Insan & Komuniti 16 Nov, 2023

Misi Caring World Mission Indonesia! Santuni penduduk Lombok! Pantau projek kemanusiaan IR Malaysia!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Seramai empat orang kakitangan Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) bersama tiga orang Ikon Kemanusiaan IR Malaysia iaitu Diana Amir, Suffian Amrin dan Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz dari kumpulan Saujana berlepas ke Lombok, Indonesia pada 12 November 2023 lalu bagi menjalankan misi kemanusiaan hingga 18 November 2023.

Pasukan misi yang bergelar “Caring World” Mission #Indonesia itu akan berada di Lombok selama tujuh hari bagi melawat projek-projek kemanusiaan Islamic Relief yang dilaksanakan di sana selain memberi bantuan dan menyantuni penduduk Indonesia di lokasi tersebut.

Ketua misi, Nas ‘Aqilah Ismail merangkap Pegawai Kanan Bahagian Penjanaan Dana IR Malaysia berkata, misi kemanusiaan ke Indonesia itu memberi tumpuan kepada projek bantuan anak yatim yang dilaksanakan di sana.

“Sejajar dengan kempen MyYateem yang sedang berjalan di IR Malaysia, kami memilih lokasi ini bagi melihat sendiri impak pelaksanaan projek Alternative Livelihood for Orphans Family yang dilaksanakan di Lombok sejak tahun 2020 hasil sumbangan rakyat Malaysia.

“Selain itu, pasukan misi juga akan meninjau projek-projek lain seperti Enhancing Mushroom Cultivation and Business (EMCUBUS) dan Orphan Sponsorship Programme (OSP),” kata Nas ‘Aqilah.



Pada 7 Julai 2023, IR Malaysia telah melancarkan kempen MyYateem yang membawa slogan #CareForOrphan dengan sasaran dana sebanyak RM1 juta untuk membantu anak-anak yatim di lebih 25 buah negara termasuk Indonesia, Bangladesh, Syria, Palestin, Somalia, Bosnia dan Yaman.

“Jadi, objektif misi kali ini adalah untuk memantau pelaksanaan projek-projek bantuan daripada dana IR Malaysia di samping membuat penilaian terhadap impak projek serta mengenal pasti penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memastikan projek-projek ini berjaya dan kekal relevan,” tambah Nas ‘Aqilah. 



Sementara itu, Diana Amir yang ditemui semasa sesi perlepasan berkata, dirinya bersyukur dapat menyertai misi ini setelah kali terakhir terlibat dengan misi kemanusiaan bersama IR Malaysia pada tahun 2018 ke Bosnia and Herzegovina.

“Diana bersyukur dapat mengikuti misi ini dan ini kali pertama Diana ke negara jiran Indonesia untuk melaksanakan misi kemanusiaan menyantuni anak-anak yatim dan meninjau projek-projek Islamic Relief. 

“Tak sabar sebenarnya sebab bila kita pergi misi, yang lebih terkesan ialah diri kita sendiri. Tak sabar untuk bermuhasabah diri bila tengok keadaan orang lain agar kita lebih mensyukuri nikmat yang kita ada.

“Jadi, misi-misi bantuan baik di dalam negara mahupun di luar negara, perlu diteruskan untuk membantu semua orang yang memerlukan,” kongsi Diana.



Melalui misi ini, Diana turut berharap agar dapat berkongsi situasi sebenar dan cabaran hidup yang dilalui penduduk Lombok kepada masyarakat Malaysia khususnya sekali gus mengumpul lebih banyak dana untuk membantu anak-anak yatim di seluruh dunia.

“Diana berharap semoga permusafiran ini dipermudah dan dirapatkan ukhuwah kami agar kami sama-sama dapat jalankan misi dengan jayanya. Semoga bila kami balik nanti, kami dapat menyebarluaskan pengalaman dan pengetahuan kami tentang kehidupan penduduk di sana agar lebih ramai yang cakna dan menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka terutama anak-anak yatim di bawah kempen MyYateem #CareForOrphan,” tambah Diana.

Selain meninjau projek-projek bantuan, pasukan “Caring World” Mission #Indonesia juga akan mengagihkan sumbangan kelengkapan persekolahan di sebuah sekolah dan melakukan beberapa aktiviti psikososial bagi menyantuni penduduk di sana. - KitaReporters/Kenyataan Media


14
12
0
16
0
You will be interested