Insan & Komuniti 16 Jun, 2024

Diari Mama Masscom| Kau sejarah hitam aku dulu, jangan cari aku lagi! Ibu kandung tolak anak tak sah!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Gambar hiasan


Selalu kita dengar kata kata ini, "Ibu bapa ni kita tak boleh pilih, Allah dah tentukan siapa yang melahirkan kita dan siapa ibu ayah kita. Baik atau sebaliknya kita mesti menerima mereka dengan hati yang terbuka dan reda atas pilihan Allah siapa ibu bapa kita." 

Kadang ada yang rasa sedih bila mereka mendapat ibu bapa yang sangat menduga keimanan mereka. Tapi setiap yang berlaku ada hikmahnya tersendiri. Pernah juga kita dengar ada yang mengatakan mereka tak minta lahir ke dunia tapi mereka insan terpilih untuk melalui semua ujian Allah.



Kisah yang ingin saya bawakan pada kali ini ialah mengenai kisah seorang anak tak sah taraf yang baru tahu siapa dirinya setelah berusia 20 tahun. Beliau adalah bekas pelajar saya yang agak rapat dengan saya dan mempunyai karektor yang ceria tetapi sangat sensitif. 

Suatu hari beliau datang bertemu saya dan katanya ingin berkongsi sesuatu yang sangat peribadi. Katanya dia telah menganggap saya seperti ibunya kerana beliau kurang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu angkatnya. 

Saya namakan dia Mohd (bukan nama sebenar). Walaupun dia seorang lelaki, tapi dia nampak sangat rapuh dari segi emosinya.

Mohd beritahu saya bahawa dia baru tahu dia anak angkat daripada ayah angkat yang selama ini dia anggap ayah kandungnya. Mohd beritahu ayah angkatnya ini sangat penyayang dan sangat mengambil berat terhadap dirinya berbanding ibu angkatnya yang sentiasa bersikap dingin terhadap dirinya. 

"Ayah angkat saya memberitahu bahawa saya sebenarnya ialah anak angkatnya yang diambil sejak lahir." Ayah angkatnya seorang guru memberitahu bahawa dia adalah anak tak sah taraf daripada bekas pelajar ayah angkatnya.

Katanya, Ibu kandung Mohd datang meminta bantuan gurunya kerana dia sudah hamil luar nikah. Ketika itu ibunya berusia 17 tahun. Ayah angkat Mohd bersetuju untuk membantu pelajar berkenaan dan apabila pelajar itu sudah bersalin, anaknya diserahkan pada ayah angkat Mohd, iaitu gurunya. 

Dipendekkan cerita, bila Mohd tahu dia anak angkat dia teringin bertemu ibu kandungnya. Maka ayah angkat Mohd mengaturkan pertemuan Mohd dengan Ibu kandungnya.  



Mereka bertemu dengan ditemani ayah angkat Mohd. Kata Mohd dia sangat teruja dan gembira bertemu ibu kandungnya walaupun dia tahu dia anak tak sah taraf. 

Namun kegembiraannya tidak lama kerana Ibu kandungnya rupa-rupanya tidak suka bertemu Mohd. Mula-mula mereka bertemu, ibu kandung Mohd sudah menunjukkan muka yang agak kurang menyenangkan. 

Expresi wajah Ibu kandungnya sangat menyedihkan Mohd pada hari pertemuan itu. Wajahnya ibu kandungnya masam dan seolah-olah tidak menerima kehadiran Mohd. 

Kata Mohd dia ingin bersalam dan cium tangan ibu kandungnya tetapi ibu kandungnya menepis tangan dia. 

Pertemuan singkat yang menyedihkan itu berakhir dengan pesanan daripada ibu kandungnya: "engkau adalah sejarah hitam aku dulu, sekarang aku dah bahagia dengan anak-anak dan suami aku, ko jangan cari aku lagi. Jangan musnahkan kebahagiaan aku dengan keluarga aku sekarang."

Kata-kata itu umpama pisau yang menghiris hati dan perasaan Mohd. Sewaktu menceritakan kisah sedihnya itu Mohd menangis di hadapan saya. Saya cuba memberi kata kata semangat kepadanya. 

Selepas membuat pengakuan berkenaan, Mohd tidak datang ke kuliah lagi. Saya mencarinya dan menelepon ayah angkatnya. Saya diberitahu oleh ayah angkatnya Mohd mengalami kemurungan dan dirawat di hospital sakit jiwa. 

Dua semester berlalu, Mohd tak muncul lagi ke kuliah. Saya mendapat tahu dia ambil cuti yang diluluskan pihak fakulti. 

Setahun kemudian setelah pulih daripada masalah kemurungan Mohd datang kembali ke Fakulti menyambung kuliahnya. Ketika itu dia pada semester akhir. 

Alhamdulillah dia berjaya menamatkan pengajian dan dapat bergraduasi disaksikan oleh ayah angkat dan ibu angkatnya.



Pengajaran yang  kita boleh dapat daripada kisah ini ialah asal usul kita mungkin bukan daripada susur galur yang mulia atau ikatan yang sah, tetapi kita boleh mengubah nasib kita dengan sentiasa berfikiran positif dan menjalani kehidupan yang Allah kurniakan dengan sebaik mungkin. 

Masyarakat sering pandang serong kepada anak luar nikah atau anak tak sah taraf, tetapi mereka ini tidak bersalah dan sering berhadapan dengan stigma yang menyedihkan. 

Semua manusia pernah melakukan kesilapan dalam hidup dan berdosa. Kita seharusnya berani menanggung kesan dosa yang kita lakukan. Anak luar nikah yang tidak bersalah adakalanya menjadi mangsa keadaan. 

Apa pun kehidupan ini satu pusingan jika berbuat zalim pada orang kita akan terima balasannya kelak. Jadikan kisah-kisah tauladan seumpama ini satu pengajaran dan pedoman dalam hidup agar kita menjadi insan yang lebih banyak berfikir sebelum melakukan sesuatu. - KitaReporters

12
17
0
13
0
You will be interested