu dapat meningkatkan semangat dan minat murid untuk ke sekolah apabila mendapat penerangan serta berkongsi pengetahuan dengan Dr Wan Nurul Izza.
Tambahnya, pihak penganjur juga berharap inisiatif itu dapat membantu meringankan bebanan keluarga yang memerlukan bantuan atau sokongan, sekali gus memupuk semangat kebersamaan dan prihatin dalam kalangan masyarakat setempat.
Jelasnya, dengan sokongan pelbagai pihak, program itu diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi memastikan lebih ramai orang awam memperoleh manfaat dan pembelaan sewajarnya tanpa mengira kaum dan agama.
“Dalam forum yang menyentuh isu kemahiran keibubapaan ini memberi banyak manfaat apabila merujukan kepada peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam membesarkan serta mendidik anak dalam persekitaran yang mencabar sekarang ini,” ujarnya. - KitaReporters

Ahli PPUPSI dan PKPP merakam kenangan selepas program itu berakhir.