Memiliki empati yang amat kuat mendorong dua rakan menjadi aktivis masyarakat untuk membantu serta mengambil peduli membela nasib komuniti yang memerlukan bantuan bagi melakukan perubahan dalam hidup walaupun tinggal jauh di pedalaman.

Bertanda merah merupakan lokasi Kampung Orang Asli Temiar di Pos Balar, Gua Musang, Kelantan.
Walaupun
bukan sesiapa yang perlu dipuji, namun demi mengambil peranan serta melaksanakan
tanggungjawab sosial, moral dan agama mereka berganding bahu ke lapangan mencari
sumbangan dana di samping barangan asas keperluan harian termasuk pakaian
terpakai untuk komuniti Orang Asli Pos Balar, di Gua Musang, Kelantan.
Hasmadi
Ghazali dan Nasiruddin Keling, berkata untuk projek membantu Orang Asli di pos
berkenaan, mereka mencari sumbangan dana dan pelbagai barangan asas keperluan
harian untuk diagihkan kepada 20 keluarga selepas dimulakan hujung awal September
2025.
Menurut Hasmadi, usaha sukarela yang digerakan itu juga salah satu cara menyampaikan dakwah Islam kepada komuniti Orang Asli suku kaum Temiar di pedalaman Kelantan yang masih ketinggalan dalam pelbagai segi serta kemudahan dan sudah dilakukan sejak tahun 2000.

Hasmadi Ghazali terpaksa menunggang motosikal untuk menghantar sumbangan orang ramai ke Pos Balar kerana jalan tanah yang berlumpur.
Tambahnya,
untuk projek kampung Org Asli Pos Balar itu dia sedang cuba berusaha membantu komuniti
berkenaan membangunkan infrastruktur kampung seperti pembinaan empangan air
tandak untuk disalurkan terus ke rumah.
Jelasnya,
jika usaha itu berjaya dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan semua khusus
menginfakkan dana dia berkeyakinan apabila siap Orang Asli terutama wanita tidak
perlu lagi bersusah payah membasuh dan mandi di sungai yang terdedah dengan
kehadiran binatang buas seperti harimau, beruang dan gajah.
“Walaupun akan mengambil masa lama bergantung kepada sumbangan dana yang diinfak, saya akan terus berusaha termasuk untuk menyediakan kemudahan lampu solar bagi menerangi persekitaran dan jalan utama kampung Orang Asli itu,” ujarnya.

Hasmadi turut menempuh pengalaman membina titi untuk dilalui kenderaan pacuan empat roda untuk ke kampung Orang Asli Temiar.
Hasmadi berkata, untuk projek sumbangan dana dan barangan asas keperluan harian serta pakaian terpakai itu dia bersama rakannya Nasiruddin menguar-uarkan usaha berkenaan menerusi media sosial apabila mendapat sambutan mengalakkan daripada pelbagai pihak termasuklah penduduk, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin.
Menurutnya, apabila usaha projek itu dimaklumkan kepada komuniti masyarakat dalam kalangan pendidik dan ahli jawatankuasa surau sekitar Kelana Jaya, ia mendapat sambutan luar biasa malah ada yang menghulurkan barangan runcit dan wang zakat sebagai sokongan menjayakan kerja amal kebajikan berkenaan.
“Mereka yang menghulurkan sumbangan ini bukanlah kali pertama membantu malah sentiasa bersedia memberi kerjasama termasuklah mengagihkan daging pada Hari Raya Korban beberapa tahun lalu supaya komuniti Orang Asli turut menikmati kemeriahan Aidiladha yang menunjukkan ada pihak ambil peduli nasib mereka,” katanya.

Nasiruddin Keling bersama pakaian terpakai dan barangan asas keperluan harian sumbangan pelbagai NGO dan individu prihatin untuk dihantar ke Pos Balar.
Sementara itu, Nasiruddin berkata, dia terdorong melakukan kerja kebajikan dengan bertindak sebagai aktivis masyarakat bagi mengisi masa terluang selepas menamatkan perkhidmatan sebagai kakitangan kerajaan lapan tahun lalu.
Jelasnya,
mungkin bersesuaian dengan jiwanya kerana suka membantu orang yang susah dan yang memerlukan
bantuan serta sokongan bagi menempuhi kehidupan apabila menghadapi kesempatan
seperti dibuang kerja dan keuzuran selepas menghidap pelbagai penyakit.
Tambahnya,
dia bergerak sendirian namun memiliki ramai kenalan yang mempunyai sikap
prihatin terhadap mereka ditimpa musibah dan mereka itulah yang menginfak
sumbangan disamping memberi semangat untuk terus aktif sebagai aktivis
masyarakat.
Menurutnya, setakat ini dia sudah banyak mencari sumbangan untuk membantu keluarga miskin, asnaf, pusat tahfiz, sekolah pondok sehingga melangkau sempadan menghantar pelbagai keperluan barangan makanan, pakaian terpakai dan sebagainya ke Vietnam serta Indonesia.
Hasmadi (kanan) dan Nasiruddin mengira sumbangan wang yang diinfak oleh NGO dan individu prihatin untuk diagihkan kepada komuniti Orang Asli di Pos Balar, Gua Musang, Kelantan.
“Saya hanya membantu dari segi mencari sumbangan dengan menghubungi pihak yang saya kenali, manakala urusan agihan atau penghantaran dilakukan oleh mereka menguruskan projek berkenaan seperti NGO.
“Untuk projek bantuan untuk Orang Asli Pos Balar ini, ia diurus selia oleh kawan baik saya, Hasmadi yang datang mengambilnya di tempat pengumpulan di Pangsapuri 17 Tingkat, Kampung Kerinchi untuk dihantar dan diagihkan kepada komuniti kampung berkenaan,” ujarnya. - KitaReporters