Insan & Komuniti 08 Jun, 2025

Penuh gurau senda! Program korban Surau Al-Ukhuwah seperti kenduri kahwin! Selepas rewang, makan sup!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this


"Memang terasa kemeriahannya, seolah-olah kami mengadakan program rewang atau gotong royong untuk majlis perkahwinan.

"Masing-masing menjalankan tugas mereka tanpa disuruh, seperti adik beradik. Dah susah nak cari kesepakatan macam ini, malah di kampung pun rasanya tiada lagi gotong royong sebegini.


Kru penyembelihan sempat bergambar kenangan sebelum sesi menjalankan tugas-tugas korban lembu.


"Kami hanya mengorbankan 10 lembu tapi kemeriahan memang luar biasa, mungkin konsep surau ini yang mesra musafir menjadikan ia tumpuan jemaah untuk hadir," kata Pengarah Program Korban Surau Al-Ukhwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor, Kamarulbahrin Hashim.

Beliau berkata, program korban Surau Al-Ukhuwah sentiasa dinanti-nantikan bukan sahaja dalam kalangan ahli kariah tapi penerima dalam kalangan asnaf dan warga asing dari Pakistan, India, Bangladesh dan Indonesia.


Kamarulbahrin Hashim.


"Ramai hadir membantu menyembelih, melapah, membungkus dan mengagih-agihkan daging korban.

"Selepas selesai program korban, ahli kariah bersolat jemaah dan menikmati menu istimewa sup tulang selain mendapat sebungkus daging korban," katanya.

Kamarulbahrin mengakui, AJK surau mengadakan program itu ikhlas kerana Allah, bukan untuk faedah diri sendiri atau cari populariti.


Kerja-kerja memotong dan menimbang daging lembu dijalankan dengan lancar hasil kerjasama ahli kariah.


"Program ini adalah satu ibadah, jika kita ikhlas kerana Allah, Dia akan buka jalan. Begitu juga dengan makanan, minuman yang surau sediakan, ia wang yang diinfak oleh jemaah sendiri, kita pulangkan semula, bukan untuk disimpan dalam peti besi.  

"Saya percaya jika kita menggunakan wang infak untuk program agama termasuk kelas fardu ain dan korban, ia tidak berkurangan kerana rezeki itu milik Allah. Malah, pemberi wang infak mendapat pahala dan Allah akan beri jalan lebih ramai ahli kariah memberi infak," katanya.


Penyembelihan 10 lembu korban dapat diselesaikan sebelum Zuhur dengan kerja-kerja secara gotong royong.


Beliau yang juga mantan Pengerusi Surau Al-Ukhuwah mengakui sudah biasa dengan tugas sebagai pengarah program korban dan ia satu amanah besar apabila dilantik sekali lagi tahun ini (2025).

"Sebagai pengarah program, saya bukan sekadar bercakap kosong atau memberi arahan tapi kerja yang dilakukan itu hasil perbincangan selama beberapa minggu. Kita merancang secara khusus dan teliti malah yang penting kerjasama ahli kejiranan serta kariah, inilah formula untuk berjaya.  

"Keseluruhan, saya amat berpuas hati, persiapan terbaik dan sambutan di luar dugaan. Tahun ini (2025) seperti gelombang besar, memang ramai dan luar biasa," katanya lagi. 


Ramai asnaf terutama di kalangan warga asing mendapat manfaat dengan pemberian sebungkus daging.


Beliau berkata, seramai 50 peserta mengambil bahagian tahun ini, alhamdulillah pembekal memberikan seekor lembu untuk dijadikan juadah makan tengah hari kepada jemaah yang hadir.  

"Ini kali ketiga selepas PKP penyembelihan dilakukan di sini. Sebelum ini, lembu disembelih di tempat pembekal tapi ia mengambil masa yang lama sehingga malam baru selesai proses agihan daging.  

"Ada ahli kariah memiliki sijil penyembelihan, justeru tidak timbul sebarang masalah untuk melakukan proses dari mula sehingga pengagihan daging korban," katanya. 


Golongan Muslimat turut bergotong royong denga diberi tanggungjawab menyediakan juadah untuk ahli kariah yang menyertai program korban Surau Al-Ukhuwah.


Kamarul berkata, konsep korban di surau itu terbuka kepada semua, sesiapa boleh datang, tiada had sukarelawan malah tiada baju-T disediakan untuk petugas. Jika tiada pisau untuk memotong, pihak surau  sediakan.

Menurutnya, ramai ahli kariah yang tidak kenal sebelum ini tapi mereka menjalin hubungan ukhuwah pada program itu, sambil melapah atau memotong daging, mereka bermesra serta bergurau senda.


Timbalan Pengerusi Surau All-Ukhuwah, Mohammad Aidi Amin Dir (kanan) menyantuni golongan Muslimat yang menyediakan sup tulang.


"Surau cuma uar-uarkan melalui grup WhatsApp surau tapi yang datang bukan dari kariah ini saja, ramai jemaah luar, mungkin mereka seronok berkorban di sini. Ramai "rider" Food Panda dan Grab Food pun singgah.

"Surau juga menghidupkan semula konsep rewang atau gotong royong yang kian dilupakan, hasilnya kerja-kerja menyembelih, melapah dan mengagih-agihkan daging korban berjalan lancar, sebelum zuhur dah selesai dan selepas solat, ada acara makan-makan, sup tulang. 

"Ramai jemaah yang hadir memuji masakan sedap, itulah kelebihannya apabila makanan dimasak dengan kasih sayang, hasilnya pun memuaskan," katanya.


Air kasih sayang campuran pelbagai herba mendapat sambutan ahli karian yang menyertai program korban.


Kamarul mengakui, petugas korban tidak mendapat upah walaupun satu sen, semuanya sukarela dan melihat jemaah melakukan tugas dengan penuh keriangan, beliau hilang rasa penat malah semakin bersemangat memastikan program di surau itu terus diingati untuk tempoh yang lama.

"Tahun ini (2025) agihan daging korban untuk golongan asnaf habis kerana jumlah yang hadir ramai malah mereka turut membantu kerja-kerja menyembelih, melapah, memotong dan membungkus," katanya. - KitaReporters


Peluang berehat memberi kesempatan ahli kariah berkenalan dan mengeratkan hubungan ukhuwah di kalangan ahli kariah.   

22
13
0
12
1
You will be interested