Insan & Komuniti 24 Jul, 2024

Program plogging! Berjoging sambil kutip sampah! KRT, GPI, AADK sertai gotong royong bersih pantai!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.-komunitimadanijertih@gmail.com

Share this


KAWASAN Rukun Tetangga (KRT) Jalan Melati, Dungun dengan kerjasama Geng Plastik Ija (GPI) dan AADK daerah Dungun,Terengganu menganjurkan Program Jom Bersih Dan Indah Tahun 2024 yang berlangsung  di Pantai Teluk Lipat Dungun.

Program plogging atau berjoging sambil kutip sampah yang julung kali diadakan ini adalah secara kolaborasi antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan tersebut dan disertai lebih  80 orang peserta yang terdiri daripada ahli GPI, KRT Jalan Melati dan sukarelawan AADK Dungun.  

Sebelum aktiviti gotong royong bermula satu sesi taklimat ringkas telah dibuat oleh Ketua GPI Masdi Mohd. 

Peserta yang hadir seawal jam 7.30 pagi emudian dibahagikan kepada 10 dan 15 orang setiap kumpulan dan dipecahkan kepada 5 kawasan sekitar pantai kawasan operasi aktiviti.


Peserta yang menyertai gotong royong bersih pantai


Pengerusi KRT Jalan Melati, Mohd Amran Che Mood berkata, peserta dibekalkan dengan plastik sampah, sarung tangan dan pengepit.

Katanya, menerusi aktiviti selama 45 minit itu peserta mengadakan plogging dan sebanyak 81 beg sampah berjaya dikutip yang terdiri daripada 72 beg sampah (seberat 183.4kg) dan 9 beg botol plastik (seberat 15.55kg). Secara keseluruhan, sebanyak 81 beg plastik sampah berjaya dipungut dengan berat kutipan berjumlah 198.95 kilogram.


Sampah yang dikutip kemudian dikumpul dalam plastik untuk dihantar ke pusat pelupusan sampah


Menurut Mohd Amran, selepas selesai plogging, satu taklimat mesej antidadah dan edaran risalah antidadah telah disampaikan oleh Aidawani Ismail daripada AADK Daerah Dungun dan diselitkan dengan kata-kata motivasi oleh Cikgu Wan Abdul Razak serta ditambah oleh wakil-wakil lain daripada KRT, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan NGO-NGO lain.

Beliau berkata, program itu dapat membangkitkan semangat kerjasama serta kesedaran dalam kalangan peserta mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar

“Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab semua pihak agar persekitaran pantai sentiasa bersih dan indah supaya dapat menarik perhatian pengunjung yang ingin beriadah di pantai,” katanya lagi. - KitaReporters 


15
13
1
7
0
You will be interested