Insan & Komuniti 10 Dec, 2025

Mahu empati bukan simpati! Ada 146 PBT tetapi hanya 1 pekerja OKU? Senator minta kerajaan buka mata!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

"Kami hanya mahu empati, bukan simpati!,” kata Ahli Dewan Negara yang mewakili golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Senator Isaiah D. Jacob yang melahirkan rasa kecewa terhadap peluang pekerjaan serta penyertaan golongan itu dalam sektor kerajaan dan pentadbiran negeri.


Pelajar Makmal Pembelajaran Autisme UKM, Puteri Nursyifa' Megat Safawi (tengah) menyampaikan dua lagu sambil ditemani Isaiah D Jacob dan Dr Syar Meeze Mohd Rashid.


Beliau berkata, perjuangannya selama ini bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya demi memastikan golongan OKU diberi ruang dan peluang yang adil dalam membangunkan negara.

Justeru, beliau mahu Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menilai semula peluang pekerjaan untuk OKU dalam sektor awam, termasuk majlis perbandaran dan pentadbiran negeri.

"Penyertaan OKU dalam perkhidmatan kerajaan masih terlalu rendah dan tidak mencerminkan komitmen negara terhadap agenda inklusiviti (keterangkuman).

“Daripada 146 majlis perbandaran (pihak berkuasa tempatan atau PBT) di seluruh negara, hanya seorang OKU diambil bekerja. Keadaan ini sangat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya sempena Karnival Cakna OKU dan Sambutan Hari OKU Sedunia peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Bangi pada 6 Disember 2025.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad; Pengarah Eksekutif Bebas AirAsia X, Datuk Dr Mazlan Ahmad; dan Pengarah Program Karnival Cakna OKU UKM 2025, Dr. Syar Meeze Mohd Rashid.



Antara reruai yang mengambil bahagian sempena Karnival Cakna OKU dan Sambutan Hari OKU Sedunia peringkat UKM 2025. 


Isaiah berkata, kedudukannya sebagai Senator digunakan sepenuhnya untuk memperjuang hak OKU, namun usaha membawa suara golongan itu selalu menerima bantahan atau cemuhan.

"Golongan OKU tidak meminta keistimewaan, sebaliknya peluang yang adil untuk membuktikan kemampuan. 

"Kami juga bekerja keras dan membayar cukai selain menyumbang kepada ekonomi negara. Yang kami mahu ialah empati bukan simpati," katanya.

Beliau turut menyentuh persepsi terhadap OKU dan mencadangkan perubahan cara masyarakat melihat kemampuan golongan berkenaan.


Reruai Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS).


“OKU bukan lemah. Lihat sahaja siapa antara pemegang saham terbesar negara, beliau seorang OKU. Adakah beliau lemah dan tidak berupaya. Tentunya tidak!," katanya.

Selain itu untuk berjaya, beliau berharap komuniti OKU agar tidak berpecah belah sebaliknya bergerak dalam satu gabungan yang kukuh.

“Terlalu banyak NGO OKU ditubuhkan, tetapi kita memerlukan satu suara yang kuat. Tanpa perpaduan, kita menjadi lemah dan tidak dipandang.

"Bayangkan di Malaysia ada seramai 800,000 OKU tapi apabila digabung dengan ibu bapa dan penjaga, komuniti OKU berjumlah sekitar 2.6 juta. 

"Ini satu jumlah besar yang mampu memberi impak sosial dan politik," katanya.




Sebagai Senator di Dewan Negara yang mewakili OKU, beliau sentiasa mengangkat agenda golongan itu agar terus diberi perhatian khususnya dari aspek perundangan dan polisi selari dengan kerangka Malaysia Madani yang menolak peminggiran mana-mana kelompok.

“Saya akan terus memperjuang dasar inklusif dan memastikan suara OKU tidak diketepikan.Tiada agenda peribadi sebaliknya apa yang saya lakukan adalah untuk kawan-kawan saya yang mahukan persamaan hak," katanya.


Pertubuhan Raudhah Autisme mengambil bahagian sebagai pempamer di Karnival Cakna OKU UKM bagi berkongsi sokongan dan harapan untuk anak-anak istimewa. 


Pada majlis sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Unit Perkhidmatan Sokongan-OKU (UPS-OKU) Universiti Kebangsaan Malaysia atas usaha membantu mahasiswa OKU melalui sokongan akademik, mobiliti, psikososial serta penyelesaian cabaran kampus.

Katanya, UPS-OKU wajar dijadikan penanda aras untuk semua institusi pendidikan tinggi dalam mengangkat agenda inklusiviti.

"Karnival dan program berkaitan OKU bukan sekadar acara, tetapi peringatan bahawa masyarakat perlu bergerak ke arah tindakan konkrit, bukan retorik.

“Saya berharap syarikat swasta dan badan kerajaan membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada OKU. Berilah kami peluang untuk membuktikan kemampuan kami," katanya. - KitaReporters


Isaiah D Jacob (kanan sekali) bergambar kenangan bersama pelajar dan wakil pertubuhan OKU yang hadir di Karnival Cakna OKU dan Sambutan Hari OKU Sedunia peringkat UKM 2025. 

15
17
0
13
0
You will be interested