Azman Rasman menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir Sahudi dan isteri sambil diperhatikan oleh Nordin Mokri (kanan).
KESEDIHAN hati ditimpa bencana banjir tidak diduga sebahagian penduduk sekitar daerah Yong Peng, Johor terubat apabila menerima kunjungan misi bantuan banjir pasukan sukarelawan termasuk daripada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) bersama Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (Badim) pada 13 Mac 2023.
Mangsa banjir terbabit melahirkan rasa bersyukur dengan kunjungan pelbagai penubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu meringankan bebanan mereka selepas banyak barangan dalam rumah rosak dan diseliputi lumpur akibat digenangi banjir bermula 10 Mac 2023 itu.
Lagi cerita-cerita pilu berkaitan mangsa-mangsa banjir
Sebahagian mangsa banjir merakamkan kenangan bersama-sama sukarelawan termasuk daripada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) dan Badan Didikan Islam UDA holdings Berhad (Badim) selepas menerima sumbangan barangan makanan asas dan wang tunai pada 13 Mac 2023.
Menurut Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Sri Gading, Johor, Asmah Kassim, bantuan yang disumbangkan oleh PKMM dan Badim amat membantu meringankan kesusahan yang ditanggung oleh ahli-ahlinya yang menjadi mangsa banjir.
Beliau berkata, rumah 36 ahli PITKM di beberapa kampung
sekitar daerah berkenaan ditenggelami banjir apabila air melimpah masuk ke
dalam rumah antara paras lutut dan dada menyebabkan banyak barangan seperti
perabut, tilam, sofa, peti ais, televisyen dan sebagainya rosak.
Tambahnya, barangan itu diseliputi lumpur yang dibawa air sungai yang melimpah memenuhi ruang dalam rumah hingga ke dapur menyebabkan pelbagai barangan dapur seperti pinggan, periuk eletrik, penapis air dipenuhi lumpur.
“Kedatangan NGO ini untuk membantu membersihkan rumah serta peralatan sangat membantu kerana tidak termampu untuk kami lakukan sendirian dalam keadaan perasaan yang tertekan serta berduka.
“Sumbangan bungkusan makanan asas harian berserta wang tunai walaupun tidak banyak amat menggembirakan dan menyejukkan hati kami yang dalam kalangan ibu tunggal ini,” ujar Asmah yang hadir bersama-sama ahli menerima sumbangan daripada PKMM dan Badim.
Azhar Yop menyerahkan bungkusan barangan makanan asas kepada seorang mangsa banjir.
Penyelaras pasukan misi bantuan banjir PKMM dan Badim, Azman Rasman, berkata pasukan itu yang turut disertai sukarelawan Hospital Kajang dan Hospital Ampang di Selangor, membawa 50 bungkusan makanan asas berserta wang tunai dan pakaian terpakai adalah sumbangan pelbagai pihak termasuk individu prihatin untuk membantu mangsa banjir.
Jelas beliau, di samping itu mereka turut membawa peralatan
untuk membantu dalam kerja pembersihan terutama mencuci lumpur yang meliputi
lantai dan barangan dalam rumah serta pam bagi menyedut air keluar.
“Dalam masa yang terhad kami hanya mampu membersih beberapa rumah di Kampung Jalan Lama Yong Peng, Kampung Parit Amir, Kampung Parit Tengah termasuk bahagian bawah Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Pekan Yong Peng,” ujarnya.
Azman menyerahkan sumbangan kepada Asmah yang datang bersama-sama ahli PITKM Sri Gading.
Sementara itu aktivis masyarakat, Nordin Mokri, berkata kehadiran pelbagai NGO banyak membantu mangsa banjir apabila ada diantara mereka berasa amat tertekan apabila melihat keadaan rumah ditakungi air banjir yang tidak dapat mengalir keluar kerana berada dalam kawasan rendah.
Menurutnya, dia bergegas datang untuk membantu pasukan sukarelawan PKKM dan Badim apabila dimaklumkan mereka akan mengunjungi kampung berkenaan untuk membantu mangsa banjir dan menagihkan bungkusan barangan makanan asas.
Tambahnya, seperti
mangsa banjir dia juga berasa amat terharu kerana ada pihak jauh dari daerah
itu sanggup datang walaupun dalam masa terhad bagi menghulurkan bantuan sekadar
termampu untuk meredakan tekanan perasaan mangsa banjir.
Jelas beliau, apabila mangsa banjir berkumpul di satu tempat untuk menerima agihan bantuan itu secara tidak langsung mengeratkan ukhuwah antara mereka yang sama-sama ditimpa kesusahan serta dugaan akibat bencana alam berkenaan.
“Daripada pengalaman saya, banjir ini lebih besar berbanding tahun 2006 lalu dan kedukaan mangsa banjir amat terasa apabila terpaksa bersabar dan berjimat kerana mereka juga membuat persiapan untuk persekolahan anak,” katanya.
Mangsa banjir memilih pelbagai pakaian terpakai untuk dibawa pulang.
Timbalan Yang Dipertua Badim, Azhar Yop yang turut serta
dalam misi banjir itu, berkata Badim akan terus bekerjasama dengan pelbagai
pihak termasuk PKMM untuk membantu penduduk yang ditimpa musibah seperti banjir
bagi meringankan bebanan yang ditanggung.
Menurutnya, jika ada maklumat yang disampaikan kepada Badim,
tindakan segera akan dilaksanakan dengan mengkaji masalah yang berlaku itu
untuk memudahkan usaha mencari sumbangan atau infak daripada pihak yang
prihatin serta sudi membantu.
“Selalunya dalam kes menghulurkan sumbangan atau bantuan kewangan, Badim tidak berseorangan kerana pasti ada pihak yang ingin turut serta membantu apabila mereka berasakan usaha sebegini perlu gandingan bersama yang secara tidak langsung menzahirkan rasa simpati,” katanya. - KitaReporters
Sukarelawan mengusung keluar tilam yang rosak selepas digenangi banjir.
________________________________________