Hilang lebih dua minggu tanpa khabar berita, wartawan Muslim Kanada asal Palestin Mansour Shouman yang dikhuatiri mati muncul selamat kelmarin, Selasa 6 Februari 2024.
Beliau dilihat meneruskan kegiatan bersiaran dari Jalur Gaza. Pengikut-pengikutnya mengurut dada lega sebaik melihat wajahnya dalam siaran terkini dari wilayah perang Israel-Hamas di saluran media sosial, instagram.
Perhimpunan protes di Toronto menampilkan peserta melaungkan luahan agar pihak berkuasa negara melakukan tindakan segera mencari dan membawa pulang Mansour.
Siaran berlangsung dari Khan Younis, selatan Gaza tempat dia berada sebelum kehilangannya, Mansour mendedahkan telah terperangkap dalam drama perang, menyebabkan dia dan kumpulannya berhari-hari lari ke sana sini untuk mengelak diri daripada terkena tembakan dan bom di Khan Younis, dalam keadaan tanpa akses kepada telefon.
Itulah punca kehilangannya secara tiba-tiba, jelas beliau.
Mansour berada di wilayah itu untuk membantu mendokumentasikan usaha kemanusiaan yang sedang berlangsung di tengah-tengah perang Israel-Hamas yang sedang marak.
Kehilangannya baru-baru ini menarik perhatian meluas, termasuk sampai ke pengetahuan Perdana Menteri Kanada, apabila ibu Mansour, Dr Mai Hussein membuat aduan mengenai kehilangan anaknya pada Januari 2024 dan meminta bantuan pencarian anaknya.
Laporan kehilangan wartawan warga Kanada di Gaza. - Kredit video: CBC News
Dalam video pertama selepas kehilangannya Mansour memberitahu "lebih dua minggu lalu," dia berlepas bersama sekumpulan sukarelawan untuk menyemak kemajuan "projek khemah" di barat Khan Younis.
Katanya, kumpulan itu meninggalkan telefon mereka dengan dakwaan alasan “kebimbangan keselamatan”.
"Sebaik tiba di kawasan khemah di sana, kami terkejut melihat beberapa dron terbang pada paras rendah betul-betul di atas kami," katanya, sambil menambah dia melihat anggota tentera, kereta kebal dan "anggota bomba" lain bergerak ke kawasan itu yang dipercayai menyerang orang awam.
“Kami terpaksa lari mencari perlindungan dan sejak dua minggu lalu, kami pergi dari rumah ke rumah di barat Khan Younis untuk mengelak daripada terkena bom dan tembakan,” ceritanya.
Wartawan Kanada asal Palestin, Mansour Shouman memilih untuk berada di Gaza bagi urusan kemanusiaan di samping mengudarakan laporan harian dari kawasan perang kepada dunia luar.
Sebelumnya, laporan tidak sahih mendakwa ada orang nampak Mansour dibawa pergi oleh tentera musuh yang mana tidak disebutkan dalam videonya.
Berita itu membuat pengikut dan seluruh ahli keluarganya tidak senang duduk. Ketika kehilangannya menjangkau dua minggu tanpa khabar berita, dia dibimbangi terkorban.
Mengenai dakwaan dia dibawa ke tempat lain, katanya; “Kami tak pernah meninggalkan Khan Younis dan kami tak pernah terfikir untuk tinggalkan Khan Younis."
Difahamkan Mansour sekeluarga berada di Palestin dalam satu kunjungan lawatan apabila perang bermula, disebabkan keadaan semakin teruk dia menguruskan kepulangan isteri dan anaknya ke Kanada.
Bagaimanapun dia memilih untuk terus berada di Gaza atas semangat juang, pertama untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa perang, dan kedua melaporkan perkembangan terkini kepada dunia luar dari wilayah perang dengan sanggup berumah dan berpejabat di dalam khemah pelarian.
Sanggup tinggal di khemah pelarian demi tugas dan menabur bakti.
Sementara itu, selepas kemunculan semula Mansour, Menteri Luar Negeri Kanada, Melanie Joy memberitahu wartawan bahawa perkembangan terbaharu mengenai Mansour adalah berita baik dan beliau akan berhubung dengan ibunya petang itu.
Sebelumnya, Dr Mai Hussein, ibu Mansour meminta bantuan pihak Kementeria Luar untuk mencari dan membawa pulang anaknya.
Dr Mai yang tinggal di Abu Dhabi berkata, dia adalah antara orang terakhir di luar Gaza yang bercakap dengan anaknya pada 21 Januari 2024.
Katanya, pada malam itu, dia menghantar mesej kepada Mansour untuk mengucapkan selamat malam dan pada pagi itu didapati mesej berkenaan tidak diterima Mansour.
Kehilangan Mansour kemudian tersebar luas menerusi saluran berita CTV. Beratus-ratus pro-Palestin berkumpul di Toronto dalam tunjuk perasaan pada Ahad, 4 Februari 2024 lalu, mendesak pihak pemerintah berusaha mengesan Mansour.
Mansour Shouman hilang dua minggu telah muncul semula. - Kredit foto: Global News
Dalam video terbaharunya, Mansour mengulangi pendiriannya untuk terus dengan misinya kerana keadaan penduduk di Gaza sangat memerlukan bantuan, lebih 90 peratus populasi di Gaza kini adalah pelarian di tempat sendiri.
Mansour bersama kumpulannya membantu dari segi pengurusan khemah dan pengedaran makanan sumbangan.
Keadaan huru hara itu katanya akan berlaku lama dan ini barulah permulaan.
Apa yang dilakukan itu katanya, "bukan fasal Gaza saja, ini mengenai perjuangan dunia seluruhnya untuk lepas daripada kuasa pihak yang zalim.
"Jangan berhenti daripada menyebarkan apa yang berlaku dan memberi penerangan mengenai kebenaran kepada dunia, belajarlah mengenai sejarah Islam dan Zionis," tegas beliau.
Perhimpunan memberi sokongan kepada Mansour sewaktu kehilangannya.
Keberadaan Mansour di Gaza, berkongsi laporan harian terkini dari jalanan Khan Younis. Saban hari dia bekerja keras merisikokan diri untuk menyebarkan berita kepada msyarakat di luar mengenai apa yang berlaku di Palestin.
Untuk mengetahui kebenaran yang berlaku saban hari di tempat kejadian, tonton video video berkaitan dalam media sosialnya seperti YouTube dan Instagram, dengan saluran nama sendiri, Mansour Shouman. - KitaReporters
Sebagai ibu, Dr Mai (kiri), orang yang paling dalam keresahan tidak dapat tidur malam, susah hati memikirkan keselamatan anaknya sewaktu terputus hubungan. - Kredit foto: Global News