Insan & Komuniti 20 Jan, 2026

Journey to Mabrur! Kursus haji As-Salam Bukit Sentosa perkasa kefahaman jemaah! Kerjasama As-Safa!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Labbaikallahumma labbaik, labbaika la syarika laka labbaik. 

Ungkapan talbiah yang melambangkan kepatuhan dan keikhlasan kepada Allah SWT menjadi simbolik kepada kepentingan persediaan ilmu dan kefahaman yang mantap sebelum menunaikan ibadah haji dan umrah.



Pendekatan pembelajaran berasaskan simulasi membolehkan peserta Kursus Haji Bersiri memahami pelaksanaan ibadah haji dengan lebih jelas dan yakin. - Gambar oleh: Muhamad Nazim  Mohd Sarjidan. 

Amir Yahaya.

Nazir Masjid As-Salam, Bukit Sentosa, Rawang Lt Kol (B) Amir Yahaya berkata ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal ke Tanah Suci, sebaliknya merupakan ibadah agung yang menuntut ilmu, disiplin serta penghayatan rohani yang mendalam bagi memastikan pelaksanaannya sah dan sempurna.

Menurut beliau, Kursus Haji Bersiri yang berakhir pada 18 Januari 2026 anjuran masjid berkenaan diadakan dengan kerjasama As-Safa Travel & Tours Sdn. Bhd.  bagi membantu jemaah memahami secara jelas setiap rukun, wajib dan sunat haji, selain memberi pendedahan menyeluruh terhadap tatacara pelaksanaan ibadah di Tanah Suci.

“Ibadah haji dilaksanakan mengikut kemampuan, namun peluang menunaikannya bukan datang selalu. 

Justeru, kursus seperti ini amat penting kerana ilmu berkaitan haji bukan ilmu yang dipelajari setiap masa, malah mungkin hanya sekali dalam seumur hidup,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan kursus tersebut.

Beliau berkata pendekatan kursus yang merangkumi penerangan terperinci, bimbingan berperingkat-peringkat serta simulasi ibadah diyakini dapat memantapkan kefahaman jemaah, sekali gus mengelakkan kekeliruan dan kesilapan ketika melaksanakan ibadah di Tanah Suci kelak.


Penerangan tatacara ibadah di Muzdalifah menjadi antara pengisian penting Kursus Haji Bersiri dalam membantu jemaah memahami aliran perjalanan haji secara menyeluruh dan tersusun.

Bersai adalah antara pengisian praktikal Kursus Haji Bersiri yang membantu jemaah memahami pergerakan.

Tahallul adalah antara pengisian praktikal Kursus Haji Bersiri yang memberi pendedahan kepada jemaah mengenai tatacara bercukur atau bergunting sebagai pelengkap rukun dan tertib ibadah haji.  - Gambar oleh: Muhamad Nazim  Mohd Sarjidan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif As-Safa Travel & Tours Sdn. Bhd., Ustaz Md Roslan Mohammad Jaafar berkata persediaan ilmu berkaitan ibadah haji dan umrah perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan ibadah yang mempunyai syarat, rukun dan tertib yang jelas serta tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa.

Menurut beliau, kursus yang dilaksanakan secara tersusun dan berperingkat-peringkat itu membantu jemaah memahami tatacara ibadah dengan lebih yakin, selain melengkapkan kursus asas, intensif dan perdana anjuran Lembaga Tabung Haji.

“Kursus seperti ini memberi nilai tambah kepada jemaah kerana mereka bukan sahaja didedahkan dengan teori, malah turut diberi latihan praktikal dan simulasi yang mendekatkan mereka kepada situasi sebenar ketika berada di Tanah Suci,” katanya.

Kursus yang dijalankan merangkumi 10 siri pembelajaran itu turut menampilkan penceramah bertauliah daripada Lembaga Tabung Haji, Ustaz Zainal Saparin yang memberi penekanan terhadap aspek kefahaman hukum, persediaan mental serta penghayatan ibadah sebagai bekalan rohani sebelum berangkat menunaikan haji dan umrah.

Dalam pada itu, Lt Kol (B) Amir turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak As-Safa Travel & Tours Sdn. Bhd. atas komitmen dan kerjasama erat dalam menjayakan kursus berkenaan, selain sumbangan penceramah serta jawatankuasa masjid yang terlibat secara langsung.


Ustaz Md Roslan Mohammad Jaafar.

Melontar Jamrah adalah antara pengisian praktikal Kursus Haji Bersiri yang memberi pendedahan kepada jemaah mengenai tatacara dan tertib ibadah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Pemeriksaan kesihatan adalah antara pengisian persediaan Kursus Haji Bersiri yang bertujuan memastikan tahap kesihatan jemaah berada dalam keadaan baik sebelum berangkat ke Tanah Suci. - Gambar oleh: Muhamad Nazim  Mohd Sarjidan.


Bagi peserta kursus pula, Shamcimi Ellis, 63, dari Bandar Sungai Buaya berkata penyertaan dalam kursus tersebut banyak membantu meningkatkan kefahaman beliau terhadap tatacara ibadah haji dan umrah, khususnya berkaitan rukun, wajib serta perkara yang perlu dielakkan ketika berada di Tanah Suci.

Menurutnya, pendekatan kursus yang disampaikan secara berperingkat-peringkat serta disertai simulasi ibadah memberi keyakinan kepada jemaah untuk melaksanakan ibadah dengan lebih tenang, teratur dan berfokus.

Intan Juliana Hamzah dari Bandar Bukit Beruntung pula berkata kursus berkenaan memberi pendedahan yang jelas dan menyeluruh, sekali gus membantu jemaah membuat persediaan awal dari segi mental, rohani dan pengurusan diri.

Turut berkongsi pandangan, Abdul Rahman Abdullah menyifatkan kursus tersebut sebagai amat bermanfaat kerana penerangannya mudah difahami dan disampaikan secara sistematik, manakala Salmah Ahmad pula berkata sesi soal jawab yang interaktif membantu jemaah memahami isu-isu fiqh haji dan umrah dengan lebih mendalam.

Mereka berpandangan, penganjuran kursus seumpama itu wajar diteruskan kerana bukan sahaja memperkukuh ilmu jemaah, malah meningkatkan keyakinan dan kesiapsiagaan sebelum menunaikan ibadah haji dan umrah di Tanah Suci. - KitaReporters


Shamcimi Ellis

Intan Juliana Hamzah

Kursus Haji Bersiri Masjid As-Salam Bukit Sentosa memperkukuh ilmu dan keyakinan jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci. - Gambar oleh: Muhamad Nazim  Mohd Sarjidan.

 

 

9
7
0
6
0
You will be interested