Insan & Komuniti 05 Jan, 2026

Sampai bila? Kes haiwan peliharaan terlepas di jalan! 2 beranak maut selepas 2 kereta bertembung!

Share this

Keberadaan haiwan ternakan dan peliharaan berkeliaran di atas jalan raya termasuk di lebuh raya sering menghantui pengguna jalan, apatah lagi di jalan-jalan negeri dan kampung yang tiada lampu jalan pada waktu malam.

Biasanya kemalangan melibatkan haiwan-haiwan ini akan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan, tapi lebih menyedihkan apabila nahas berkenaan mengakibatkan kematian pengguna jalan yang boleh dielakkan jika tuan-tuan punya ternakan lebih bertanggungjawab.



Terbaharu, satu kejadian menyayat hati telah mengorbankan dua beranak apabila kedua-duanya maut dalam satu kemalangan di mana ia berpunca daripada seekor kerbau telah terlepas ke tengah jalan raya lalu menyebabkan kemalangan dua kenderaan di KM33 Jalan Kebun Baru - Bukit Serampang, Tangkak pada 3 Januari 2026. 

Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda City bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton yang terlanggar seekor kerbau melintas sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib yang mengesahkan kejadian berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 8.15 malam itu mengorbankan dua wanita yang dipercayai mempunyai pertalian darah.


 


"Pihak polis menerima satu laporan kemalangan maut di lokasi kejadian melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Honda City dengan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Mitsubishi Triton terlanggar seekor kerbau yang melintas secara tiba-tiba di atas jalan menyebabkan kenderaan yang dipandu hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan dan terlanggar kereta dinaiki mangsa," katanya.

Tambah Roslan, mangsa penumpang hadapan kereta Honda City, warga emas berusia 74 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta berkenaan, wanita berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Tangkak semasa mendapatkan rawatan.

Ujar beliau, dua lagi penumpang belakang kereta Honda tersebut serta pemandu kenderaan pacuan empat roda yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut.

"Kedua-dua mayat mangsa terkorban dibedah siasat di hospital yang sama,” kongsinya.



Sehubungan itu, pemilik haiwan ternakan sekali lagi diingatkan agar jangan lepaskan haiwan peliharaan sesuka hati,

Lihatlah kes ini yang telah mengorbankan dua nyawas akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab pemilik haiwan.

Anda mungkin hanya kehilangan haiwan peliharaan tetapi keluarga ini kehilangan seorang ibu, mungkin isteri, kakak serta adik kepada sebuah keluarga. 

Bayangkan jika ini terjadi kepada keluarga kita sendiri semestinya sakit kehilangan orang yang tersayang itu amat pedih.



Pihak polis juga menasihatkan pemilik binatang ternakan supaya memastikan ternakan mereka tidak dibiarkan bebas dan berada di atas jalan raya.

"Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Faszrulhaq Zulkapli menerusi talian 012-2306943 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya Roslan.

Kes ini telah disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - KitaReporters

 

 

10
11
0
13
0
You will be interested