Langit malam ibu kota dihiasi dengan cahaya biru dan emas apabila Menara Kuala Lumpur, mercu tanda ikonik negara, menyala indah selama tiga malam bermula malam 16 sehingga 19 September ini.

Penyalaan khas ini diraikan bersempena ulang tahun ke-50 Kawasan Rukun Tetangga (KRT), yang sejak lima dekad lalu menjadi nadi semangat kejiranan rakyat Malaysia.
Sejak penubuhannya pada tahun 1975, KRT bukan sekadar sebuah inisiatif komuniti, tetapi menjadi wadah penyatuan masyarakat majmuk di negara ini.
Dari aspek keselamatan, ekonomi komuniti, sehinggalah ke warisan budaya, KRT telah memainkan peranan besar dalam menyatukan jiran tetangga dan memperkukuh rasa kebersamaan, seiring aspirasi Malaysia Madani.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menyifatkan KRT sebagai “jambatan yang menyatukan pelbagai kaum dan agama."
Katanya, selama 50 tahun, KRT terus memperkasa semangat kejiranan, menjaga keselamatan serta membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
“Selama lima dekad, KRT menjadi jambatan yang menyatukan pelbagai kaum dan agama dalam memperkasa semangat kejiranan, memelihara aspek keselamatan serta meningkatkan ekonomi komuniti setempat.
"Saya merakamkan terima kasih atas kerjasama Menara Kuala Lumpur dalam menjayakan inisiatif sambutan ini,” ujar Aaron (gambar bawah) yang turut memuat naik beberapa keping gambar Menara KL dalam cahaya biru emas melalui platform laman Facebooknya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn Bhd, Khairil Faizal Othman (gambar atas, bawah, kanan) selaku pengendali Menara Kuala Lumpur berkata, pihaknya berbesar hati dapat bersama-sama Kementerian Perpaduan Negara meraikan sambutan 50 Tahun Kawasan Rukun Tetangga.
“Sebagai mercu tanda ikonik negara, kami sentiasa menyokong usaha yang membawa mesej perpaduan dan kebersamaan rakyat,” ujarnya.
Sehingga kini, terdapat 8,586 KRT di seluruh negara yang meliputi lapan bidang tumpuan utama iaitu ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan komuniti, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan dan budaya serta daya cipta.
Separuh abad telah berlalu, namun semangat KRT kekal segar – bagaikan cahaya biru dan emas di Menara KL, ia terus menyinari malam sebagai lambang perpaduan masyarakat majmuk, penggerak komuniti progresif serta nadi kesejahteraan dan kebanggaan rakyat Malaysia. - KitaReporters
