The Hope Branch, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan oleh pelawak terkenal Harith Iskander dan isteri Dr. Jezamine Lim, giat menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di Kelantan baru-baru ini.
Sebagai tindak balas kepada keperluan mangsa yang terjejas akibat banjir di Pantai Timur baru-baru ini, The Hope Branch telah memperuntuk sejumlah nilai RM120,000 khas buat bantuan.
Pakej bantuan - yang mengandungi barangan seperti beras, ayam segar, sayur-sayuran, ubat gigi, berus gigi, kain lap basah, sarung tangan, topeng muka, tilam, bantal, dan tudung - bertujuan untuk meringankan kesusahan yang dihadapi mangsa banjir.
Operasi bantuan selama 2 hari yang berpusat di Kampung Seberang Merbau dan Kampung Bukit Budu di Kelantan telah diketuai sendiri oleh Harith dan Dr Jezamine dan dijangka memberi kesan kepada 930-1,085 individu di kawasan terdekat.
The Hope Branch juga merakamkan penghargaan kepada Colgate dan BZU BZU Malaysia atas tajaan mereka, meningkatkan kapasiti organisasi untuk menyediakan bantuan menyeluruh kepada mereka yang memerlukan.
Pengasas The Hope Branch, Harith Iskander berkata, “Keutamaan kami adalah untuk meringankan beban mereka yang terjejas akibat banjir.
"Kami berhasrat untuk membantu seramai mungkin individu, dan kami berterima kasih atas perkongsian dan sumbangan yang kami terima. "Berdasarkan pengalaman banjir yang lalu, terdapat lebih ramai yang memerlukan bantuan selain penduduk Kampung Seberang Merbau dan Kampung Bukit Budu.
"Oleh itu, The Hope Branch juga berdedikasi untuk memberi bantuan berterusan di Kelantan bagi sokongan masyarakat jangka panjang.”
Kak Yong, seorang pekerja sosial yang terlibat dalam operasi bantuan berkata "Sebagai seseorang yang terlibat dalam usaha bantuan banjir selama bertahun-tahun, saya telah menyaksikan secara langsung kesan buruk banjir terhadap masyarakat, khususnya di kampung yang terjejas."
Apabila banjir melanda, penduduk kehilangan bukan sahaja rumah tetapi juga sumber pendapatan utama.
Ramai yang bergantung kepada pekerjaan sebagai penoreh getah atau yang bekerja di ladang kelapa sawit tidak mempunyai pendapatan selama berbulan-bulan, bermula dari November hingga Tahun Baharu Cina.
Tempoh tiada pendapatan yang berpanjangan ini menjerumuskan keluarga ke dalam ketidaktentuan kewangan dan kesusahan.
Lebih-lebih lagi, kesan kesihatan akibat banjir adalah teruk. Pendedahan kepada air banjir yang kotor sering membawa kepada penyakit di kalangan penduduk kampung, termasuk demam dan masalah kulit.
Dalam menghadapi kesukaran seperti itu, bantuan dan sokongan daripada individu persendirian dan NGO seperti The Hope Branch menjadi suar harapan bagi komuniti ini.
Setiap bantuan yang diberikan adalah dialu-alukan. Ia adalah talian hayat bagi keluarga yang bergelut untuk menghadapi kesan berpanjangan daripada bencana banjir seperti itu.
Di sebalik usaha bantuan segera, The Hope Branch komited untuk memberi bantuan yang berterusan di Kelantan.
Lawatan akan datang dirancang untuk ke Kampung Pulau Teluk Renjuna, Kampung Pulau Tonging, Kampung Pulau Pantai Haji Nikmat, dan Kampung Jubakar Darat.
Lawatan ini akan menangani cabaran berterusan yang disebabkan oleh banjir, mempamerkan dedikasi The Hope Branch kepada sokongan masyarakat jangka panjang.
The Hope Branch menyeru orang ramai untuk berganding bahu dalam menyokong inisiatif bantuan banjir yang dijalankan di Pantai Timur ini.
Sumbangan, sama ada melalui derma, sukarela atau meningkatkan kesedaran, boleh memberi kesan yang ketara kepada kehidupan mereka yang terjejas.
Jom ikuti misi bantuan The Hope Branch, dan jadilah sebahagian daripada usaha kolektif untuk membawa harapan dan sokongan kepada komuniti. - KitaReporters/Media Release