.
KETIKA kerajaan Madani sentiasa berusaha keras untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini, tindakan seorang lelaki Melayu membantu seorang wanita berketurunan India yang dalam kesusahan seharusnya dijadikan contoh oleh kita semua.
Shamsul Anuar Aziz, 44, membuktikan perbezaan bangsa dan agama bukanlah sempadan dalam melakukan kebaikan sesama insan apatah lagi jika yang memerlukan pertolongan benar-benar dalam keaadaan terdesak.
“Saya tolong wanita itu dan anaknya dengan ikhlas, atas dasar kemanusiaan dan rasa tanggungjawab sesama insan,” ujar Shamsul ekoran dihujani pujian daripada netizen selepas video beliau membantu seorang wanita India tular menerusi media sosial.
Menerusi video itu, Shamsul yang merupakan setiausaha Surau Madrasatul Huda, Nyior Setali, Alor Setar dilihat membantu seorang wanita berketurunan India yang ditemui dalam keadaan cemas dan bingung sambil mendukung bayinya.

SHAMSUL Anuar Aziz membantu seorang wanita dan bayinya yang dalam kesusahan.
Pada kejadian yang berlaku selepas waktu maghrib, pada Khamis, 22 Mei, 2025 itu, Shamsul yang masih berada di surau ternampak seorang wanita yang mendukung bayi, berjalan melintas di depan surau itu.
“Cara dia jalan, wajah dia, nampak takut, macam orang dalam masalah. Bayinya hanya berbalut dengan tuala berwarna kuning sambil menggalas beg plastik,” cerita Shamsul seperti dilaporkan media.
Menurut Shamsul tidak lama selepas itu, beliau menerima panggilan telefon daripada sepupunya, memberitahu ada wanita bersama bayi bersembunyi di kawasan gelap berhampiran.
Shamsul bersama beberapa orang jemaah surau segera meninjau keadaan wanita itu yang ditemui dalam keadaan berselubung dan bersembunyi di belakang sebuah kereta.
“Tempat itu memang gelap. Bila saya tegur, dia macam nak lari. Ketika dia cakap perlahan, ‘tolong jangan halau saya’, hati saya terus jadi sebak,” ujar Shamsul lagi.

SHAMSUL membelikan tiket ETS untuk wanita itu bertemu abangnya di Pulau Pinang.
“Saya kata saya bukan nak halau, saya nak tolong. Dia akhirnya ikut saya ke surau,” sambungnya.
Shamsul berkata wanita itu kelihatan lemah dan raut wajahnya menggambarkan dia sedang berdepan masalah.
Wanita itu menceritakan bahawa sebelum itu dia tinggal bersama keluarga kawannya selepas suaminya dijatuhi hukuman penjara. Namun, dia nekad keluar dari rumah itu selepas berlaku perselisihan faham.
“Dia cakap dia tak ada duit, tak ada tempat nak pergi. Kami beri mereka makanan, minuman dan susu untuk bayinya yang masih kecil. Kami benar-benar simpati dengan keadaan mereka,” kata Shamsul.
Wanita itu memaklumkan dia mempunyai abang di Pulau Pinang yang kemudian berjaya dihubungi dengan bantuan Shamsul.
“Abangnya minta kami hantar adik dan anak saudaranya ke stesen kereta api Alor Setar. Mujur kami sempat beli tiket terakhir ke Butterworth pada jam 10.18 malam,” jelasnya.

SHAMSUL (kanan) dihujani pujian selepas kisah dia membantu seorang wanita berketurunan India tular menerusi media sosial. Kredit foto: Sinar Harian.
Keikhlasan Shamsul dan rakan-rakannya membantu
wanita berkenaan jelas membuktikan, di sebalik sikap sesetengah masyarakat yang
memainkan sentimen kaum dan bersikap rais, masih banyak insan berhati emas yang membantu tanpa
mengira perbezaan agama, bangsa dan warna kulit.
Jika semua rakyat Malaysia mempunyai sikap bertoleransi serta saling membantu seperti ini, kita akan dapat membina sebuah negara Malaysia Madani yang hidup dalam keadaan damai walaupun mempunyai kepercayaan agama yang berbeza serta kepelbagaian budaya dan gaya hidup. - KitaReporters