Insan & Komuniti 07 Oct, 2025

Terima kasih! Bekas pesakit tumor tawar rumah percuma! Dekat hospital untuk waris pesakit yang susah!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Jika ada anggota keluarga yang sakit dan memerlukan rawatan di hospital yang jauh dari rumah, ia menjadi masalah kepada anggota keluarga lain untuk melawat dan datang setiap hari.


Hampir tiada hospital yang menyediakan tempat tinggal untuk anggota keluarga di kawasan hospital. 

Anggota keluarga yang ingin melawat setiap hari terpaksa menyewa hotel atau menumpang rumah kawan atau saudara. Dan ia memberi beban dari segi kewangan.

Masalah sebegini biasanya hanya dirasai mereka yang pernah mengalaminya.

Menurut South China Morning Post (SCMP), seorang lelaki bekas pesakit tumor otak mendapat pujian masyarakat selepas sanggup menyewa sebuah pangsapuri berdekatan sebuah hospital untuk dijadikan penginapan percuma bagi keluarga pesakit yang menjaga ahli keluarga mereka di hospital.



Zheng Gang, 39, dari Jinan, wilayah Shandong, timur China, disahkan menghidap tumor otak pada 2020 dan dirawat selama 45 hari. Dia melihat ramai waris pesakit terpaksa tidur di lantai hospital kerana tidak mampu menyewa bilik.

Pengalaman itu membuatkan Zheng terdetik untuk membantu, selain sebagai tanda terima kasih kepada keluarga yang menjaga dirinya ketika sakit.

Zheng selepas waktu kerja akan berdiri di luar hospital dengan papan tanda kadbod untuk mempelawa waris pesakit yang kelihatan berada dalam kesusahan.
Pada 2022, Zheng menyewa sebuah rumah berdekatan hospital di Shandong, China dengan sewa sekitar 1,000 yuan (kira-kira RM650) sebulan, berbanding kos hotel berdekatan mencecah 150 yuan (kira-kira RM100) semalam.

Pangsapuri itu dipanggil House of Compassion (Rumah Kasih Sayang). Ia dilengkapi katil dua tingkat serta kemudahan memasak asas dan mampu menampung sehingga 15 orang dalam satu masa.


Dalam tempoh empat tahun, lebih 300 keluarga sudah mendapat manfaat daripada Rumah Kasih Sayang itu.

Ada yang tinggal beberapa hari, malah ada juga sehingga sebulan, bergantung pada keperluan.

Bagi melakukan kerja kebajikan ini, setiap petang, Zheng selepas waktu kerja akan berdiri di luar hospital dengan papan tanda kadbod untuk mempelawa waris pesakit yang kelihatan berada dalam kesusahan.

Zheng turut berbual dengan anggota keluarga yang menginap di Rumah Kasih Sayang


Zheng turut menjadi pengiring perubatan bagi membantu pesakit mendaftar secara dalam talian, menjalani prosedur serta mencari arah dalam hospital besar.

Ada keluarga yang dibantu membalas jasa dengan membeli barangan keperluan harian untuk rumah tersebut.

Zheng dilihat sebagai simbol harapan dan belas kasihan, membantu mereka yang terbeban dengan sakit melihat kembali sinar kebaikan dalam masyarakat. - KitaReporters

9
13
0
13
0
You will be interested