Insan & Komuniti 09 Nov, 2025

Buta bukan halangan! OKU penglihatan sertai acara berjalan kaki! Sempena Hari Tongkat Putih Sedunia!

Share this

Walaupun bergelar OKU (orang kurang upaya) Penglihatan, mereka tidak dilupakan dan tetap diraikan melalui pelbagai aktiviti dan program seperti orang biasa juga.


Pelbagai peringkat umur OKU penglihatan meraikan Hari Tongkat Putih Sedunia di Menara Bandaraya MBSP.

Ratusan OKU penglihatan bersemangat berjalan kaki meraikan Hari Tongkat Putih Sedunia.

Malah program berjalan kaki sempena 'Hari Tongkat Putih Sedunia' yang diadakan pada Sabtu, 8 November 2025 di Seberang Perai, Pulau Pinang mendapat sambutan hebat dengan penyertaan menggalakkan daripada masyarakat OKU penglihatan.

Hari Tongkat Putih Sedunia disambut di seluruh dunia pada 15 Oktober setiap tahun.

Program ini bukan sekadar aktiviti berjalan kaki dengan 'tongkat putih', sebaliknya membuktikan kebersamaan, keprihatinan dan penghargaan terhadap komuniti OKU penglihatan.


Menara Bandaraya MBSP menjadi lokasi permulaan program.

Inisiatif yang diambil oleh Pertubuhan Kebajikan OKU Penglihatan Prihatin (PKOPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) serta beberapa agensi terlibat memperlihat kepedulian yang sememangnya harus dibanggakan.

Paling menarik ialah begitu ramai 'tongkat putih' mewarnai jalan kaki di Menara Bandaraya MBSP.

Yang pasti walaupun berkategori OKU penglihatan semangat juang yang dizahirkan oleh para peserta tidak kalah jika dibandingkan dengan orang biasa.


Semangat kental yang ada menjadi pendorong untuk terus bergerak menuju garisan penamat.

Walaupun berkerusi roda ia tidak mematahkan semangat para peserta untuk turut sama berjalan kaki beramai-ramai. 


Syabas juga kepada MBSP yang komited untuk terus membina bandar raya inklusif dan mesra OKU sejajar dengan aspirasi Pulau Pinang 2030 melalui pelbagai inisiatif dan program kesedaran komuniti.

Hadir sama bagi menjayakan program yang amat berharga ini ialah Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi; Setiausaha MBSP, Mohd Ibrahim Md Nor; Ahli Majlis MBSP; serta wakil sektor pendidikan khas JPNPP. - KitaReporters


Ratusan peserta Tongkat Putih berhimpun bersama penganjur di hadapan Menara Bandaraya MBSP.

22
10
0
10
0
You will be interested